- Iklan -
Berita

2 pusat kuarantin Covid-19 berisiko rendah akan dibuka di Sabah

Beliau berkata setakat semalam, KKM menyaring 3,981 individu di Tawau dan 1,421 individu di Lahad Datu, dan daripada jumlah itu, seramai 331 kes positif direkodkan di Tawau dan 89 kes positif di Lahad Datu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Senior Minister for Security Ismail Sabri Yaakob. Photo: Bernama
Senior Minister for Security Ismail Sabri Yaakob. Photo: Bernama

Satu blok bangunan di Penjara Tawau dan satu dewan masyarakat di Lahad Datu bakal dijadikan pusat kuarantin khusus untuk pendatang tanpa izin yang dikenal pasti negatif wabak COVID-19, tetapi menunjukkan gejala ringan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembukaan dua pusat  itu sama seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang yang menempatkan pendatang yang ditahan.

“Tempat baru (pusat kuarantin khusus) akan diwujudkan dalam waktu terdekat dan sedang dalam tindakan.

“Pendatang tanpa izin yang ditahan akan jalani swab test sebelum masuk ke pusat tahanan. Bila disahkan positif kita akan asingkan daripada tahanan lama dan hantar untuk rawatan,” katanya pada sidang media mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) masih memantau situasi penularan Covid-19 di Lahad Datu dan Tawau, terutamanya di luar penjara dan balai polis.

Beliau berkata setakat semalam, KKM menyaring 3,981 individu di Tawau dan 1,421 individu di Lahad Datu, dan daripada jumlah itu, seramai 331 kes positif direkodkan di Tawau dan 89 kes positif di Lahad Datu.

“Daripada 331 kes positif di Tawau, 305 kes merupakan banduan manakala daripada 89 kes positif di Lahad Datu pula 86 adalah OKT (orang kena tahan) di lokap.

“Ini menunjukkan penularan jangkitan (di luar penjara Tawau dan ibu pejabat polis) terkawal,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat hari ini masih belum memutuskan untuk melaksanakan PKP Diperketatkan secara Pentadbiran di dua kawasan tersebut, namun  saringan Covid-19 akan terus dilaksanakan KKM dan dianggarkan saringan secara bersasar itu akan melibatkan kira-kira 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu.

Ismail Sabri berkata KKM mengenal pasti lokasi-lokasi yang terlibat dalam Kluster Benteng Lahad Datu serta Kluster Laut dan saringan akan dilakukan di kawasan tersebut.

“Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Mukim Sri Tanjung melibatkan tujuh lokasi, Mukim Wallace Bay (satu lokasi) dan Mukim Merotai yang melibatkan enam lokasi,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai permohonan warga Singapura di pintu masuk negara yang ingin masuk ke Malaysia untuk bertemu isteri rakyat Malaysia namun ditolak, Ismail Sabri berkata tidak ada halangan untuk warga Singapura berkenaan masuk ke negara ini namun mereka tertakluk kepada peraturan kuarantin wajib 14 hari.

“Tetapi perlu kemukakan sijil daftar perkahwinan di Malaysia dan perlu mempunyai visa,” katanya, menambah maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh didapati menerusi laman sesawang Jabatan Imigresen Malaysia, www.imi.giv.my.