- Iklan -
Berita

Parti Anifah Aman tanding semua 73 kerusi DUN Sabah

Anifah berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk meletakkan calon di semua kawasan, kerana mahu menunaikan permintaan penyokong parti di kawasan-kawasan berkenaan, yang mahukan calon PCS.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) yang juga bekas menteri luar Anifah Aman ketika mengadakan sidang media di Kota Kinabalu hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) yang juga bekas menteri luar Anifah Aman ketika mengadakan sidang media di Kota Kinabalu hari ini. Gambar: Bernama

PCS akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden PCS Anifah Aman berkata, seramai 70 calon sudah ditentukan, manakala tiga lagi calon masing-masing melibatkan DUN Banggi, Matunggong dan Sulaman, masih sedang dinilai parti itu.

Bekas Menteri Luar itu berkata, beliau akan bertanding di DUN Bongawan, dan naib presidennya Dr Ewon Ebin yang juga bekas menteri sains, teknologi dan inovasi, bertanding DUN Kundasang.

“(Timbalan Presiden PCS) Wilfred Bumburing tidak bertanding dan mahu pastikan calon di kerusi masing-masing menang, ini pengorbanan besar dan kita angkat (Bumburing) sebagai calon Parlimen nanti,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PCS di Kota Kinabalu hari ini.

PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan 73 kerusi DUN, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini, untuk penamaan calon dan 26 Sept sebagai hari mengundi.

Anifah berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk meletakkan calon di semua kawasan, kerana mahu menunaikan permintaan penyokong parti di kawasan-kawasan berkenaan, yang mahukan calon PCS.

“Saya percaya semua kawasan di Sabah menginginkan calon daripada PCS. Kita mahu berkhidmat untuk rakyat…oleh itu rakyat tidak akan ragu lagi untuk memilih kita, sekiranya kita ada calon di semua kawasan.

“Saya yakin kita akan menang di semua kawasan.. kerana kita mau parti tempatan Sabah tanpa dibantu parti dari Semenanjung, yang mentadbir negeri ini dan itu yang rakyat Sabah mahukan,” katanya.

Beliau berkata, mentadbir Sabah tanpa campur tangan parti dari Semenanjung bukan bererti mahu bermusuhan dengan parti daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita akan bekerjasama dengan kerajaan pusat, namun kita tidak mahu mereka campur tangan… kita mahu mentadbir negeri sendiri,” katanya.