- Iklan -
Berita

Hanya perlu surat majikan untuk keluar bekerja

Pekerja yang tinggal di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat di mukim Klang tidak perlu dapatkan kebenaran polis jika ada surat majikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sekatan jalan raya di Taman Sri Andalas, Klang selepas perintah kawalaan pergerakan bersyarat dilaksanakan di mukim Klang. Gambar: Bernama
Sekatan jalan raya di Taman Sri Andalas, Klang selepas perintah kawalaan pergerakan bersyarat dilaksanakan di mukim Klang. Gambar: Bernama

Pekerja yang tinggal di kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya (SJR) susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di mukim Klang, perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada majikan masing-masing supaya tidak timbul masalah ketika melalui SJR.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata pekerja yang mempunyai surat pelepasan perjalanan daripada majikan tidak perlu mendapatkan lagi kebenaran polis untuk keluar bekerja.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai surat pengesahan bekerja yang dikeluarkan majikan atau pas pekerja, mereka boleh memuat turun borang tersebut atau mendapatkannya dalam laman Facebook ibu pejabat polis daerah yang berkaitan atau boleh memperolehnya di lokasi sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

“Mereka boleh memuat turun borang kebenaran dalam laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang Utara dan Shah Alam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Azam berkata demikian bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai pergerakan di mukim Klang yang dikenakan PKPB mulai hari ini hingga 23 Oktober.

Beliau berkata pelaksanaan SJR diadakan di Bayu Perdana, Sri Andalas serta Bukit Tinggi dalam mukim Klang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan butiran pada borang berkenaan diisi dengan lengkap bagi mengelak kesesakan ketika mereka melalui SJR yang dijalankan pihak polis.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.