- Iklan -
Berita

Saham syarikat berkait adik Anwar melonjak naik selepas Agong terima mengadap

Malayan United Industries Bhd mencatatkan dagangan awal kedua paling aktif, dengan 228.66 juta saham diniagakan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sebuah syarikat dikaitkan dengan adik Anwar Ibrahim kini mendapat perhatian dalam kalangan pelabur, dalam apa yang sering diperkatakan tentang kaitan rapat antara perniagaan dan politik.

Ini berlaku sehari selepas pemimpin PKR itu mengumumkan menerima perkenan Yang di Pertuan Agong untuk mengadap bagi mempersembahkan senarai ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

The Edge Markets melaporkan saham Malayan United Industries Bhd (MUI) yang mana adiknya Farizan Ibrahim menjawat jawatan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif mencatatkan dagangan awal kedua paling aktif, dengan 228.66 juta saham diniagakan, meningkat 17.86% kepada 16.5 sen pada pukul 11.13 pagi.

MalaysiaNow awal hari ini melaporkan seorang pembantu kepada pemimpin PKR itu berkata, dengan mendapat perkenan untuk mengadap Agong, walaupun tanpa “angka yang cukup”, dapat menarik taikun perniagaan untuk bersamanya.

“Antara hari ini hingga Selasa depan, terdapat pelbagai kemungkinan taikun-taikun perniagaan yang tidak biasa dengan permainan angka ini akan berdiri di belakang Anwar, semuanya kerana perkenan Agong,” kata sumber itu.

Semalam, Anwar berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan untuk beliau mengadap pada hari selasa, 13 Oktober, di mana beliau akan mempersembahkan perincian dakwaan memiliki sokongan “kukuh dan meyakinkan” daripada anggota Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Tiga minggu lalu, Anwar mengisytiharkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tumbang dan beliau bakal membentuk sebuah kerajaan “majoriti Melayu”.