- Iklan -
Berita

Silap besar jika bertembung dengan PAS, kata orang kuat Umno

Ahmad Maslan berkata Umno tidak boleh ulang kesilapan sama ketika pilihan raya 2018.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk bermotosikal di Pekan, Pahang dilihat membawa bendera Barisan Nasional ketika pilihan raya 2018. Gambar: AFP
Seorang penduduk bermotosikal di Pekan, Pahang dilihat membawa bendera Barisan Nasional ketika pilihan raya 2018. Gambar: AFP

Seorang pemimpin Umno memberi amaran pertembungan dengan PAS pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) hanya akan mengulangi keputusan 2018 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang besar sehingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, hubungan rapat kedua-dua parti Melayu terbesar itu tidak seharusnya dicemari dengan “agenda peribadi” sesetengah pihak hingga menyebabkan pertembungan di 32 kerusi Parlimen seperti pada PRU14 yang merugikan kedua-dua pihak.

“Kita dah buat perundingan kerusi supaya tidak berlaku pertembungan. Kita tidak mahu ulangi pertembungan yang merugikan seperti apa yang berlaku pada PRU14, kita kehilangan 32 kerusi akibat bertembung,” kata ahli Parlimen Pontian itu kepada MalaysiaNow.

“Bayangkan kalau 121 kerusi yang dimenangi pada malam 9 Mei itu tolak 32 tidak memerintah mereka (PH). Kita tidak mahu mengulanginya lagi.”

Ahmad menegaskan perundingan antara Umno dan PAS sangat penting supaya tidak ada pertembungan sama ada di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bayangkan kalau 121 kerusi yang dimenangi pada malam 9 Mei itu tolak 32 tidak memerintah mereka (PH). Kita tidak mahu mengulanginya lagi.”

Ahmad bagaimanapun berkata, Umno dan PAS tidak mempunyai banyak masalah dan kebanyakan rundingan di peringkat tertinggi dan jawatankuasa berjalan dengan baik.

“Kita kena runding baik-baiklah, dengan PAS kita tidak banyak isu. Dengan Bersatu belum mula perundingan jadi kita tidak tahu lagi suasana macam mana.

“Tapi dengan PAS kita berbincang dengan aman damai setakat ini. Kita minta supaya tidak ada pertembungan kerana ia akan merugikan sebab jika kita bertembung PH lah yang akan menang.

“Jangan diulangi kesilapan PRU14 bertembung dengan PAS akhirnya kita rugi. Patutnya kita memerintah sekarang ini.”

Pada PRU14, pertembungan tiga penjuru antara PH, Barisan Nasional (BN) dan PAS menyaksikan gabungan dipimpin Dr Mahathir Mohamad itu berjaya mengalahkan kerajaan pimpinan Najib Razak yang terpalit dengan skandal rasuah terbesar 1MDB.

Umno dan PAS yang menyedari kesilapan mereka pada PRU14 mula bekerjasama bagi mewujudkan kekuatan politik Melayu yang membuahkan hasil apabila berjaya mengalahkan PH dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands, Kimanis dan Tanjung Piai.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila kerajaan PH tumbang hujung Februari tahun ini selepas Mahathir meletakkan jawatan.

Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin meninggalkan PH dan bersama-sama dengan BN, GPS, PAS dan beberapa parti Sabah untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

MN yang sebelum ini hanya melibatkan Umno dan PAS kini disertai Bersatu.

Formula pengagihan kerusi seperti yang dipersetujui sebelum ini antara Umno dan PAS perlu diubah dengan penyertaan sekutu baru Bersatu.