Friday, June 24, 2022

Pakistan dan Islam

Tiada kiyai, ulama, mufti, ilmuan Islam atau para bijak pandai memberi komentar dan analisa tentang perkara ini.

Other News

Satu pagi aku terbaca dalam akhbar Dawn yang aku langgan: “Two butchers arrested at Karachi for selling dog meat.”

Dua penjual daging ditangkap di Karachi kerana menjual daging anjing. Aku tidak terperanjat lagi bila membaca berita ini.

Kali pertama aku terbaca berita daging anjing menjadi daging kambing ini memang aku terkejut.

Apa sudah jadi? Ini negara Islam. Apa sudah jadi dengan Islam Pakistan?

Pertanyaan aku ini timbul kerana aku baru mengenal “Islamic Republic of Pakistan”.

Sesiapa saja yang baru kenal Pakistan pasti terperanjat. Mustahil anjing boleh jadi kambing.

Tetapi jika tinggal lebih lama di Pakistan ini, berita daging anjing jadi daging kambing ini menjadi perkara biasa.

Anjing jadi kambing diikuti pula oleh berita keldai jadi lembu. Kemudian berita kuda yang juga boleh menjelma jadi lembu.

Aku perhatikan dalam setahun berita seperti ini pasti ada muncul. Hanya binatangnya bertukar-tukar.

Kerana selalu sangat anjing menjelma menjadi kambing hingga berita ini gagal menjadi induk berita. Malah TV Pakistan langsung tidak melaporkan berita ini.

Untuk media cetak lepas sekali lapor berita ini tenggelam macam batu jatuh ke Tasik Tajul Muluk.

Tiada kiyai, ulama, mufti, ilmuan Islam atau para bijak pandai memberi komentar dan analisa tentang perkara ini.

Hakikatnya kerana selalu berlaku ianya tidak lagi memeranjatkan.

Alah bisa tegal biasa. Keldai jadi lembu atau anjing jadi kambing bukan lagi satu kejadian yang menakjubkan untuk masyarakat Pakistan.

Dari akhbar Dawn yang aku baca menjadikan aku teruja untuk melihat sendiri anjing jadi kambing di pasar Empress Market.

Bukan mahu menjadi Sherlock Holmes, tapi aku ingin tahu apa seterusnya berlaku.

Aku menjenggukkan muka ke dalam pasar daging.

Jawapan kepada masalah anjing jadi kambing atau keldai jadi lembu ini cukup senang.

Langkah peniaga daging agak bijak. Aku saksikan dengan mata kepala aku sendiri dalam Empress Market.

Penjual daging mengambil jalan pintas untuk mengembalikan keyakinan orang ramai.

Pembeli wajib diyakinkan. Yang dibeli daging kambing bukan daging anjing.

Justeru, kepala kambing yang disembelih tidak dipotong untuk dipisahkan dari badan.

Kepala kambing terus bersama badan dan daging. Bulu di kepala kambing tidak dikuliti. Muka kambing tetap seperti kambing.

Ini membuktikan sahih yang tergantung di gerai bukan anjing tetapi kambing.

Tak bertanduk kambing betina yang bertanduk kambing jantan.

Untuk lembu pula, setiap lembu yang disembelih akan ditinggalkan ekor. Ekor lembu tidak dipotong.

Mencongak ekor di buntut lembu. Juga sebahagian kulit di kaki dan tangan tidak disentuh dengan pisau.

Jelas ekor, tapak kaki dan tangan lembu yang berbulu dapat dilihat. Ini untuk membuktikan bahawa ianya bukan keldai atau kuda.

Malah kepala lembu ini juga tidak dikuliti, tergantung di atas gerai.

Tetaapi awas dan waspada peniaga Islam di Pakistan selalu bermain silap mata.

Pernah aku membeli daging yang aku pilih baik tetapi bila sampai ke rumah aku dapati dicampur dengan daging berurat.

Ketika penjual menimbang satu tangan menimbang dan satu tangan lagi menyeluk ke tempat lain dan mengambil daging “reject”.

Ini satu perkara biasa dalam hal jual beli sayur dan daging di Republik Islam Pakistan.

Ini amalan peniaga Pakistan yang hendak cepat kaya dan cepat pergi naik haji.

Untuk aku amat jelas malah terbukti bahawa Islam di Pakistan hanya topeng untuk menipu warga miskin.

Agama dijadikan candu untuk melalaikan warga. Agama juga dijadikan sebab musabab dan alasan untuk menindas golongan miskin.

Jeneral Zia-ul-Haq yang melantik dirinya sebagai presiden Pakistan melalui rampasan kuasa dengan licik bekerjasama dengan kumpulan Islam. Mullah, Ulama dan “Pir” digunakan sebagai alat pembesar suara untuk rejim tentera.

Qazaf dan hudud dilembagakan oleh Jeneral Zia pada tahun 1979.

Sebelum dan sesudah hukum hudud dilembagakan di Pakistan tidak ada apa-apa yang berubah.

Pakistan dengan Islamnya tetap sama.

“Chakar-makar”, ini perkataan Urdu. Selain dari “benchod”, chakar-makar adalah perkataan yang paling popular di Pakistan.

Chakar-makar bermakna putar belit manakala benchod meniduri adik perempuan sendiri.

Justeru chakar-makar dan benchod ini berjalan seiring.

Jenayah pembunuhan yang mengerikan terus belaku.

Aku pernah terbaca bagaimana satu beg kain baju yang busuk ditemui di stesen kereta api Lahore.

Beg ini turun naik dari Karachi ke Lahore hingga bau busuk dicium. Bila dibuka didalamnya mayat perempuan yang sudah dipotong.

Jenayah tidak berkurangan walaupun ada yang kena sebat di khalayak ramai. Ini mengikut hukum hudud.

Sesiapa yang mengkaji sedikit tentang Pakistan akan berjumpa ayat dan surah “22 Keluarga”.

Surah dan ayat ini ialah tentang ekonomi Pakistan yang dimiliki oleh hanya 22 Keluarga.

Dari Habib ke Bawany, ke Haroon, ke Nishat, untuk menyebut beberapa nama keluarga.

Taikun dan kapitalis besar ini mengawal industri besar dari bank, beras, gula, minyak tepung, simen, kimia hingga ke eksport dan import.

Taikun dan para industrialis inilah yang memberi dana asas kepada para mullah, alim ulama dan pak lebai untuk mendirikan madrasah dan sekolah pondok.

Kemudian madrasah ini mendapat sokongan dana dari Arab Saudi.

Dari madrasah inilah munculnya anak-anak murid yang hari ini dunia kenali sebagai Taliban.

Zulfikar Ali Bhutto sudah mati. Rejim tentera Jeneral Zia terus memperkukuh kuasa.

Tentera Rusia masuk ke Afghanistan pada ambang Krismas 24 Disember, 1979.

Kemasukan tentera Rusia ini membersihkan imej Jeneral Zia.

Kini khidmat Jeneral Zia amat-amat diperlukan untuk menentang Rusia dan Soviet Union.

Pakistan di bawah kuasa tentera kini menjadi orang tengah antara Amerika Syarikat (AS) dengan pelbagai kumpulan gerila Afghanistan yang mula bangun melawan Rusia.

Pelbagai kumpulan gerila dari berbagai etnik suku kaum kini dikenali dunia dengan nama Mujahidin.

AS pada awalnya tidak mahu dilihat secara terbuka memberi sokongan kepada Mujahidin.

Justeru peranan ini dimainkan oleh Jeneral Zia. Dana dan senjata meluruh masuk semuanya melalui Pakistan.

Dana sampai ke poket mullah dan parti Islam untuk membantu umat Islam Afghanistan yang dizalimi oleh komunis Rusia.

Aku masih ingat lagi tidak berapa lama setelah tentera Rusia masuk ke Kabul, aku terbaca berita di akhbar Inggeris Dawn, Stinger atau senjata peluru berpandu hilang dicuri.

Berita ini keluar pada tahun 1980.

Berita senjata dicuri ini digunakan sebagai alat pelindung untuk menutup fakta tentang AS memberi senjata pada Mujahidin.

Akhirnya pada tahun 1985 secara terbuka AS memberi lebih dari 1000 butir Stinger, senjata peluru berpandu yang boleh dipikul di bahu ini kepada Mujahidin.

Stinger memberi pukulan maha hebat kepada helikopter dan pesawat udara Rusia. Puluhan helikopter Rusia gugur.

Rentak dan irama yang dimainkan oleh AS terhadap Afghanistan sama seperti apa yang dilakukan kepada Vietnam.

Pada tahun 1973 ketika aku di Universiti Malaya aku pernah mendengar ceramah dari Rahman Embong yang ketika itu menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut Rahman, tokan besar dadah ketika itu ialah AS.

Rahman menerangkan bahawa Central Intelligence Agency (CIA) memerlukan dana gelap untuk membiayai perang.

Untuk mendapat dana resmi melalui belanjawan kerajaan, wajib melalui kongres dan mungkin mengambil masa lama.

Maka CIA menjadi tokan dadah untuk mendapatkan dana.

Awalnya aku kurang yakin tentang surah ini. Tetapi aku yang kurang membaca dan kurang maklumat menerima fakta ini dari Rahman Embong.

Sosok ini belajar di luar negara, menulis, berkuliah dan amat luas pembacaan.

Pada tahun 1980 aku mendengar dari Saddar kawan Pakistan aku tentang beberapa graduan fakulti sains University of Karachi mula bekerja di makmal di sekitar Peshawar.

“They are working in the lab… well paid… around 2000 rupees per month.”

Saddar memberi maklumat tentang graduan yang bergaji mahal bekerja dalam bilik makmal.

“What lab?” Aku bertanya tentang makmal ini membuat kajian apa.

“Heroin.” Saddar menjawab.

Dadah heroin ini agak asing bagi aku.

Dadah baru yang pernah aku dengar ketika AS berperang di Vietnam.

Dadah yang aku kenal lama ialah ganja.

Di Pakistan ganja tumbuh seperti belukar. Malah di sekitar flat aku di Haq Bahoo Plaza ada belukar ganja.

Di Pakistan aku mula berkenalan dengan “hashish”. Di Pakistan dipanggil “charas”.

Hashish atau charas ialah bunga dan daun ganja yang ditumbuk lumat. Kemudian dibekukan seperti kepingan tempe.

Charas dikeringkan dan dijual setepek, setepek.

Dari apa yang aku baca heroin berasal dari candu yang diproses.

Justeru memerlukan bilik makmal untuk menyediakan heroin ini.

Candu ialah getah bunga popi. Bunga popi yang diguris untuk mengeluarkan getah.

Getah yang dipungut dipanggil candu. Warnanya coklat hitam, macam taik ayam candu.

Candu ini diproses menjadi debu putih yang dikenali sebagai heroin.

Bunga popi terdapat hidup liar di Utara Pakistan.

Cuaca dan bumi di wilayah ini cukup sesuai untuk pohon popi tumbuh.

Malah popi menjadi tanaman sebagai mata pencarian kaum tani.

Ganja dan hashish wajib dicampur dengan tembakau untuk dihisap. Tapi aku belum pernah melihat heroin jauh sekali melihat bilik makmal tempat heroin dibuat.

Ketika Saddar bercerita tentang graduan bekerja di bilik makmal heroin di Peshawar aku teringat kembali dengan Perang Vietnam.

Ketika Perang Vietnam merebak ke Laos dan Kemboja, heroin mula masuk ke pasaran anak-anak muda di Malaysia.

“White powder… cheap in Peshawar.” Saddar memberi tahu bahawa debu putih murah harganya di Peshawar.

Peshawar ialah kota sempadan antara Pakistan dengan Afghanistan.

Kota ini dalam wilayah Pathan dengan bahasa Pashtun. Wilayah ini dipanggil North-West Frontier Province (NWFP) di mana kuasa kerajaan pusat amat minimum.

Justeru industri senjata, dadah dan penyeludupan tidak ada kawalan di sini.

Aku mula nampak satu fenomena baru di Karachi.

Semakin ramai orang muda yang berserabai meminta sedekah.

Bila aku amati baru aku sedar pasaran heroin sudah meledak di Karachi.

Perang di Afghanistan sama seperti Perang Vietnam kini menjemput heroin masuk.

Lalu aku teringat tentang kebenaran ceramah Rahman Embong tentang CIA menjadi tokan dadah.

Aku juga telah berpeluang membaca tentang peranan CIA dalam industri dadah ketika Perang Vietnam.

Kini Perang Afghanistan meyakinkan aku bahawa CIA sekali lagi menjadi tokan dadah.

Pada awalnya senjata Mujahidin, Kalashnikov dibeli di pasaran gelap dari China, Iran dan Mesir.

Ini dilakukan untuk membuktikan kepada dunia bahawa AS tidak campur tangan dalam Perang Afghanistan.

Mempersenjatai Mujahidin ini dilakukan di bawah apa yang kini dikenali sebagai Operation Cyclone.

Operasi ini menguruskan dana untuk Mujahidin yang pada awal tahun 1979 hanya berapa ratus ribu dolar hingga menjadi 20 hingga 30 juta dolar setahun. Semua ini memerlukan dana.

Satu punca dana ialah dadah heroin. Merebaknya Perang Afghanistan selari dengan merebaknya dadah heroin di pasaran dunia.

Apa yang terjadi di Vietnam kini berulang sekali lagi di Afghanistan.

Satu hari di kawasan perumahan Gulshan Iqbal aku dengan Nasir pelajar perubatan dari Patani sedang santai minum teh.

Tiba-tiba meja kami didatangi oleh seorang anak muda bernama Rafeek.

Rafeek ini kenalan Nasir dan dia datang dengan motorsikal.

Memiliki motorsikal petanda orang berada.

Dia duduk di meja kami. Dan kami bersembang tentang itu dan ini.

Anak muda 20-an yang berjurus sopan tetapi dia berhingus. Tiap kali menyedut hidungnya.

“Sapa dia ni?”

Aku bertanya kepada Nasir selepas Rafeek pergi.

“Anak orang kaya… berhenti belajar… kena heroin.” Nasir bersurah.

Beberapa bulan kemudian sekali lagi aku terserempak dengan Rafeek.

Ketika itu aku tercegat seorang diri menunggu bas di Gulshan Iqbal.

“Salamualikum… how are you brother?” Rafeek memberi salam.

“Salam… ok… all ok.” Aku menjawab.

“No go Bangkok?” Rafeek menyangka aku warga Siam.

“You can bring some white powder….. good money…I will get it for you.”

Tanpa banyak bercerita Rafeek terus memberikan tawaran.

Nampaknya Rafeek dari pengguna kini hendak menjadi pengeksport.

“Good money brother.” Rafeek cuba meyakinkan aku. Tapi aku ambil bena tak bena.

“Ok if you need money you, Nasir knows where to find me.”

Rafeek melihat aku kurang melayan maka dia berundur.

Anak-anak muda dan warga Pakistan tidak hairan dengan ganja dan charas.

Tapi kini heroin mengubah pasaran. Pemadat boleh dilihat meminta-minta di sana sini.

Satu petang aku di Tariq Road. Ini adalah bahagian bandar Karachi yang paling “chic” untuk kelas menengah.

Aku diperkenalkan oleh pelajar Patani dengan Cafe Iranian di Tariq Road.

Kedai kopi ini milik orang Iran yang terkenal dengan kuih karipap dan teh masala susu lembu.

Tiba-tiba aku di pegang oleh Saheed. Aku kenal anak muda 30-an ini dari rakan serumah aku.

Saheed ini sosok peniaga dari suku Gujerati. Saheed memiliki kedai telefon.

Jangan silap faham Saheed bukan menjual telefon.

Dia memiliki sebuah kabin kecil dalam kedai kain baju.

Dalam kabin ini ada telefon. Siapa nak mengguna telefon boleh menyewa dari Saheed.

Di Republik Islam Pakistan tidak pernah wujud khidmat telefon awam untuk kegunaan orang ramai.

Mustahil akan wujud kabin telefon di tepi jalan.

Jika wujud dalam masa tak sampai 10 minit pasti akan kena curi. Ini ciri dan watak “Islamik” Pakistan.

Maka muncul peniaga seperti Saheed yang tahu dan sedar akan keperluan kelas menengah, kelompok berduit yang melanggani Tariq Road. Justeru Saheed membuka kedai telefon.

Saheed dan aku masuk ke Iranian Cafe. Kami meminta dua cawan “masala chai” dan kuih karipap.

Di atas meja kami ada terlekat nota yang amat jelas dalam bahasa Inggeris dan Urdu: “Political Discussion Not Allowed in this cafe – Thanks”.

Perbualan politik tidak dibenarkan dalam cafe ini.

Perbualan aku dengan Saheed bukan hal politik tetapi lebih dari politik.

“You are Malaysian…your passport very good.. no need visa to London or Amsterdam.”

Saheed memulakan perbualan. Aku mengangguk.

Si Saheed ini tidak sedar bahawa aku pendatang haram di Pakistan. Aku tidak memiliki pasport.

“You could enter Amsterdam… no need visa.”

“I think so… but London no need visa.” Aku memberi penjelasan.

“You take white powder.” Saheed dengan jelas mempelawa aku jadi keldai dadah.

Aku tak menjawab.

“We pay 2000 dollars…. you stay in five star hotel in Amsterdam. 1000 in Karachi…. another 1000 in Amsterdam.” Saheed cuba meyakinkan aku.

“How to pass Pakistani custom here?” Aku cuba mengelak.

“All arranged. The white powder ready in the plane. You just take it out in Amsterdam. My friend will wait for you. Insya Allah you make money. Good holiday… then come back to Karachi and continue your study.”

Mata aku terbuka mendengar rancangan Saheed ini.

Pekerja Pakistan International Airlines (PIA) juga termasuk dalam jaringan Saheed ini.

Dadah sudah tersedia dalam pesawat. Tugas aku hanya membawa keluar di Amsterdam.

Dua ribu dolar amat lumayan. Setahun gaji guru di Pakistan belum sampai ke jumlah ini.

Saheed adalah peruncit kecil-kecilan berbanding dengan CIA yang menerbangkan dadah dengan pesawat udara dari Colombia masuk ke AS.

Masalah besar yang dihadapi oleh peruncit seperti Saheed ialah susah untuk mencari keldai tempatan.

Halangan terbesar ialah pasport.

Pasport Pakistan memerlukan visa dan soal jawab yang banyak dari kedutaan.

Pasport Malaysia bernilai tinggi.

Justeru Saheed mencuba nasib dengan aku.

Aku diam tidak menjawab. Aku terus menikmati chai masala dan karipap. Aku sedar kami bukan berbincang politik yang dilarang dalam cafe ini.

Tetapi apa yang dicadangkan oleh Saheed itu lebih politik dari politik.

Saheed ingin merekrut aku untuk menjadi keldai membawa dadah ke Amsterdam.

Duit dadah ini adalah sebahagian dari projek CIA dalam Perang Afghanistan.

“So how?” Saheed menunggu jawapan.

Aku yang kini mula tahu dan faham budaya warga Republik Islam Pakistan memberi jawapan.

“Insya Allah Taala. We meet again.” Jawapan Islamik aku.

Aku tidak mahu ditukar ganti daripada manusia menjadi keldai.

Aku mengangkat tangan untuk menyelesaikan harga minuman.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles