- Iklan -
Berita

Bekas menteri Kabinet, Aziz Shamsuddin meninggal dunia

Aziz pernah menjadi setiausaha politik kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Aziz Shamsuddin (kiri) semasa bertemu ketua perunding Filipina, Robert Aventahado di Zamboanga untuk berbincang bagi membebaskan tebusan rakyat Malaysia yang di culik di Pulau Sipadan Sabah pada tahun 2000. Gambar: AFP.
Aziz Shamsuddin (kiri) semasa bertemu ketua perunding Filipina, Robert Aventahado di Zamboanga untuk berbincang bagi membebaskan tebusan rakyat Malaysia yang di culik di Pulau Sipadan Sabah pada tahun 2000. Gambar: AFP.

Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Abdul Aziz Shamsuddin, 82, meninggal dunia pada kira-kira 11.52 malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Perundingan Melayu (MPM).

“Solat jenazah akan diadakan di Bukit Damansara selepas solat subuh hari Sabtu, 17 Okt 2020 (hari ini). Namun demikian, kami mohon maaf SOP PKPB hanya mengizinkan 20 orang sahaja untuk melaksanakan solat jenazah.

“Jenazah akan dikebumikan di Gopeng, Perak,” menurut MPM dalam hantaran itu.

Menerusi hantaran itu juga, MPM memohon agar orang ramai dapat mendoakan Allahyarham dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin.

Aziz mula berkecimpung dalam arena politik selepas menyertai Umno di Cawangan Pelabuhan Kelang pada tahun 1969.

Allahyarham merupakan bekas ahli Parlimen Shah Alam dari 2004 hingga 2008. Sebelum itu pada 1975, beliau dilantik sebagai pegawai khas kepada menteri pelajaran ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham menyambung perkhidmatan sebagai setiausaha politik dari tahun 1981 hingga 1999 dengan Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri keempat ketika itu.

Beliau juga merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno.

Dalam pada itu jenazah Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gunung Mesah, Gopeng, kira-kira 9.20 pagi tadi.

Anak sulung Allahyarham, Mohd Nazasli, 52, berkata arwah bapanya menghidap sakit jantung, meninggal dunia di Pusat Perubatan Ara Damansara, Selangor, malam tadi di sisi keluarga.

Allahyarham dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak lima minggu lalu selepas membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan hari ini.

Beliau berkata jenazah tiba di Gopeng pada 8.30 pagi selepas dimandikan dan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail di ibu negara selepas solat subuh.

Menceritakan mengenai keperibadian arwah, beliau berkata arwah bapanya merupakan seorang yang ringkas dan berhati rakyat.

Allahyarham Aziz yang pernah berkhidmat sebagai guru, meninggalkan isteri Puan Sri Rosmawati Abdul Ghaffar, dua anak lelaki serta dua anak perempuan.

Pengebumian jenazah turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Perak Saiful Adli Mohd Arshad, yang juga setiausaha pokitik kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Orang Besar Jajahan Kampar, Toh Sedewa Raja Abdul Talib Abd Fahmi.