- Iklan -
Berita

GRS belum buat keputusan bertanding PRK Batu Sapi

Semua pihak suarakan kebimbangan memandangkan kes Covid-19 meningkat.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar bendera parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.
Gambar bendera parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum membuat keputusan untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik diri semalam berikutan kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan Covid-19.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyatakan parti-parti yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bertemu dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai perkara ini.

“Kita masih perlu melihat terlebih dahulu disebabkan peningkatan kes positif Covid-19,” katanya kepada MalaysiaNow.

GRS yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan PBS ditubuhkan untuk berdepan dengan Warisan Plus dan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

PRK kerusi Parlimen Batu Sapi terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, VK Liew yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah minggu lalu.

Semalam PCS yang diketuai bekas menteri luar, Anifah Aman turut mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Batu Sapi.

Setiausaha Agung PCS Ansari Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan nyawa dan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, Sabah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk menanggung penularan kes baru Covid-19 jika proses kempen dan pengundian PRK Parlimen Batu Sapi dilaksanakan.

“Kami berdoa supaya Sabah dan rakyatnya dilindungi daripada gejala virus Covid-19. Pada kami, nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik.

“Sabah sedang dilanda jangkitan Covid-19 yang amat teruk dan jelas prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan untuk PRN ke-16 baru-baru ini gagal membendung penularan virus itu,” katanya dalam kenyataan media menerusi laman Facebook miliknya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka tidak akan bertanding PRK Parlimen Batu Sapi bagi mengelak penularan pendemik itu di negara ini khususnya di Sabah.

Sehubungan itu, BN menyerahkan kepada kebijaksanaan SPR bagi memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilaksanakan kelak.