- Iklan -
Berita

SPRM tahan 2 pemilik syarikat kemuka dokumen palsu projek RM6 juta

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sabah MACC director S Karunanithy. Photo: Faceboook
Sabah MACC director S Karunanithy. Photo: Faceboook

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan kontrak pembekalan berjumlah lebih RM6 juta antara tahun 2017 dan 2018.

Kedua-dua pemilik syarikat yang berusia 35 dan 36 tahun tersebut masing-masing ditahan pada pukul 10.10 pagi dan 11.10 pagi, semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu.

Menurut sumber, kedua-dua individu berkenaan didapati mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada Perbendaharaan Malaysia Sabah untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan makanan kepada Polis Diraja Malaysia/Briged Pasukan Gerakan Am bagi kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan.

Sumber itu berkata, kedua-dua individu terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis (10 Sept).

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.