- Iklan -
Kolum

Pengajaran politik Melaka

Jika darurat diumumkan, Melaka akan ditadbir kerajaan minoriti sehingga akhir penggal.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang Idris Haron, Adun Pantai Kundor dari Barisan Nasional (BN) Nor Azman Hassan, Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) bersama-sama menjatuhkan kerajaan Melaka pimpinan Umno sendiri.

Matlamat utama mereka ialah untuk membentuk kerajaan baru setelah menjatuhkan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Apakah mereka akan membentuk kerajaan baru bersama BN dan Perikatan Nasional (PN), atau Pakatan Harapan (PH), sebenarnya tiada siapa yang tahu jika Dewan Undangan Negeri(DUN) Melaka tidak dibubarkan.

Pengajaran politik di peringkat persekutuan perlu dijadikan iktibar ketika bermain politik dengan Umno.

Lihatlah bagaimana keyakinan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri menjadi meletup-letup apabila mendapat sokongan Umno.

Kemudian, perhatikan bagaimana beliau dimainkan pada saat akhir.

Umno akhirnya memilih orang sendiri yang menjadi perdana menteri meskipun Ismail Sabri Yaakob bukanlah orang presiden atau presiden parti.

Ini namanya real politik.

Di Melaka, jika DUN Melaka tidak dibubarkan, kemungkinan amat besar Umno akan akhirnya memilih Idris untuk menjadi ketua menteri berdasarkan prinsip asalkan parti Melayu itu kekal berkuasa.

Ketika itu, PH akan berputih mata sekali lagi.

Sokongan mereka hanya diperlukan untuk menyakinkan bahawa Sulaiman kehilangan majoriti.

Ia hampir sama seperti cara Umno membuktikan bahawa Muhyiddin Yassin kehilangan majoriti tempoh hari.

Apabila Muhyiddin jatuh, yang berkobar-kobar menjadi menteri ialah PH.

Tapi yang menjadi PM akhirnya ialah Umno.

Oleh itu, apabila DUN Melaka terbubar, sebenarnya yang terasa lega ialah PH.

Peluang lebih saksama jika mereka membiarkan rakyat menentukan nasib mereka daripada membiarkan nasib ditentukan Umno.

Suara yang kononnya menolak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana Covid-19 cumalah di mulut.

Di hati, pastinya terasa riang.

Kalau dah boleh rentas negeri, tak akan PRN tidak boleh? Betul tak?

Banyak lagi tempat yang perlu pilihan raya sebelum Melaka jika dibolehkan, seperti Sarawak.

Jika darurat diumumkan, Melaka akan ditadbir kerajaan minoriti sehingga akhir penggal.

Jom lihat siapa yang ketawa pada penghujung drama politik Melaka ini.