- Iklan -
Berita

Bimbang kemasukan universiti terjejas, kerajaan cadang sekolah dibuka semula untuk calon SPM

Sistem peperiksaan dan kemasukan universiti akan terjejas dalam jangka masa panjang.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penutupan sekolah akibat Covid-19 mengganggu sesi pembelajaran pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan SPM.
Penutupan sekolah akibat Covid-19 mengganggu sesi pembelajaran pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Kementerian Pendidikan menggesa pertimbangan kerajaan supaya membenarkan pelajar Tingkatan 5 dan Pra-Universiti (Pra-U) ke sekolah bagi menjalani sesi pembelajaran seperti biasa susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya disebabkan peningkatan kes Covid-19.

Difahamkan, Menteri Pendidikan Radzi Jidin meluahkan kegusarannya terhadap kemungkinan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipinda sekali lagi selepas penutupan sekolah di negeri-negeri tersebut yang akan menjejaskan sistem peperiksaan dan kemasukan universiti selama dua tahun.

“Perdana menteri meminta kementerian pendidikan untuk memutuskan (sama ada akan membenar pelajar ke sekolah atau menangguhkan peperiksaan), tetapi ketua pengarah kesihatan berkata tidak perlu kerana dia yakin jumlah kes di negeri-negeri ini akan menurun dalam beberapa minggu, “kata sumber kepada MalaysiaNow.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan disertai jemaah menteri, ketua pengarah agensi-agensi dan penasihat tertinggi kerajaan.

Kata sumber itu, Radzi dalam mesyuarat tersebut bimbang jika keadaan tidak boleh dikawal dan ia berupaya menjejaskan sistem peperiksaan dalam jangka masa panjang.

“Katanya guru-guru tertekan dan para pelajar tingkatan empat pun dikatanya dah cukup terseksa dengan sesi pembelajaran sewaktu pandemik ini.”

Bagaimanapun, menurut sumber masih belum ada perkembangan dan keputusan rasmi mengenai perkara itu.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan disertai jemaah menteri, ketua pengarah agensi-agensi dan penasihat tertinggi kerajaan.

Kebimbangan yang timbul calon SPM tahun ini terpaksa menduduki peperiksaan tahun depan, manakala calon tahun 2021 perlu mengambil peperiksaan pada tahun 2022.

Penangguhan itu juga akan menjejaskan kemasukan ke universiti.

“Jika tangguh lagi, tempoh permohonan dan kemasukan ke universiti pula akan terjejas.”

Calon SPM tahun ini dijadualkan menduduki peperiksaan bermula 16 November hingga 7 Disember, tetapi ditangguhkan untuk memberi lebih banyak masa kepada pelajar selepas sekolah ditutup, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

KPM meminda tarikh peperiksaan SPM pada 6 Januari hingga 9 Februari 2021, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengambil peperiksaan Semester 2 Ogos, manakala Semester 3 akan berlangsung pada Mac 2021.

Pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyebabkan sekolah-sekolah di negeri terlibat ditutup bagi membolehkan pihak berkuasa mengekang penularan Covid-19.

PKPB yang sepatutnya berakhir bulan lepas, dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 9 November depan.