Monday, January 24, 2022

Selamat Tahun Baru 2022

Dr Mahathir berkata kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam membantu mangsa banjir.

Other News

Saya dan Hasmah mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru 2022 pada semua rakyat Malaysia.

Setiap kali kita sambut Tahun Baru kita berharap ianya lebih baik dari tahun yang baru kita tinggalkan.

Kita juga berazam untuk memperbaiki diri kita supaya kita akan lebih prihatin dan
lebih berjaya.

Tetapi kita perlu ingat bahawa kita berada di masa iklim berubah dan tidak tentu
hala. Suhu meningkat tinggi dan hujan luar biasa lebatnya. Dan banjir yang teruk
pun berlaku.

Walaupun banjir di negara kita amat teruk dan ramai yang hilang harta benda tetapi
angin kencang ini bermula di Filipina di mana kerosakan dan kematian lebih besar.

Sebenarnya Filipina melindungi kita dari badai yang terbesar dalam sejarah. Kita
bersyukur dengan perlindungan ini.

Yang perlu kita beri perhatian ialah bagaimana kita tangani banjir besar ini.

Sepatutnya kerajaanlah yang memainkan peranan yang utama. Malangnya ternampak kerajaan tidak ada idea untuk menolong rakyat, bahkan tidak bersikap prihatin terhadap malapetaka yang menimpa rakyat.

Demikianlah sikap tidak bertanggungjawab anggota kerajaan sehingga sebilangan dari mereka bercuti diluar negara dan yang berada di negeri tidak turun segera untuk bantu rakyat. Yang turun pula lebih utamakan bergambar untuk dilapor dalam media.

Kita tidak perlu pengalaman tetapi apabila malapetaka berlaku kita cuba tolong dan redakan keadaan. Sebenarnya rakyat biasalah yang bertungkus lumus keluar untuk
menghulur bantuan, bukan sahaja untuk membersih tetapi juga membekal makanan
percuma.

Ya. Kita tidak perlu apa-apa kelulusan untuk jadi menteri. Siapa sahaja boleh jadi
menteri. Tetapi memilih calon yang nampak pendapatan yang tinggi sahaja tidak
akan hasilkan khidmat yang terbaik.

Sementara itu pentadbiran negara masih belum dipulihkan dengan baik. Ramai yang
mengadu tertekan dengan tuntutan rasuah. Dan kita dengar pula yang dipertanggungjawab membanteras rasuah disyaki terlibat dengan rasuah.

Inilah hasil daripada amalan rasuah oleh pemimpin tertinggi. Mereka yang dipilih jadi
menteri atau pengarah urusan dipilih kerana menyokong pihak tertentu. Dan
sokongan ini pula diberi kerana ingin dapat gaji yang tinggi. Mereka yang ingin
khidmat untuk bangsa dan negara digugurkan untuk memberi tempat kepada
penyokong.

Kita akan sambut Tahun Baru. Kita harap tahun 2022 lebih baik dari 2020 dan 2021.
Tetapi besar kemungkinan 2022 akan menjadi sama dengan dua tahun yang lepas.

Politik dalam negara sudah jadi buruk. Tidak ada ahli politik yang berminat untuk
majukan negara dan rakyatnya. Jika ada yang berminat, mereka tidak akan diberi
peluang, terutama jika mereka menolak rasuah.

Jika yang rosakkan negara masih diberi peluang untuk diri Kerajaan masa depan kita
akan terus merosot sehingga kita jadi negara yang gagal.

Semasa kita sambut tahun baru 2022, fikirlah akan peranan kita untuk memperoleh
cita-cita besar kita seperti yang ditentukan dalam Wawasan 2020. Kita masih
mempunyai kebolehan dalam negara bertuah ini. Hanya dengan menolak rasuah
dan memilih pemimpin yang bersih sahaja, akan terpulihlah negara ini.

Selamat menyambut Tahun Baru 2022 dan didoakan Allah akan kembalikan kita
semua ke jalan yang benar dan bersih.

Dr Mahathir bin Mohamad adalah bekas perdana menteri Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles