- Iklan -
Kolum

Cinta tak berbalas

Aku belum pernah kahwin. Mungkin kerana ini aku belum lagi menjadi ahli falsafah. Aku rasa masih belum terlambat. Ini bukan pandangan sengkek. Ini pandangan ahli falsafah dunia, yang wujud lebih awal dari Nabi Isa dan Nabi Muhammad. “Kalau nak kahwin, kahwinlah. Kalu dapat isteri yang baik awak akan gembira. Kalau tak dapat isteri baik, awak […]

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku belum pernah kahwin. Mungkin kerana ini aku belum lagi menjadi ahli falsafah.

Aku rasa masih belum terlambat. Ini bukan pandangan sengkek.

Ini pandangan ahli falsafah dunia, yang wujud lebih awal dari Nabi Isa dan Nabi Muhammad.

“Kalau nak kahwin, kahwinlah. Kalu dapat isteri yang baik awak akan gembira. Kalau tak dapat isteri baik, awak boleh jadi ahli falsafah.”

Ini kata-kata Socrates, 2400 tahun dahulu.

Socrates (470-399 Sebelum Masehi) lahir di Athens, Greece 400 tahun sebelum Nabi Isa.

Sosok ini bertanggungjawab menyediakan asas falsafah tamadun Barat dan tamadun dunia yang kita bersama-sama guna pakai hari ini.

Socrates berkahwin dengan Xanthippe dan mendapat tiga cahaya mata.

Isteri Socrates ini pemarah dan suka berleter. Suka berleter dan suka bertengkar inilah yang “melukakan” hati Socrates hingga dia menjadi ahli falsafah.

Socrates berumah tangga walaupun hidup sebagai suami isteri tidak tenteram.

Pernah sekali si isteri marah lalu mencurahkan satu baldi air ke atas kepala Socrates di hadapan orang ramai.

Perangai isteri yang sedemikian menjadi pemangkin Socrates berfalsafah.

Bagaimana jika cinta ditolak tidak berbalas?

Aku selalu menulis cinta yang agung ialah cinta yang gagal.

Cinta gagal bukan bermakna cinta tidak berbalas.

Cinta gagal adalah percintaan dua sosok yang terhalang.

Manakala cinta tak berbalas ialah bercinta seorang diri.

Si polan yang dicintai “tak ambil pot”.

Tepuk sebelah tangan pada angin. Cinta tak berbalas ini juga cinta klasik.

Cinta bentuk ini juga menjadi pemangkin. Cinta tidak dibalas mendorong sosok yang kecewa membuat sesuatu yang hebat lagi luar biasa.

Cinta aku selalu ditolak. Cinta aku selalu tidak berbalas. Bukan sahaja tepuk tangan dengan angin. Aku juga cuba tepuk tangan dengan dinding.

Rayuan manis dari mulut aku tidak pernah diterima.

Tetapi penolakan dari ramai minah dari pelbagai warga dunia ini tidak pula memangkin diri aku untuk menjadi hebat seperti Vincent Van Gogh (1853-1890) yang cintanya ditolak.

Van Gogh patah hati terus menjadi pelukis. Aku patah hati hanya berulamkan petai.

Cinta aku yang selalu ditolak tidak pula menjadikan aku pelukis atau seniman tersohor.

Aku hanya berupaya menjadi pemelihara anjing.

Ketika aku di sekolah rendah pada tahun 1961, aku ada membaca tentang Leonardo Da Vinci dengan lukisan Mona Lisa.

Seingat aku nama Van Gogh aku hanya mendengar dengan teliti pada tahun 1979.

Kawan aku Wakuma siswa dari Ethiopia membaca buku surat-surat Van Goh kepada adiknya Theo.

Ini surat luahan patah hati seorang abang kepada adiknya. Aku tidak membaca buku ini. Ketika itu aku di Karachi Pakistan.

Aku tidak ada masa nak melayan surat-surat cinta kerana aku sibuk mengikuti perkembangan kejatuhan Shah Mohammad Reza Pahlavi dan kemunculan sosok bernama Ayatollah Khomeini di Iran.

Bila aku sampai ke Belgium nama Vincent Van Gogh muncul kembali.

Aku merasa agak bebal kerana tidak mengetahui siapa Van Gogh ini.

Malah aku juga tidak tahu bahawa anak paderi yang bernama Van Gogh ini juga ada pertalian dengan Belgium.

Vincent Van Gogh dari Zundert, Belanda mendapat suaka di Belgium.

Hishamuddin Rais dari Jelebu, Malaysia juga mendapat suaka di Belgium.

Dari Kamus Dewan, suaka bermakna mencari tempat berlindung atau menumpang hidup.

Bila aku ketahui bahawa Van Gogh juga mendapat suaka di Belgium maka aku pun mula membaca tentang sosok ini.

Sosok ini lahir dalam keluarga alim ulama kelas menengah atasan Belanda. Ayahnya seorang paderi, pendakwah agama Kristian Dutch Reformed Church. Dari awal Van Gogh terdidik dalam bidang agama dan seni.

Pada tahun 1873 ketika berumur 20 tahun Van Gogh mendapat peluang bekerja sebagai jurujual lukisan di London.

Ketika di London Van Gogh menyewa bilik di Stockwell di sebelah Brixton.

Aduh! Anak muda bernama Van Gogh ini jatuh cinta dengan anak tuan rumah bernama Eugenie Loyer a.k.a Jenny.

Dia mula merakamkan cintanya dalam surat-surat kepada adiknya Theo yang tinggal di Belanda.

Van Gogh sudah bersedia untuk memulakan kehidupan berumah tangga.

Dia meluahkan perasaan cintanya kepada Jenny.

Aduh! Jenny menolak cinta Van Gogh kerana sudah lama bertunang dengan jejaka lain.

Van Gogh “frust menonggeng”. Ini kali ke dua cinta Van Gogh ditolak.

Setahun sebelum Jenny, cinta Van Gogh juga ditolak oleh Caroline Haanebeek, gadis sekampung.

Hati yang patah ini mendapat bantuan dari keluarga. Dari London Van Gogh balik kampung kemudian ke Paris.

Sesudah Paris sekali lagi ke England. Kali ini menjadi guru tambahan tanpa gaji di Ramsgagte.

Pindah negeri ini diguna sebagai ubat. Tetapi patah hati remuk rendam ini masih belum terubat.

Van Gogh pulang kembali ke Belanda. Kini jatuh cinta pula dengan mak janda beranak satu.

Puan Kee Vos Stricker sepupu sebelah ibunya. Agak lebih berumur dari Van Gogh.

Cinta dengan mak janda ini pun kena tolak. Apa punya nasib.

Umur makin meningkat. Pekerjaan tetap tidak ada. Mengikut surat kepada Theo dia hanya perlu roti, katil dan bilik tidur.

Maka Van Gogh masuk belajar ke sekolah pondok untuk melatih diri untuk menjadi pendakwah di Belgium.

Patah hati ini menjadikan dirinya kembali kepada Yang Maha Esa. Van Gogh tidak pernah melupakan Isa Anak Mariam dari Nazareth.

Keluar dari sekolah pondok ini Van Gogh terus pergi ke Borinage. Ini kawasan perkampungan buruh lombong arang batu.

Borinage menjadikan aku semakin tertarik dengan Van Gogh.

Kereta api dari Brussels ke Borinage, di wilayah Selatan Belgium akan melintas di stesen Braine-le-Comte.

Mustahil aku akan melupakan Braine-le-Comte. Malam pertama, minggu pertama dan bulan pertama aku di Eropah aku menjadi warga di pekan kecil ini.

Setelah lebih dari dua bulan aku di Braine-le-Comte baru aku berpindah ke Wavre bandar “Bourgeoisie Catholic” di mana aku mengikuti kelas di sekolah bahasa Perancis di Athenee Royal Maurice Careme.

Di Wavre aku teringatkan Braine-le-Comte. Di pekan kecil ini aku teringat cinta pertama aku di Eropah.

Aku tidak akan melupakan Braine-le-Comte. Tempat terberak lagi dikenang inikan pula tempat kena “rejek”.

Minggu kedua aku di Braine-le-Comte aku berkenalan dengan David anak muda dari Chile yang lari dari rejim Pinochet.

David dan aku cuba bersembang, meraba-raba dalam bahasa Inggeris.

Ketika itu David masih lagi belajar di sekolah menengah umurnya aku rasa belum melintasi 18 tahun.

Di Braine-le-Comte aku ternampak Nathalie. Anak gadis Belgium yang langsing cun dan bergetah.

Aku rasa Nathalie ini baru selesai sekolah menengah. Melalui David aku berjaya berkenalan dengan Nathalie.

Bayangkan betapa susahnya kami cuba berbual mesra. Nathalie tak tahu bahasa Inggeris.

Aku tidak tahu bahasa Perancis. Manakala David bahasa ibundanya Sepanyol.

Tapi akhirnya aku berjaya juga membuat temujanji dengan Nathalie.

Kami bertemu di sebuah cafe dalam pekan. Aku cuba mengayat Nathalie. Aku bersurah tentang niat aku untuk belajar ilmu filem di Belgium.

Ketika aku mengayat Nathalie si David datang ke meja kami.

Lalu kami bersembang mesra. Aku tak tahu apa yang dibualkan oleh David dengan Nathalie.

Mereka berlabun dalam bahasa yang aku tak faham. Nathalie minta diri. Tinggal aku dengan David dalam cafe.

“Isham…you wrong… Isham wrong cafe.” David mengulangi tentang cafe. Aku tak faham apa silapnya.

“Not chic… not chic… no young people.”

David memperlekeh cafe pilihan aku. Baru aku faham cafe yang aku pilih tidak “chic” dan tidak “trendy”.

Bukan tempat untuk anak muda bertemu. Ini cafe biasa yang dilanggani oleh pakcik-pakcik.

Dua minggu kemudian Nathalie datang ke rumah tumpangan aku. Ketika itu aku bersama David.

Nathalie datang dengan Benoit, seorang siswa. Benoit ingin membantu aku mencari sekolah filem di Belgium.

Benoit memperkenalkan aku dengan sekolah-sekolah filem yang wujud di Belgium.

Bila mereka pulang David memandang muka aku dan terus berkata:“C’est fini…Isham… pas de chance.”

Aku faham apa maksud David. Maknanya, “semua dah habis…aku tak bernasib baik.” Kata-kata David ini betul.

Terbukti jaring aku tak melekat kerana aku nampak ketika Nathalie dan Benoit berjalan pulang mereka berpegangan tangan.

“Voila.. c’est la vie.” Ayat Perancis “inilah kehidupan” ayat yang aku hafal untuk aku jadikan bantal menampung hati yang kecewa.

Ketika aku di Wavre hati aku meronta-ronta untuk ke Borinage.

Aku hendak melawat lorong dan jalan-jalan yang dilintasi oleh Van Gogh.

Aku juga difahamkan ada sebuah muzium Van Goh di Borinage.

Hari Sabtu bulan September 1983 aku mengambil kereta api dari Wavre menuju Borinage.

Perjalanan kereta api musim daun gugur yang amat romantik.

Kereta api melintasi hutan-hutan di mana pokok-pokok berdaun merah, hijau, perang, kuning dan coklat, daun yang sedang bersedia untuk gugur menyambut musim sejuk.

Aku tidak merayau ke dalam pekan. Aku terus mencari dan membaca jalan ke arah rumah lama Van Gogh.

Aku menapak masuk ke dalam taman. Daun-daun musim luruh bertaburan gugur.

Ada lopak air di sana sini pasti hujan dua tiga hari dahulu.

Dalam tercari-cari akhirnya aku dapat bertemu arah tanda jalan ke rumah Van Gogh.

Sebuah rumah banglo batu bata yang tidak besar. Mungkin hanya ada dua bilik.

Rumah ini terjaga kemas. Kelilingnya padang rumput.

Dari apa yang aku baca setelah cinta ditolak di sinilah Van Gogh mengabadikan diri mendakwah kepada para pelombong arang batu.

Van Gogh pernah masuk sendiri ke dalam lombong untuk merasai betapa payah dan perit bekerja dalam lombong arang batu.

Semua ini dilakukan untuk melupakan hatinya yang patah berderai kerana cinta tidak berbalas.

Cinta Van Gogh terhadap Jenny lebih hebat dari cinta Hishamuddin Rias terhadap Nathalie.

Pintu rumah di tutup. Aku tahu dalam rumah ini ada penjaga yang digaji khas oleh majlis bandaran untuk menjaga rumah bersejarah yang sudah menjadi muzium.

Aku mengetuk pintu. Tidak ada jawapan.

Aku mengetuk sekali lagi. Aku terdengar tapak kaki menuju ke pintu. Aku dengar selak pintu dibuka.

Di tepi pintu menjenguk muka seorang Madam yang berumur.

“Bonjour Madame… Monsieur Van Goh.. il habite ici.”

Kata-kata aku dengan penuh sopan bertanya apakah Tuan Van Gogh tinggal di sini.

“Ooo.. Monsieur…mais no..il est mort i ya a longtemps.”

“Tuan… dia sudah mati … lama dahulu.” Madam ini menjawab dengan penuh kehairanan.

Aku sebenarnya sengaja berlakon bertanyakan apakah Van Gogh ada di rumah.

Aku ingin menggembirakan Madam yang aku rasa berjam-jam duduk bosan bersendirian tanpa pelawat. Aku yakin tidak ramai pelawat yang menziarah muzium ini.

Aku tersenyum bila mendengar kata-kata Madam ini.

Aku rasa Madam ini terfikir bahawa aku ini budak jantan kulit hitam yang tersesat yang tak tahu siapa Van Gogh.

Budak hitam dari negara dunia ketiga ini tidak tahu bahawa Van Gogh sudah lama meninggal dunia.

“Monsieur…entrez s’il vous plaît.” Madam menjemput aku masuk.

Aku perhatikan Madam ini gembira kerana ada tamu bebal yang tersesat dalam budaya seni Eropah.

Aku mementaskan teater agar Madam ini akan pulang ke rumah dan akan bercerita pada sanak saudara dan jiran tetangga tentang bagaimana dia sempat bertemu dengan jantan hitam yang tidak tahu bahawa Van Gogh sudah lama mati.

Aku melihat bilik tidur, dapur dan meja tempat Van Gogh membuat lakaran.

Dari segi sejarah dalam rumah ini Van Gogh telah melakar beberapa lakaran menggunakan arang.

Ada beberapa lakaran Van Gogh tergantung di bilik tidur.

Aku tahu di atas meja di bilik ini juga Van Gogh menulis surat kepada Theo tentang keperitan kehidupan para pelombong.

Pendakwah ini menjadi marah kepada golongan kaya yang tidak sedar bahawa hawa panas dalam rumah mereka adalah hasil dari titik peluh tenaga buruh yang perit bekerja.

Mata Madam ini mengikut gerak badan aku. Sekali lagi aku mementaskan teater komedi aku.

“Qui est Van Gogh.”

Aku membebalkan diri dan bertanya siapa Van Gogh.

“Monsieur.. monsieur c’est un artiste peintre celebre.”

Madam ini dengan pantas menerangkan bahawa Van Gogh ini seorang pelukis tersohor.

“Merci Madame.”

Aku berterima kasih dan tersenyum kerana aku amat yakin aku menggembirakan hati seorang Madam di Borinage.

Aku mengundur diri dan menapak ke pekan. Pekan kecil ini kelihatan lengang macam pekan tinggal.

Pekan yang satu ketika dahulu dilanggani oleh para pelombong. Mata aku tercari-cari macam rusa masuk kampung. Aku menapak tanpa tujuan.

Aku ingin merasakan apa yang dirasakan oleh Van Gogh ketika dia berjalan dengan ayah dan adiknya yang datang melawat dia di Borinage.

Tiba-tiba aku tergelecek dan jatuh ke lopak air di tepi longkang.

Topi aku tercampak. Ketika aku bangun membetulkan diri aku perhatikan di sekeliling, tak ada siapa nampak aku terjatuh.

Tapi aku merasa ada mata yang sedang memandang aku terjatuh. Mata aku liar mencari-cari.

Betul. Ada mata yang ternampak aku. Aku tersenyum. Apa yang aku nampak ini akan aku ingati sepanjang hidup aku.

Seorang perempuan berbaju mandi merah sedang duduk di belakang dinding kaca.

Perempuan itu tersenyum bila aku ternampak dia. Inilah dua mata yang melihat aku terjatuh.

Aku melambaikan tangan. Dia membalas lambaian aku.

Aku tahu siapa perempuan ini. Mereka memberi khidmat kasih sayang. Tidak menolak cinta sesiapa pun.

Cumbu kasih sayang pantun dan seloka akan terhambur dari mulut mereka bersama ringgit dan dolar.

Ketika aku memerhatikan perempuan dalam gelas ini aku teringat bagaimana Van Gogh di akhir hayatnya berkawan dengan Sien Hoornik.

Van Gogh bertemu Sien Hoornik seorang pelacur Den Haque. Sien dan anaknya akhirnya menjadi model untuk lukisan Van Goh.

Pelacur dan anak inilah yang menjadi keluarga Van Gogh hingga akhir hayatnya.

Aku menapak menuju ke perhentian kereta api. Ketika kereta api berhenti di Braine-le-Comte aku teringat kembali kepada Nathalie.

Aku gagal dengan Nathalie di Braine-le-Comte tapi di Borinage aku berjaya menggembirakan dua hati perempuan Belgium.

Epilog:

Bila aku pindah ke London aku putus hubungan dengan David.

Kali akhir aku bertemu David dia memberitahu aku bahawa ibu dan adik lelakinya juga mendapat suaka di Belgium.

Epilog 2:

Kegagalan aku dengan Nathalie menjadikan aku lebih keras belajar bahasa Perancis.

Usaha tangga kejayaan.

Bahasa mengenalkan kita kepada tubuh dan badan yang diminati.

Epilog 3:

Ayat paling afdal untuk dihafal ketika di Belgium atau di Paris ialah “voulez-vous coucher avec moi ce soir?” atau “mahukah kamu tidur dengan aku malam ini?”