- Iklan -
Rencana

Peranan Australia sebagai proksi AS imbangi pengaruh China

Namun, persaingan pengaruh antara blok AS dan China di Laut China Selatan mungkin boleh menyebabkan keretakan dalam negara anggota Asean.

Farizha bin Ibrahim
5 minit bacaan
Kongsi
Beberapa anggota tentera berdiri di atas kapal selam USS Oklahoma City ketika kembali ke pangkalan tentera laut AS di Guam pada 19 Ogos lalu. Australia adalah negara kedua selepas Britain yang memiliki teknologi nuklear kapal selam AS selepas Aukus termeterai. Gambar: AP
Beberapa anggota tentera berdiri di atas kapal selam USS Oklahoma City ketika kembali ke pangkalan tentera laut AS di Guam pada 19 Ogos lalu. Australia adalah negara kedua selepas Britain yang memiliki teknologi nuklear kapal selam AS selepas Aukus termeterai. Gambar: AP

Kerjasama keselamatan baru di Asia Pasifik akan menyaksikan UK dan AS akan membekalkan Australia dengan teknologi dan keupayaan untuk menggunakan kapal selam berkuasa nuklear. Perjanjian Aukus (Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat) ini menandakan satu perkembangan baru dalam strategi dan dasar di seluruh rantau ini.

Australia yang merupakan salah satu negara yang terlibat dalam kerjasama ini menggambarkan bahawa perjanjian ini bakal menjadi penghalang kepada pengembangan kuasa China dengan mempamerkan pendirian gabungan ini dan komitmen terhadap rantau Indo Pasifik yang stabil dan selamat. Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan kapal selam akan diperolehi oleh Australia melalui perjanjian Aukus ini.

Perjanjian itu melibatkan perkongsian maklumat dan teknologi dalam beberapa bidang termasuk teknologi risikan serta perolehan peluru berpandu. Perolehan kapal selam nuklear yang akan dibina di Adelaide, Australia merupakan elemen terpenting dalam kerjasama melibatkan AS dan UK ini.

Sebuah kapal selam nuklear mempunyai keupayaan yang sangat tinggi dan bakal memberikan kesan yang besar untuk rantau ini. Buat masa ini, hanya enam negara di dunia yang memiliki kapal selam nuklear iaitu AS, Rusia, UK, Perancis, China dan India. Ia menjadi keupayaan cegah rintang yang sangat efektif kepada negara-negara tersebut dengan memberikan ancaman yang cukup besar kepada mana-mana pihak yang cuba menceroboh perairan maritim mereka.

Kapal selam merupakan senjata strategik. Kelebihan utama kapal selam adalah kemampuannya bergerak dengan senyap. Ia bergantung pada keupayaan bersembunyi dari pihak musuh untuk mengekalkan kelebihan taktikal untuk melakukan serangan mengejut dan juga bagi menjamin keselamatan daripada serangan balas.

Kapal selam menggunakan enjin diesel semasa bergerak di permukaan air atau semasa snorkel manakala kuasa elektrik yang dihasilkan oleh bateri adalah digunakan semasa berada di bawah permukaan air (menyelam). Oleh sebab itu, kapal selam paling terdedah kepada bahaya apabila mereka timbul ke permukaan dan snorkel bagi mendapat udara untuk menggerakkan jentera utama dan janakuasa dan mengecas bateri.

Kapal selam konvensional dengan bahan api diesel-elektrik perlu timbul ke permukaan untuk mengecas bateri. Keperluan untuk bergerak dengan perlahan semasa snorkel ketika mengecas bateri menyebabkan mereka terdedah kepada risiko tinggi dikesan dan diserang pihak musuh. Kapal selam berkuasa nuklear pula tidak memerlukan udara bagi sistem jentera utama dan janakuasa menyebabkan ia tidak perlu timbul ke permukaan atau snorkeling. Mereka boleh kekal senyap dengan menyelam sepenuhnya dalam tempoh masa yang sangat panjang.

Kapal selam nuklear jauh lebih senyap daripada kapal konvensional kerana ia menggunakan reaktor nuklear untuk penjanaan kuasa dan mengalirkan wap yang dihasilkan oleh reaktor tersebut bagi pemutaran turbin. Ia mempunyai sumber kuasa yang boleh bertahan lama dan membolehkan mereka kekal di bawah permukaan selama bertahun-tahun, dan ia boleh dihadkan untuk mendapatkan keperluan makanan dan krew.

Pengoperasiannya yang senyap, keupayaan bergerak dengan lebih laju dan keupayaan menyelam yang lama menjadikan kapal selam berkuasa nuklear ini lebih sukar untuk dikesan.

Menempatkan kapal selam berkuasa nuklear di Australia adalah penting untuk menguatkan pengaruh AS di rantau ini. AS berkongsi teknologi kapal selam nuklear yang sensitif ini buat kali kedua selepas melakukannya dengan UK melalui Perjanjian Pertahanan Bersama US–UK pada 1958.

Australia akan menjadi negara ketujuh di dunia yang mengendalikan kapal selam berkuasa nuklear selain turut menegaskan kerjasama ini hanya melibatkan kapal selam berkuasa nuklear dan tidak akan melibatkan perolehan senjata nuklear.

Dengan perolehan kapal selam ini, Australia dilihat menjadi harapan untuk US dan juga UK bagi muncul sebagai kuasa maritim baru di rantau Indo Pasifik terutamanya di perairan Laut China Selatan yang semakin tegang ketika ini.

Secara singkatnya, Australia menjadi proksi AS dan UK bagi mengimbangi atau cegah rintang terhadap tuntutan China di wilayah ini.

Enam negara yang mempunyai kemampuan kapal selam berkuasa nuklear ketika ini ialah adalah AS, UK, Perancis, China, India dan Russia.

Negara yang dilihat hampir dengan Laut China Selatan dari aspek jarak geografinya adalah China, India dan Russia. India memerlukan kapal selamnya untuk belayar sejauh 2112.48 batu nautika (3912.32km) untuk sampai ke Laut China Selatan.

Berbanding Russia yang boleh menggerakkan kapal selam dari armada mereka di Vladivostok dengan jarak hanya 1118 batu nautika.

Walaupun hubungan China dan Rusia mempunyai beberapa isu seperti perlumbaan dalam penguasaan ekonomi di negara Timur Tengah, Rusia yang dilihat cenderung untuk menyebelahi China disebabkan ideologi yang sama dan faktor pertikaian dengan AS sejak sekian lama termasuk krisis di Ukraine pada 2014, campur tangan Rusia dalam perang saudara Syria dan campur tangan Rusia dalam pilihan raya AS pada 2016 dan 2020.

Situasi ini menyebabkan AS dengan kerjasama UK perlu mencari sebuah negara yang akan berpihak kepada mereka. Dengan termeterainya perjanjian kerjasama Aukus ini, Australia, yang sudah sekian lama menjadi sekutu AS selain dan turut menganggotai Komanwel.

Hubungan Australia dengan China mula renggang selepas pilihan raya 1996 yang menyebabkan China percaya bahawa Australia mengubah dasar hubungan luar dengannya kepada polisi yang lebih pro-AS.

Sokongan Australia terhadap penghantaran Tentera Laut AS ke Selat Taiwan sebagai tindak balas terhadap ujian peluru berpandu China semasa pilihan raya Taiwan telah dikritik hebat oleh China.

Pelayaran kapal Tentera Laut AS di Selat Taiwan dianggap pencerobohan kedaulatan negara China yang berpendirian bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya. Memandangkan peranan utama pakatan AS dalam dasar luar Australia, China sering mentafsir tindakan Australia dalam konteks objektif dasar AS selepas peristiwa tersebut.

China kekal sensitif terhadap perubahan yang dilihat dalam dasar Australia. Komitmen Australia terhadap Aukus ini akan menjejaskan keyakinan China terhadap polisi negara tersebut dan menggambarkan dengan jelas bahawa Australia telah memihak kepada blok AS secara rasmi.

AS sebelum ini telah mempunyai Pangkalan Tentera Laut mereka di Pulau Diego Garcia (Lautan Hindi), Singapura (sokongan logistik di Changi Naval Base), US Fleet Activities Sasebo dan Yokosuka (Armada Ketujuh), Jepun dan Commander Fleet Activities Chinhae, Korea Selatan.

Namun dengan peningkatan penguasaan China, ia telah menyebabkan keperluan untuk mewujudkan sebuah negara proksi di rantau tersebut amat mendesak.

AS dan beberapa negara Eropah yang lain telah menghantar beberapa kapal perang mereka ke Laut China Selatan untuk melaksanakan operasi bagi mempamerkan kehadiran sekali gus menekan dan membantah tuntutan China ke atas Laut China Selatan.

Justeru, AS memerlukan sebuah negara yang mempunyai keupayaan kapal selam nuklear sebagai cegah rintang di rantau tersebut kerana pengoperasian aset AS di kawasan yang jauh dari pangkalan mereka akan memberikan kesan kepada kos, pentadbiran, logistik dan moral kru.

Dengan terbentuknya Aukus, Australia akan menjadi harapan kepada blok AS dalam usaha mengimbangi penguasaan China di rantau ini.

Dengan membekalkan aset yang strategik dan canggih kepada Australia, ia akan muncul sebagai sebuah kuasa baru ketenteraan di rantau ini terutama dalam kemampuan perperangan maritim.

Dengan bantuan dan sokongan aset AS dan sekutunya yang berada di pangkalan-pangkalan terhampir di rantau ini, ia akan memberikan tekanan kepada China yang cuba menonjolkan penguasaannya di Laut China Selatan.

Lanjutan dari Aukus ini, Australia bakal merenggangkan hubungannya dengan China dan menjejaskan kestabilan rantau ini.

Negara-negara di rantau ini yang kebanyakannya mengekalkan status quo iaitu dengan tidak memihak kepada mana-mana negara kuasa besar mungkin akan berhadapan tekanan untuk berpihak kepada salah satu blok kuasa.

Situasi ini akan menimbulkan syak wasangka di antara negara serta berkemungkinan berlakunya perpecahan dalam kalangan negara Asean. Setiap negara di rantau ini perlu berhati-hati sebelum mengambil sebarang tindakan dan menyatakan pendirian berikutan pemeteraian Aukus bakal mewujudkan keseimbangan yang baru.

Farizha bin Ibrahim adalah pensyarah kanan dan felo penyelidik di Pusat Penyelidikan dan Kecemerlangan Maritim, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow