Sejumlah 67 murid di sebuah sekolah di Ampang diarahkan menjalani ujian swab Covid-19 selepas seorang guru disahkan dijangkti virus itu.
Murid darjah 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan Taman Tasik diarahkan untuk menjalani ujian itu di klinik kesihatan di Beranang dan Hulu Langat.
Difahamkan, guru tersebut dijangkiti Covid-19 daripada rakan serumahnya.
“Rakan rumahnya itu sebelum ini pulang dari Kedah,” kata sumber.
Semalam, Kedah mencatatkan jumlah tertinggi kes baru Covid-19 dengan 241 kes, mendahului Sabah dengan terdapat kluster melibatkan lokap polis di Lahad Datu yang dikatakan sebagai punca jangkitan meningkat.
Kementerian kesihatan turut melaporkan 432 kes Covid-19, tertinggi sejak pandemik itu dikesan di Malaysia awal tahun ini.
Sekolah di seluruh negara dibuka semula secara berperingkat pada Julai selepas ditutup selama lebih tiga bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan.