- Iklan -
Berita

Isu tukar tanah Kementerian Pertahanan antara fokus siasatan PAC

Turut disiasat jawatankuasa itu termasuk isu berkaitan AES dan 1BestariNet.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Pertahanan yang terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Kementerian Pertahanan yang terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen dijangka melakukan siasatan melibatkan tiga isu iaitu berkaitan proses tukar tanah Kementerian Pertahanan, pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan 1BestariNet.

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata, siasatan terhadap isu itu dijalankan selepas ia dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir, Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Wong berkata isu tukar tanah (landswap) melibatkan Kementerian Pertahanan itu berlaku antara tahun 1995 hingga 2018 selepas didapati terdapat beberapa kaedah yang mencurigakan.

“Perkara kedua mengenai pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik antara tahun 2012 hingga 2018 di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan dan yang terakhir melibatkan projek perkhidmatan sistem 1BestariNet (2011 hingga 2019) Kementerian Pendidikan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya PAC sudah mendapat taklimat daripada Ambrin Buang selaku pengerusi JKSTUPKK yang juga bekas ketua audit negara pada Isnin lalu berhubung ketiga-tiga isu ini.

“Sehubungan itu PAC parlimen berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu ini untuk dibawa ke dalam prosiding jawatankuasa ini,” katanya

JKSTUPKK yang ditubuhkan pada Mei 2018 bertujuan menyiasat kes-kes perolehan dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian dari segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.

Tambahnya PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil ketua setiausaha kementerian pertahanan bagi memberikan keterangan isu tukar tanah pada 30 November ini.

Katanya PAC sudah mendapat taklimat daripada Ambrin Buang selaku pengerusi JKSTUPKK yang juga bekas ketua audit negara pada Isnin lalu berhubung ketiga-tiga isu ini.

“Berdasarkan siasatan JKSTUPKK terhadap 16 kes landswap yang melibatkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai RM4.8 bilion mendapati antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini adalah berkaitan dengan kerugian kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten, serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan.”

Bagi projek AES katanya hasil siasatan dibuat terhadap kewajaran pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), bernilai RM555 juta terhadap pengambilalihan syarikat konsesi AES dimana pelaburan asal hanya RM40 juta.

“Projek 1BestariNet yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan selama 8 tahun dengan kos RM2.71 bilion bagi melengkapkan 10,000 sekolah di seluruh negara dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G didapati terdapat kelemahan dan kecuaian daripada tadbir urus yang menyebabkan projek ini tidak tercapai.”

Sementara itu katanya, PAC akan memanggil saksi-saksi lain yang terlibat dalam isu ini termasuk bekas menteri jika dirasakan perlu dan semua keputusan akan dibuat secara konsensus melibatkan ahli jawatankuasa PAC Parlimen.