- Iklan -
Berita

Pengarah urusan direman 4 hari bantu siasatan kemuka butiran palsu

Butiran palsu untuk mendapatkan bantuan subsidi upah Perkeso pada Mac lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat di Selangor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan bantuan subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Mac lepas.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, pengarah urusan syarikat yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk pembersihan itu ditahan di pejabat SPRM Kedah kira-kira 5.30 petang semalam.

Menurut sumber itu lagi, butiran palsu yang dikemukakan lelaki tersebut membolehkan syarikatnya memperoleh bantuan upah pekerja berjumlah lebih RM400,000 sebulan, sedangkan syarikat terbabit tidak layak mendapat subsidi berkenaan kerana tidak mengalami kekurangan pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan kes itu dan berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.