- Iklan -
Berita

Tak pernah dalam sejarah undi tidak percaya dibentangkan, kata bekas menteri

Jika ia gagal masih terdapat cara yang boleh digunakan supaya usul tersebut boleh dibentang di Dewan Rakyat.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Berunding dengan menteri yang menjaga perundangan juga boleh digunakan. Gambar: Parlimen Malaysia.
Berunding dengan menteri yang menjaga perundangan juga boleh digunakan. Gambar: Parlimen Malaysia.

Usul undi tidak percaya tidak pernah dibentangkan di Dewan Rakyat dalam sejarah Malaysia, kata seorang menteri yang pernah menjaga Parlimen selama hampir sepuluh tahun.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata, sekiranya pembangkang gagal membentangkannya, terdapat cara yang boleh digunakan supaya usul tersebut boleh dibentang di Dewan Rakyat.

“Dan usul begini akan dibenarkan apabila segala urusan kerajaan habis. Maknanya macam usul kerajaan perlu selesai dulu, selepas itu usul persendirian boleh dibawa,” kata ahli Parlimen Padang Rengas kepada MalaysiaNow.

“Jadi maknanya kalau pembangkang nak bawa usul tidak percaya, kalau nak jatuhkan kerajaan jalan paling sesuai adalah mereka perlu memastikan supaya mana-mana Rang Undang-Undang kerajaan perlu dikalahkan waktu pengundian”.

Semalam, lima ahli Parlimen Pejuang, menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Mereka juga menghantar resolusi untuk membuat ketetapan Muhyiddin selaku ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Lima ahli parlimen tersebuat ialah; Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.

Nazri berkata, terdapat cara lain yang turut boleh digunakan pembangkang iaitu berunding dengan menteri yang menjaga perundangan pada ketika ini, Takiyuddin Hassan.

“Mereka pun kena faham, kalau dah namanya pembangkang memang sukarlah untuk bawa Rang Undang-Undang (RUU) persendirian, apatah lagi ia melibatkan usul undi tidak percaya,” kata pemimpin Umno itu.

Sorang lagi Ahli Parlimen Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus bertindak menyelesaikan keretakan dalaman yang berlaku pada ketika ini.

“PN goyang, Umno sekarang amat serius. Minta Muhyiddin juga perlu serius.

“Sebab Umno tidak lagi mahu untuk diambil kesempatan macam dulu lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.