- Iklan -
Berita

Hanya 21.9% individu bekerja sendiri carum Perkeso

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata berdasarkan data terkini sehingga 18 Jun ini, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding bilangan sebenar mereka yang layak mencarum.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah individu yang bekerja sendiri adalah seramai 2.89 juta orang.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) jumlah individu yang bekerja sendiri adalah seramai 2.89 juta orang.

Hanya 634,215 atau 21.9% individu yang bekerja sendiri mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata berdasarkan data terkini sehingga 18 Jun ini, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding bilangan sebenar mereka yang layak mencarum di bawah skim berkenaan. 

"Jumlah orang yang bekerja sendiri berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ialah seramai 2.89 juta orang. Daripada jumlah itu hanya 21.9% daripada mereka mencarum dengan SKSPS.

"Bilangan terbesar yang mencarum adalah daripada sektor perkhidmatan profesional iaitu seramai 32.3%, diikuti pengangkutan barangan dan makanan (17.5%) dan pengangkutan penumpang (13.3%)," katanya kepada media selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso di Kuala Terengganu, hari ini. 

Sivakumar berkata peratus terendah pencarum adalah daripada sektor pemprosesan data iaitu seramai 23 orang, perhutanan seramai 345 orang (0.05%) dan premis penginapan seramai 507 orang (0.08%). 

"Mungkin mereka ini tidak tahu bahawa mereka sebenarnya boleh mencarum atau mungkin rasa hanya yang mempunyai majikan sahaja yang layak mencarum.

"Boleh jadi juga mereka tidak tahu apakah peranan Perkeso, bagaimana Perkeso boleh bantu mereka dan kebanyakan mereka merasakan tiada perkara buruk yang akan berlaku ke atas mereka, tapi sebenarnya apa-apa sahaja boleh berlaku, bila-bila masa jua,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan melipatgandakan kempen bagi memperkenalkan skim berkenaan demi kebaikan dan keselamatan sosial kumpulan berkenaan. 

Katanya sejak dilancarkan pada 1 Jun 2017 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, SKSPS melindungi orang yang bekerja sendiri dalam 20 sektor pekerjaan dan membayar faedah bernilai RM15.5 juta kepada 4,890 orang pencarum.

Sementara itu Pusat Rehabilitasi Perkeso Kuala Terengganu yang merupakan satu-satunya pusat rehabilitasi satelit yang beroperasi di Pantai Timur bagi membantu proses rawatan rehabilitasi Orang Berinsurans memberi manfaat rawatan pemulihan kepada 515 orang.

Sebanyak 111 daripada mereka yang mendapatkan rawatan telah kembali bekerja sejak ia mula beroperasi pada 28 Jun 2020.