- Iklan -
Berita

Kemiskinan antara punca utama keciciran pelajar sekolah

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata ini adalah satu masalah sosial yang perlu ditangani.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelajar melintas jalan ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kuala Lumpur.
Seorang pelajar melintas jalan ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kuala Lumpur.

Kemiskinan adalah antara punca utama keciciran pelajar, terutamanya di sekolah menengah, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying. 

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati terdapat pelajar yang tidak hadir ke sekolah untuk bekerja demi menanggung ekonomi dan kos sara hidup keluarga mereka.

“Ini adalah satu masalah sosial yang perlu kita tangani dan cari jalan bagaimana untuk menghadapinya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai adakah kemiskinan menjadi punca keciciran pelajar dan apakah inisiatif kementerian untuk menanganinya.

Lim berkata antara langkah yang sedang diusahakan KPM adalah untuk mewajibkan semua pelajar untuk menghabiskan 11 tahun persekolahan iaitu bermula Tahun 1, di sekolah rendah hingga Tingkatan 5, di sekolah menengah. 

Ketika menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Muhammad Ismi berkenaan inisiatif KPM untuk membantu pelajar tercicir akibat kemiskinan, Lim berkata KPM telah memperluaskan pelaksanaan Sekolah Komprehensif 9 (K9) daripada 12 buah sedia ada kepada 17 sekolah.

“Matlamat utama sekolah K9 diwujudkan bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya bagi murid menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi ke sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi mencabar dan sosioekonomi keluarga,” katanya.

Beliau berkata konsep itu turut diperluaskan menjadi Sekolah Komprehensif 11 (K11) bagi memberi akses pendidikan yang lebih menyeluruh kepada pelajar bermula Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

“Konsep K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid daripada Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas,” katanya.

Selain itu, Lim berkata KPM juga menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan untuk murid daripada keluarga berpendapatan rendah atau miskin antaranya Biasiswa Kecil Persekutuan, Rancangan Makanan Tambahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Bantuan Awal Persekolahan, dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform.

“Pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling dan guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan,” katanya.