- Iklan -
Berita

Tiada keperluan laksana semula PKP, kata menteri

Tahap kesiapsiagaan KKM dan MKN  mampu kawal keadaan dan menguruskan semua kes dengan baik.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sekatan jalan raya yang dikenakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Sekatan jalan raya yang dikenakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Kerajaan berpendirian tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Redzuan Yusof.

Katanya, kerajaan tidak akan mengisytiharkan PKP seperti Mac lalu kerana kes Covid-19 masih lagi terkawal di samping tahap kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih berjaya mengawal keadaan.

Redzuan berkata, jika kadar dijangkiti itu melebihi daripada kadar yang pulih, maka sudah pasti Kerajaan akan membuat pertimbangan untuk melaksanakan semula PKP bagi menurunkan lengkok Covid-19 daripada meningkat.

“Total ‘lockdown’ tidak perlu dilaksanakan kerana kita dalam peringkat pemulihan dan ‘exit policy’  seperti yang saya sebutkan tadi.

“Mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ini berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 dan mengelakkan fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi.

“Saringan Covid-19 hanya dilakukan ke atas mereka yang bergejala dan tidak dilakukan ke atas semua penduduk di negara ini. Rakyat kini sedar wabak ini sedang berada dalam komuniti dan selagi tiada vaksin, sesiapa sahaja pada bila-bila masa boleh dijangkiti dengan virus ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

“Total ‘lockdown’ tidak perlu dilaksanakan kerana kita dalam peringkat pemulihan dan ‘exit policy’  seperti yang saya sebutkan tadi.

Soalan ini dibangkitkan Shahidan Kassim (BN-Arau) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan akan melaksanakan PKP atau “lockdown” memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 yang agak kritikal dan tidak terkawal.

Redzuan turut mengakui,  jika PKP dilaksanakan semula kesan negatif akan timbul kepada kesihatan mental dan ekonomi masyarakat khususnya buat mereka yang terjejas teruk.

“Tindakan Kerajaan membuat PKP ketika itu adalah berikutan kerajaan belum lagi memperhalusi kaedah-kaedah yang sewajarnya dibuat bagi menangani masalah penularan wabak Covid-19.

“Semasa itu, kerajaan sedang dalam fasa ‘work in progress’ mengkaji SOP yang boleh diguna pakai bagi menjalankan aktiviti dengan memberikan kesimbangan kepada aktiviti ekonomi, fizikal dan sosial.”

Empat fasa PKP yang berakhir pada 12 Mei 2020 digantikan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 13 Mei hingga 9 Jun 2020.

Bermula 10 Jun 2020, negara memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan diteruskan hingga 31 Disember 2020 sebagai langkah dasar keluar (exit strategy) secara berhati-hati dengan pembukaan secara berperingkat hampir kesemua sektor ekonomi dan juga sosial berpandukan SOP yang ditetapkan.

Pendekatan PKPP ini dilaksanakan untuk memberi keseimbangan antara aspek keselamatan kesihatan dan juga dari sudut aktiviti ekonomi supaya ia boleh berlangsung dan tidak terjejas.