- Iklan -
Berita

Agong isytihar darurat di Batu Sapi

Keputusan itu dibuat selepas menerima mengadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP

Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan pelaksanaan Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Keputusan itu dibuat selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu taklimat khas yang berlangsung selama satu jam, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Muhyiddin mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri,” kata kenyataan itu.

Pertemuan pada pukul 4 petang di Istana Negara itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali; Peguam Negara Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh.

“Sultan Abdullah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang ditetapkan bagi menjalankan PRK Batu Sapi, Sabah”.

Sehubungan itu, Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” kata kenyataan itu.

Sultan Abdullah juga amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan.

“Perkenan Baginda ini mengambil iktibar dan pengalaman daripada PRN Sabah yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara.

“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” kata kenyataan itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4% iaitu sebanyak 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober, 2020, selepas dua minggu dari hari mengundi.

“Kes positif harian Covid-19 terus meningkat secara mendadak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7% iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang dicatatkan pada 24 Oktober, 2020,” tambah kenyataan itu.

Darurat itu juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar Parlimen Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi.

Berdasarkan data SPR, jumlah pemilih berdaftar adalah sebanyak 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian parlimen tersebut termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

“Dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah, dan akan menyukarkan pelaksanaan Undi Pos,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan untuk menasihati rakyat jelata berdisplin memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19.

Agong turut menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada para wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah.

“Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan dan turut mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama berdoa semoga pandemik ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri segera.”