- Iklan -
Berita

Pasaran hartanah tak stabil, tapi tunggu dan lihat, kata pakar

Walaupun pasaran hartanah terjejas, akan tetapi masih terdapat jualan.

Roznah Abdul Jabbar
3 minit bacaan
Kongsi
Sektor perumahan terjejas disebabkan pandemik akan tetapi pakar percaya ia akan kembali pulih.
Sektor perumahan terjejas disebabkan pandemik akan tetapi pakar percaya ia akan kembali pulih.

Sektor hartanah mungkin terjejas disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi, politik dan kesihatan awam, akan tetapi pakar percaya situasi masih belum begitu buruk dan kemungkinan akan pulih pada masa akan datang.

Mengakui kesukaran dihadapi pasaran hartanah, bekas ketua pengarah Jabatan Penilaian dan Pekhidmatan Harta, Mani Usilappan berkata, faktor sama yang menjejaskan ekonomi akan turut menjejaskan sektor perumahan.

Akan tetapi, walaupun pandemik Covid-19 menyebabkan hampir kebanyakan aktiviti ekonomi terhenti, beliau berkata permintaan masih ada kerana masih terdapat pembeli yang mencari rumah dengan harga berpatutan.

“Benar, secara umumnya jumlah urus niaga menjadi perlahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tetapi masih terdapat jualan yang menunjukkan pasaran berpijak dengan kukuh, terutamanya pasaran sekunder.”

Covid-19 yang menyaksikan kerajaan mengenakan perintah berkurung selama tiga bulan bagi mengekang pandemik itu, menjejaskan perniagaan dan menyebabkan ramai “gulung tikar”.

Mani mengakui keadaan itu, mengatakan isu berkait Covid-19 berlaku secara global dan “terlalu meluas”.

“Tetapi ia bukan selama-lamanya,” katanya.

“Kita perlu berdepan dan mencari jalan dalam situasi tak menentu ini.

“Selagi ekonomi berjalan, akan terdapat permintaan untuk rumah.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ketidaktentuan politik akan berterusan sehinggalah senario politik distabilkan.

Permintaan kembali meningkat?

Naib Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Redha), NK Tong berkata terdapat bukti empirikal permintaan sedang kembali meningkat.

Akan tetapi menambah, situasi tahun depan akan menjadi petunjuk lebih baik tentang bagaimana keadaan sektor hartanah.

Pada sidang media Kempen Pemilikan Rumah-Ekspo Hartanah Malaysia 2020 (HOC-Mapex) baru-baru ini, beliau juga bercakap tentang ketidaktentuan yang melanda negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata, disebabkan Malaysia menangani pandemik ini dengan baik berbanding sesetengah negara, ia meningkatkan kembali keyakinan awam terhadap sektor itu.

“Enam bulan lalu semua orang beranggapan berlaku pertukaran antara penjagaan kesihatan dan ekonomi,” katanya.

“Sekarang seluruh dunia sedar kedua-duanya berkait. Kita harus menangani penjagaan kesihatan untuk mencergaskan kembali ekonomi.”

Ketua pegawai eksekutif syarikat hartanah Rahim & Co International Siva Shanker berkata, kejatuhan dalam pasaran disebabkan “black swan events” atau keadaan tidak dijangka seperti masalah dalam industri minyak dan gas, perang dagangan AS-China, pergolakan dalam ekonomi dunia, ketidakstabilan politik dalam negara dan Covid-19.

“Aspek ini menyebabkan keadaan ini berlaku bukan sahaja kepada pasaran hartanah tetapi semua sektor,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau memetik laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) yang meramalkan permintaan menjadi perlahan memandangkan keadaan urusniaga dan nilai hartanah yang tertekan.

Menurut laporan itu, pasaran hartanah merekodkan jumlah transaksi 115,476 unit berjumlah RM46.94 bilion pada suku pertama 2020.

Kejatuhan sebanyak 27.9% dan 31.5% dalam jumlah dan nilai daripada 160,165 unit bernilai RM68.53 bilion pada suku pertama 2019.

Kuncinya kesabaran

Seperti yang lain, Siva masih belum berputus asa dengan pasaran hartanah.

“Ia akan mengambil masa panjang (untuk pasaran) pulih seperti dulu, tetapi ia akan kembali baik,” katanya.

“Pasaran hartanah adalah kitaran. Jika kita sabar menunggu, ia akan kembali kepada keadaan asal.”

Katanya, pasaran sudah mula jatuh pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda tahun ini.

“Pada 2021 apabila pasaran stabil sedikit, keadaan akan semakin jelas, dan kita akan melihat pasaran akan menjadi lebih baik,” katanya dan menambah pasaran mungkin akan kembali tinggi pada 2022 atau 2023.

Beliau menyanggah pandangan popular pasaran merosot tahun ini, mengatakan transaksi terus berlaku dengan sebilangan besar hartanah masih dipasarkan.

“HOC kembali, Mapex kembali,” katanya dan menambah beliau percaya ini akan menguntungkan pasaran walaupun mungkin tidak sebaik kempen dahulu.

Baginya, perubahan akan berlaku di semua sektor yang terjejas disebabkan Covid-19 apabila vaksin berkesan dihasilkan.

Katanya, mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum semua orang divaksinkan, tetapi sentimen positif akan kembali meningkatkan pasaran.

“Sudah tentu kita akan melihat trend kenaikan pasaran dan
semua permintaan tertangguh akan terjual. Barulah pasaran akan melonjak ke depan,” katanya.