Saturday, January 22, 2022

Kedaulatan undang-undang untuk semua lapisan masyarakat

Usaha menghalang perbuatan mencuri perlu dibuat dengan kesedaran dari dalam diri setiap seseorang warga kota.

Other News

Prinsip keempat Rukun Negara ialah Kedaulatan Undang-undang, atau “Rule of Law”.

Rukun Negara yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Hari Merdeka 1970.

Kedudukan Rukun Negara bagi kehidupan berpolitik negara adalah tinggi hinggakan ia disebut sebagai falsafah dan ideologi nasional.

Namun, bukanlah sebelum tahun 1970 tiada Rule of Law.

Konsep Rule of Law sudah diamalkan di negara ini, sebelum merdeka lagi.

Istilah Kedaulatan Undang-undang hanya datang kemudian sebagai terjemahan kepada Rule of Law apabila bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa undang-undang.

Konsep Rule of Law berasal dari England yang membawa sistem perundangannya, Common Law ke tanah-tanah jajahannya, termasuk di Tanah Melayu.

Ia juga bukan bermakna, sebelum adanya British, tidak ada kedaulatan undang-undang.

Kesultanan-kesultanan di Tanah Melayu mempunyai undang-undangnya juga, yang berasaskan pada Syariah dan tradisi Melayu.

Tetapi kedatangan British memperkemaskan sistem perundangan di negara ini hinggalah apabila Tanah Melayu merdeka, bukan saja ada Rule of Law tetapi juga Perlembagaan yang memberikan perlindungan hak dan kesaksamaan kepada semua warga negara.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan bahawa semua warga negara berada dalam kedudukan saksama di bawah undang-undang.

Maknanya, tidak kiralah kedudukan seseorang itu, miskin atau kaya; berkuasa atau berpengaruh, adalah kesemua mereka tertakluk pada undang-undang yang sama.

Perlembangaan adalah dokumen undang-undang tertinggi negara.

Maka tidak hairanlah, prinsip ketiga Rukun Negara iaitu sebelum Rule of Law ialah Keluhuran Perlembagaan atau “Supremacy of the Constitution”.

Sekali lagi, konsep Supremacy of the Constitution mendahului terjemahannya dalam bahasa Melayu itu.

Rukun Negara digubal oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipengerusikan oleh Abdul Razak Hussein.

Ia merupakan antara langkah besar bagi memperbetulkan atau “reset” negara selepas Peristiwa 13 Mei 1969.

Maka Rukun Negara ini juga boleh dilihat sebagai penegasan semula Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Tetapi dari segi amalan, tentunya adalah mustahil untuk semua rakyat mendapat layanan saksama daripada undang-undang dan institusi negara.

Mereka yang mempunyai banyak wang tentu lebih mampu untuk mendapatkan khidmat peguam yang lebih baik.

Sementara mereka yang mempunyai pengaruh dan kuasa politik mampu mencari jalan unntuk mengatasi halangan undang-undang.

Lebih-lebih lagi apabila mereka mempunyai ramai pengikut.

Perkara ini sudah lama dibincangkan oleh ahli-ahli perundangan sejak dari dahulu lagi.

Namun begitu usaha wajar diteruskan supaya prinsip-prinsip ini dapat dilaksanakan.

Untuk itu, konsep Rule of Law sentiasa perlu dipertegaskan.

Dalam hal ini, ketika mula menjadi perdana menteri kali kedua, Dr Mahathir Mohamad menyebut mengenai Rule of Law.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum tahun 2018 diharapkan oleh para penyokongnya sebagai suatu “reset'” terhadap negara.

Di bawah kepimpinan Mahathir, negara diharapkan dapat melalui pembersihan untuk bangkit semula dengan melaksanakan tadbir urus dan mengamalkan Rule of Law bagi menghentikan korupsi, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Tetapi harapan bagi “reset” ini berkecai dengan berlaku Langkah Sheraton dan tumbangnya kerajaan PH.

Pada mulanya Barisan Nasional (BN) menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kemudian ia memimpin kerajaan.

Dengan kemenangan BN di Melaka, parti itu yakin akan dapat menguasai kerajaan sepenuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Maka apa saja pencapaian kerajaan PH dalam usaha membersihkan negara daripada korupsi, penyelewengan salah guna kuasa, serta menegakkan Rule of Law khususnya berkaitan skandal 1MDB akan hanya tinggal menjadi nota kaki sejarah.

Apabila melihat keadaan ini, usaha menegakkan Rule of Law terhadap semua warga negara tanpa mengira lapisan masyarakat, terutamanya ke atas golongan berpengaruh dan mempunyai kuasa politik akan hanya berjaya jika mendapat sokongan keseluruhan rakyat.

Maknanya, usaha membersihkan negara mestilah didokong oleh bukan saja penyokong-penyokong PH tetapi ahli-ahli BN juga mestilah mahukan supaya Rule of Law ditegakkan.

Maka, pengundi mesti bersedia menolak calon-calon pilihan raya yang tidak komited pada Rule of Law.

Begitu juga ahli-ahli parti sendiri juga menolak mana-mana pemimpin mereka yang tidak menghormati Rule of Law.

Tetapi Rule of Law ini merupakan suatu konsep undang-undang untuk menguatkuasakan etika yang dipersetujui oleh masyarakat.

Terdapat peraturan-peraturan asas dalam kehidupan bermasyarakat.

Antara perkara penting ialah menghormati hak milik orang lain seperti harta atau wang ringgit.

Inilah antara perkara yang mahu dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Tanpa undang-undang, etika ini hanya tinggal sebagai kepercayaan.

Hak milik atau harta pula datang dalam pelbagai bentuk.

Ada harta persendirian, harta golongan tertentu, harta negara dan harta awam.

Harta golongan seperti harta parti tentulah dibezakan dengan harta peribadi dan harta awam.

Sebarang perpindahan yang tidak beretika akan dianggap sebagai mencuri dan menyeleweng.

Tamadun manusia berasaskan pada penghormatan terhadap hak milik harta.

Ia bermula dengan pengiktirafan adanya hak persendirian.

Ini kerana pada permulaannya, tidak ada harta persendirian.

Tidak ada hak milik.

Sesiapa saja pun boleh ambil sebarang keperluan dari hutan.

Siapa kuat, dia dapat banyak.

Tetapi tentu perkara ini membawa kepada pergaduhan dan kekerasan.

Kemudian ia berkembang menjadi harta awam sesuatu suku kaum.

Akhirnya apabila ia berkembang menjadi kampung dan bandar, muncullah perbezaan antara harta persendirian dan harta awam.

Tamadun Sumeria mencatatkan undang-undang pemilikan.

Inilah bermulanya Rule of Law untuk menghalang perbuatan mencuri.

Tetapi penguatkuasaan undang-undang tidak memadai atau mustahil hendak dilakukan sepenuhnya.

Usaha menghalang perbuatan mencuri perlu dibuat dengan kesedaran dari dalam diri setiap seseorang warga kota.

Untuk itu, masyarakat memerlukan agama.

Dengan kepercayaan agama yang menggariskan peraturan, maka ia sedikit sebanyak dapat mencegah perbuatan buruk.

Prinsip pertama Rukun Negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan.

Maknanya kepercayaan dalam diri itu akan membuat warga negara beretika.

Bagi penguatkuasaan etika pula, manusia perlukan negara.

Sebab itu prinsip kedua ialah Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Raja di sini bermaksud personifikasi negara supaya sistem berpolitik mempunyai tonggak yang selanjutnya mengalir kepada Perlembagaan dan Rule of Law.

Akhirnya, prinsip kelima Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan.

Ia diterjemahkan sebagai “Courtesy and Morality”.

Gambaran yang diberikan tentang prinsip ini selalunya adalah adab sopan dan berkelakuan baik.

Tetapi Kesopanan dan Kesusilaan itu sebenarnya adalah lebih daripada itu.

Malah prinsip kelima Rukun Negara ini adalah puncak dan natijah kepada keseluruhan kehidupan berpolitik dan bernegara.

Kepercayaan pada Tuhan adalah permulaan tetapi Kesopanan dan Kesusilaan adalah hasil.

Kalau dalam terma agama, prinsip kelima ini adalah akhlak.

Bermula dengan tauhid dan berakhir dengan akhlak.

Ia juga bermakna, hasil daripada Rule of Law adalah Kesopanan dan Kesusilaan.

Di sinilah negara menjadi bersih.

Bukan saja bersih dari segi alam sekitar tetapi juga bersih dari korupsi, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles