Wednesday, December 8, 2021

Perkembangan politik negara akan berada di luar jangkaan

Tetapi apa yang berlaku di Melaka tidak semestinya akan berulang pada PRU15.

Other News

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak yang akan berlangsung pastinya menjadi ukuran bagi persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekaligus melakar jangkaan terhadap corak politik negara akan datang.

Perkara yang berlaku sekarang ini tidak pernah dijangkakan demikian.

Selepas PRU14, Malaysia diharapkan memasuki era pasca pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan negara berada pada keadaan lebih baik.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil tampuk pemerintahan pada tahun 2018 diimpikan oleh para penyokongnya akan dapat memperbaiki negara melalui institusi-institusi sedia ada.

Jika semua pihak menghormati mandat rakyat seperti yang dikehendaki oleh semangat demokrasi, maka kerajaan PH akan memerintah sampai tamat penggal pada tahun 2023 dengan para pengundi akan menentukan sama ada untuk meneruskan pemerintahan mereka atau tidak.

Dalam rancangan awal seperti mana difahami oleh para penyokongnya, Malaysia akan menyaksikan dua perdana menteri dalam penggal itu, bermula dengan Dr Mahathir Mohamad dan disambung Anwar Ibrahim sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

Sepanjang penggal itu, penyokong-penyokong PH mengharapkan kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih pada tahun 2018 akan kekal hingga ke hujungnya tempoh.

PH diharap dapat terus mentadbir Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Sementara Sabah kekal ditadbir Warisan.

Cuma Sarawak keadaannya berbeza.

Oleh kerana penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka tidak sama dengan pusat, maka ketika PRU14 berlangsung, kerajaan negeri masih ditadbir oleh BN.

Tetapi setelah BN kalah, parti-parti Sarawak dalam gabungan itu keluar dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sejak 2018, BN dikira tidak lagi memerintah negeri itu.

Sememangnya BN Sarawak dan GPS terdiri daripada parti yang sama tetapi dari segi mandat rakyat, GPS tetap bukan BN.

Ketika rakyat memberi undi dalam pilihan raya negeri tahun 2016, maka mandat mereka adalah pada BN, yang berlambangkan dacing dan berpengerusikan presiden Umno.

Maka adalah wajar bagi GPS mendapatkan mandat segar untuk terus memerintah.

Tetapi penggal DUN Sarawak berakhir pada tahun 2022 yang sudah begitu hampir dan ia tidak lagi timbul untuk mendapatkan mandat segar.

Perbezaan antara GPS (selepas 2018) dan BN Sarawak (sebelum 2018) lebih ketara apabila berlaku rundingan berhubung dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Tentulah terdapat perbezaan ketika kerajaan BN Sarawak berunding dengan BN pusat berbanding dengan GPS berdepan dengan kerajaan PH, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kemudian kerajaan BN.

Dengan kerajaan PH, ia duduk sebagai kerajaan negeri pembangkang.

Sementara dengan kerajaan PN dan BN, GPS adalah sebahagian daripada kerajaan pusat tetapi tidak menjadi anggota PN atau BN.

Adalah merupakan amalan biasa bagi kerajaan pusat atau negeri untuk mengadakan PRN lebih awal daripada tempoh penggal.

Tetapi oleh kerana darurat yang berkaitan pandemik Covid-19 menyebabkan PRN Sarawak ditangguhkan.

Pandemik Covid-19 juga menjejaskan apa saja rancangan politik parti-parti baik di kalangan kerajaan, mahupun pembangkang.

Namun begitu, rancangan untuk menumbangkan kerajaan PH berlangsung lebih awal daripada munculnya Covid-19.

Ia bermula sejak BN kalah dalam PRU14.

Malah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyebut Disember 2018 sebagai tarikh BN akan kembali berkuasa.

Walaupun perkara itu tidak berlaku tetapi terdapat perpecahan dalam PKR dan Bersatu yang akhirnya membawa kepada Langkah Sheraton.

Satu perkara jelas yang menyebabkan keadaan itu ialah penolakan mereka terhadap kepimpinan Anwar.

Usaha untuk menolak Anwar sudah timbul sebelum muncul Covid-19.

Sama ada Covid-19 menjadi faktor Langkah Sheraton dipercepatkan tidaklah diketahui.

Tetapi pada masa itu Covid-19 belum diisytiharkan sebagai pandemik.

Secara umum tiada sesiapa menjangkakan Covid-19 ini begitu buruk hingga menjejaskan bukan sahaja kesihatan tetapi juga ekonomi.

Umum ketika itu berasakan wabak Covid-19 akan berlaku dan berlalu seperti SARS dan MERS.

Kerajaan baru PN akan menanganinya dengan mudah walaupun perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Ia berbeza daripada perintah berkurung pada tahun-tahun 1960-an dahulu.

Walaupun sering disebut sebagai kerajaan PN tetapi sebenarnya ia adalah kerajaan PN-BN-GPS-PSB-PBS.

Oleh kerana kedudukan kerajaan itu jelas tidak stabil, maka kelihatannya mereka akan mengadakan PRU lebih awal bagi mendapatkan mandat segar.

BN dari awal berpendirian mahukan PRU segera dengan harapan mereka dapat kembali menerajui semula kerajaan.

Wabak Covid-19 menjejaskan rancangan politik dalam dua bentuk.

Pertama, kerana adanya wabak itu, sebarang hasrat penyokong PH untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah Langkah Sheraton terpadam.

Kedua, hasrat PN dan BN untuk mengadakan PRU juga terbantut.

Langkah Sheraton membawa kejatuhan kerajaan-kerajaan PH negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Usaha untuk menjatuhkan kerajaan Warisan di Sabah terhalang dengan pembubaran DUN.

Ketika itu wabak Covid-19 kelihatan reda, maka PRN diadakan yang hasilnya memihak pada PN apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang.

GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS.

PRN itu juga dilihat sebagai ujian untuk menilai PRU15.

Kemenangan GRS memberi keyakinan kepada PN untuk mengalahkan PH.

Pada masa itu hubungan PN-BN adalah masih baik dan mereka berharap dapat bekerjasama untuk menghalang PH daripada berkuasa semula.

Tetapi PRN Sabah memberi kesan buruk pada negara apabila gelombang baru wabak Covid-19 berlaku.

Walaupun ia bukan satu-satunya faktor, tetapi PRN itu menambahkan keadaan buruk negara.

Ia membawa kepada perisytiharan darurat, penangguhan PRN Sarawak dan akhirnya kerajaan PN yang diketuai oleh Bersatu turut tumbang.

Jalan keluar bagi menstabilkan keadaan politik demi mengatasi Covid-19 dan kesan ekonomi adalah penubuhan kerajaan BN yang disokong PN, GPS, PSB dan PBS beserta perjanjian dengan PH yang antaranya menetapkan PRU15 akan diadakan sekitar Julai 2022.

Dengan penetapan tarikh itu, adalah diharapkan bahawa semua pihak boleh menyatukan tenaga untuk menghadapi Covid-19 dan kesan ekonominya.

Fokus itu juga adalah untuk mengurangkan tindakan politik yang destruktif.

Dalam keadaan ini adalah dijangkakan bahawa apabila keadaan wabak Covid-19 reda, darurat terhadap Sarawak dimansuhkan dan PRN dapat diadakan, iaitu sebelum PRU15.

Tetapi apa yang tidak dijangkakan ialah pergolakan politik Melaka.

Apabila empat ahli ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melompat, maka kerajaan negeri tumbang.

Jangkaan bahawa kerajaan PH akan ambil alih meleset apabila DUN dibubarkan.

Keadaan wabak Covid-19 yang kian reda akibat vaksinasi meluas mewajarkan PRN di sana.

Makanya kini, Melaka menjadi tempat ujian politik bagi menentukan apa yang akan berlaku di pantai barat Semenanjung untuk PRU15.

Setakat ini, apa yang dijangka adalah pertandingan tiga penjuru: BN-PN-PH.

Sungguhpun begitu fokusnya adalah BN lawan PH dengan PN mahu menghalang kemenangan PH.

Tetapi apa yang berlaku di Melaka tidak semestinya akan berulang pada PRU15.

Perkembangan politik dari tahun 2020 memaparkan ketidakpastian.

Banyak perkara berlaku di luar jangkaan.

Dalam zaman sarat maklumat ini, manusia tetap gagal untuk menjangka.

Tambahan pula, Covid-19 juga akan berkembang untuk menjadi perkara di luar jangkaan, yang turut memberi kesan kepada politik negara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles