- Iklan -
Berita

Pemulihan ekonomi lenyap jika laksana semula PKP

Melihat kepada keadaan semasa untuk memulihkan kembali ekonomi, negara tidak lagi boleh berhadapan dengan PKP.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Urusan perniagaan yang kembali rancak sebagai salah satu rangsangan ekonomi negara.
Urusan perniagaan yang kembali rancak sebagai salah satu rangsangan ekonomi negara.

Perancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara akan lenyap begitu sahaja jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata melihat kepada keadaan semasa untuk memulihkan kembali ekonomi, negara tidak lagi boleh berhadapan dengan PKP.

Menurut beliau, ini disebabkan proses pemulihan yang dimulakan sejak Mei dan Jun lalu dengan suntikan dana oleh pihak kerajaan melalui Penjana 1 dan 2 perlu digerakkan secara berterusan.

“Kerajaan juga ingin melihat hasil ataupun impak daripada sumbangan yang diberikan melalui Penjana dan Prihatin.

“Dan jika kerajaan bertindak untuk menguatkuasakan semula PKP di seluruh Negara makanya dikhuatiri segala apa yang dirancangkan akan lenyap begitu sahaja.

“Saya masih ingat apa yang disebut oleh Perdana Menteri pada 4 Mei yang lepas iaitu kerajaan bakal kehilangan sebanyak 2.4 billion sehari kesan daripada pelaksanaan PKP dan perkara ini mesti dielakkan daripada berulang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berharap agar peniaga dapat mengikuti SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Beliau turut mengharapkan agar masyarakat dapat mematuhi SOP yang telah digariskan jika tidak mahu “Abah rotan lagi” demi kebaikan semua.

“Medac (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) melalui agensinya sedang rancak menjalankan latihan secara ‘coaching’ bagi meningkatkan motivasi PKS untuk terus menjalankan perniagaan mereka walaupun berhadapan dalam situasi yang tidak menentu kesan daripada penularan wabak Covid-19.

“Semua agensi di bawah Medac telah dan sedang melaksanakan program dan aktiviti bagi menggalakkan ekonomi dalam semua bidang,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung tindakan kerajaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) baru-baru ini.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang diterajui oleh Muhyiddin kerana tidak melaksanakan kembali PKP di seluruh negara.

“Tetapi mengambl tindakan secara kawalan setempat melalui sekatan pergerakan bagi kawasan-kawasan tertentu terutamanya di daerah yang berada dalam kategori zon merah yang kebanyakannya berada di negeri Sabah,” katanya.