- Iklan -
Berita

Semua ahli Parlimen, petugas perlu jalani saringan Covid-19 setiap 2 minggu

Parlimen akan ditutup jika kes penularan Covid-19 dikesan.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi

Semua ahli-ahli Parlimen dan petugas-petugas mereka diwajibkan menjalani saringan Covid-19 setiap dua minggu, selari usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak berkenaan, kata Azhar Azizan Harun.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata arahan itu disampaikan dalam pertemuan bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.

Sehubungan itu, Azhar berkata, pentadbiran Parlimen akan mengeluarkan notis pemberitahuan dari semasa ke semasa mengenai keperluan menjalani ujian saringan terbabit.

“Jika ada kes positif dicatatkan di Parlimen, penilaian prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya akan dilakukan.

“Malah, perlu diingatkan, sebarang penularan jangkitan bakal menyebabkan bangunan Parlimen ditutup sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya dalam pemasyhuran yang dibacakan timbalannya, Azalina Othman Said, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua ahli-ahli Parlimen supaya menghadkan pergerakan di luar Parlimen sepanjang tempoh persidangan dengan tidak menghadiri mana-mana majlis atau tempat sesak.

Sebelum ini dilaporkan enam kes positif Covid-19 dikesan dalam ujian swab melibatkan mereka yang perlu bertugas di Parlimen.

“Jika ada kes positif dicatatkan di Parlimen, penilaian prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya akan dilakukan.

Mereka dikesan positif dalam ujian swab yang diwajibkan kepada semua anggota Parlimen dan kakitangan Dewan Rakyat tiga hari sebelum persidangan bermula.

Enam kes tersebut melibatkan seorang petugas media, seorang pembantu ahli Dewan Negara dan empat anggota polis bantuan.