Thursday, December 2, 2021

Tinjauan dapati rakyat ‘letih’ ikut SOP Covid-19

Walaupun secara umumnya rakyat Malaysia masih mematuhi SOP Covid-19, masih terdapat yang degil di sesetengah kawasan.

Other News

Rakyat Malaysia mendapat markah tinggi antara dua dozen negara yang rakyatnya masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pandemik Covid-19, walaupun menjadi sebahagian daripada trend dunia yang dilihat sebagai “keletihan pandemik”, menurut kajian dilakukan komuniti dalam talian antarabangsa.

Kajian dilakukan badan tinjauan YouGov mengkaji perubahan dalam tingkah laku masyarakat dalam masa enam bulan mengenai langkah-langkah asas mengelakkan jangkitan, seperti memakai pelitup, penjarakan sosial, mencuci tangan dan menyentuh objek di khalayak ramai.

Terdapat peningkatan keseluruhan jumlah yang memakai pelitup muka pada bulan September berbanding April.

Di Malaysia, ini mungkin disebabkan undang-undang baru yang berkuatkuasa pada 1 Ogos, yang mewajibkan penggunaan pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat sesak.

Tetapi seperti orang lain di seluruh dunia, rakyat Malaysia kurang waspada terhadap langkah-langkah lain, sesuatu yang dinyatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas untuk menenangkan rakyat disebabkan lonjakan jangkitan harian secara tiba-tiba.

Muhyiddin berkata beliau secara peribadi menyaksikan pelanggaran peraturan penjarakan fizikal oleh orang ramai.

“Marilah kita hadapi perang menentang Covid-19 secara bersama. Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini,” katanya pada Selasa, hari ketika kes harian tertinggi sejak wabak itu melanda di Malaysia awal tahun ini.

Sikap tak peduli jadi punca?

Tinjauan tersebut menunjukkan pada bulan April, hampir dua pertiga responden mengatakan mereka tidak akan menyentuh objek di tempat awam.

Akan tetapi pada bulan lepas, hanya tinggal separuh sahaja masih bersikap demikian.

Kajian juga mendapati semakin kurang rakyat Malaysia kerap mencuci tangan atau menghindari tempat awam sesak, sedangkan ia antara langkah yang disyorkan secara global untuk mengelakkan jangkitan ketika masih belum terdapat vaksin bagi virus tersebut.

Tetapi, The Economist yang berpusat di London menyatakan Malaysia adalah antara negara yang memiliki sokongan rakyat terhadap tindakan pihak berkuasa untuk membendung wabak itu.

Setakat ini, Covid-19 sudah meragut lebih satu juta nyawa di seluruh dunia.

Ia mendapati, di Malaysia, China dan negara Timur Tengah, sokongan terhadap langkah-langkah mencegah pandemik menurun hanya 6% sepanjang lima bulan lepas berbanding negara Barat sebanyak 12%.

Antara negara yang merekodkan kadar kematian tertinggi ialah Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Perancis, yang jika dicampurkan menjadi lebih 300,000 kematian disebabkan Covid-19.

The Economist menggelar keadaan itu sebagai “keletihan pandemik” seperti tindakan Presiden Donald Trump menanggalkan pelitup muka di wajahnya sebaik sahaja keluar hospital selepas didapati positif Covid-19.

Tetapi majalah itu mengatakan, sikap Trump yang tidak gemar terhadap pelitup muka tidak diraikan walaupun di Barat.

“Sekiranya ada satu perkara yang disepakati orang di seluruh dunia, ianya adalah kepentingan pelitup muka,” tulis majalah itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles