- Iklan -
Kolum

Tekanan era Covid-19 terhadap pendidikan negara

Pendidikan merupakan soal merentas parti dan politik.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pandemik Covid-19 yang berlarutan lebih setahun menjejaskan kelancaran pendidikan di seluruh dunia.

Sekolah-sekolah di banyak negara terpaksa ditutup untuk jangka waktu lama, yang pastinya menjejaskan pengajaran dan pembelajaran.

Itu belum lagi dikira pendidikan sekolah pada keseluruhannya yang melibatkan ko-kurikulum, pendidikan jasmani dan kemahiran sosial.

Sepanjang perintah kawalan pergerakan, usaha dilakukan oleh kementerian pendidikan untuk meneruskan pengajaran dan pendidikan secara maya tetapi tentunya ia tidak dapat menyaingi suasana bersemuka bilik darjah.

Lagipun dengan jurang digital dalam masyarakat, pastinya sebahagian besar pelajar mengalami keciciran dalam pembelajaran mereka.

Para ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah tentu dapat faham dan menyedari kesan pandemik Covid-19 ke atas pembelajaran dengan melihat mereka saban hari berada di rumah.

Maknanya pelajaran generasi pelajar, dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej hinggalah ke universiti bagi tahun 2020 dan 2021 dirasakan terjejas yang mana kesannya dapat dirasakan untuk beberapa tahun akan datang.

Sekarang negara sudah masuk bulan Oktober, maka terdapat tekanan kuat kepada kementerian pendidikan untuk membuka sekolah secepat mungkin dengan perhatian mereka tertumpu kepada pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, perancangan untuk itu sudah pun dibuat dan sekolah-sekolah dijangka akan segera dibuka.

Terdapat banyak isu yang timbul untuk pembukaan semula sekolah.

Isu utama adalah keselamatan pelajar untuk mengelak jangkitan virus Covid-19.

Ini membawa soal vaksinasi para guru dan pelajar sendiri.

Ada sebahagian bear guru di seluruh negara yang enggan divaksin.

Antara mereka adalah golongan antivaksin.

Kehadiran golongan ini memecah-belahkan masyarakat dan menjejaskan pendidikan negara.

Vaksinasi para pelajar juga menjadi isu.

Walaupun ada rancangan untuk imunisasi para pelajar dan mereka digalakkan mendaftar di MySejahtera tetapi setakat ini belum ada keputusan untuk vaksin bagi pelajar di bawah 17 tahun.

Ini kerana ujian untuk perkara ini belum muktamad walaupun di banyak negara, imunisasi untuk remaja sudah dijalankan.

Buat masa ini tumpuannya adalah pada vaksinasi terhadap pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, iaitu mereka yang berusia lebih 17 tahun.

Tidak semua negara di dunia menghadapi cabaran pendidikan berbentuk Covid-19.

Walaupun virus ini sampai hampir ke semua negara di seluruh dunia tetapi ada juga tempat yang dapat meneruskan kehidupan tanpa terjejas teruk seperti Malaysia.

Ada negara sudah keluar dari pandemik ini lebih awal lagi dan pelajar-pelajar sudah lama masuk kelas.

Sekolah-sekolah di China, Jepun dan Taiwan sudah lama dibuka.

Buat masa ini, di Malaysia, suasana pendidikannya sedang menghadapi sentimen kemerosotan keyakinan, baik di peringkat rendah mahupun di tahap universiti.

Ia pula berkaitan dengan keadaan politik dan ekonomi negara yang mengurangkan harapan untuk masa depan kerjaya para pelajar.

Tanpa pandemik inipun, kritikan dan rasa tidak puas hati terhadap keadaan suasana pendidikan banyak disuarakan.

Lebih-lebih lagi dengan adanya media sosial di mana warganet dengan mudah menyuarakan pandangan negatif mereka.

Datangnya pandemik ini hanya memberatkan suasana pendidikan negara.

Perintah kawalan pergerakan ini menguji dan menyerlahkan kelemahan serta kerapuhan sistem sedia ada.

Ia juga beriringan dengan penyerlahan kelemahan sistem sosial, politik dan ekonomi negara.

Kalau tidak kerana pandemik ini, mungkin kelemahan ini kurang ketara.

Dalam pada itu, sistem pendidikan negara mengalami pembaikan yang besar dan banyak sejak merdekaa.

Dari awal lagi, kerajaan yang memerintah memberikan penekanan besar terhadap pendidikan hinggakan seringkali menteri pelajaran atau pendidikan merupakan jawatan kanan, dengan semua perdana menteri sejak Abdul Razak Hussein pernah menyandang potfolio itu.

Apabila dibuat perbandingan dengan negara membangun lain, pendidikan di Malaysia tentu dapat dibanggakan.

Tetapi keadaan ini masih tidak memuaskan hati sebahagian besar rakyat negara ini, yang mempunyai pandangan pelbagai ragam.

Ada yang mendambakan suatu sistem pendidikan yang ideal, seperti mana apa yang dilaksanakan di Finland.

Ada pula yang sentiasa membuat perbandingan dengan sistem pendidikan di Singapura, Taiwan dan Jepun.

Sistem pendidikan negara ini adalah unik.

Seperti mananya uniknya Malaysia.

Separuh daripada penduduk negara ini enggan memasuki sekolah kebangsaan.

Mereka mahu terdidik dalam sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil.

Sementara sebahagian daripada penduduk majoriti pula tidak percaya pada sistem persekolahan arus perdana.

Mereka hantar anak-anak ke pusat tahfiz yang keadaan mutunya berada di pelbagai tahap.

Sementara golongan yang berharta tentunya lebih percaya pada sekolah swasta antarabangsa.

Dalam pada itu, ada ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah kebangsaan mempunyai pandangan serong terhadap sekolah yang berada hampir di kediaman mereka.

Mereka berebut untuk menghantar anak ke sekolah berasrama penuh, termasuklah Maktab Rendah Sains Mara.

Akhirnya timbullah dua darjat persekolahan kebangsaan.

Mereka yang dapat masuk sekolah berasrama penuh mempunyai peluang lebih besar untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, yang dianggap lebih bermutu.

Tetapi tujuan ibu bapa mahukan anaknya belajar di luar negara bukanlah untuk mendapatkan pendidikan bermutu, tetapi lebih kepada supaya mereka mempunyai peluang besar bagi mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi apabila pulang kelak.

Sedangkan asal tujuan sekolah berasrama penuh adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang bagus tetapi tinggal jauh dari sekolah dan datang daripada persekitaran yang tidak kondusif untuk pembelajaran, seperti di luar bandar atau kawasan-kawasan sosio-ekonomi rendah.

Tetapi akhirnya kini ia menjadi sekolah yang sebahagiannya merupakan tumpuan golongan elit berpengaruh.

Sistem pendidikan tinggi negara kini juga menerima kritikan.

Pendidikan tinggi berkembang daripada Universiti Malaya, kemudian berkembang menjadi lima universiti awam dan kini terdapat puluhan universiti, awam dan swasta.

Dalam kalangan swasta pula, terdapat cawangan universiti asing.

Namun begitu, kebanyakan rakyat hanya mampu menghantar anak ke universiti awam melalui pinjaman dari PTPTN.

Sementara agensi ini yang kini menghadapi kesukaran untuk memperoleh kembali bayaran pinjaman.

Mutu universiti di negara ini banyak dipersoalkan.

Termasuk universiti swasta walaupun terdapat banyak pelajar asing yang menuntut di sini.

Ia bukan saja mutu tetapi integriti.

Sememangnya kini sudah banyak tenaga pengajar tempatan yang berkelayakan tinggi.

Ada yang cemerlang. Tetapi pada waktu sama kadangkala timbul juga isu integriti.

Apa hal pun, umum lebih yakin pada institusi pengajian tinggi negara maju.

Obsesi terhadap pendidikan akademik sedang berlaku dengan anggapan bahawa ia meminggirkan pendidikan vokasional.

Ibu bapa masih mengutamakan aliran akademik.

Sedangkan hakikatnya, hanya sebahagian kecil manusia cenderong pada akademik.

Sebahagian besar manusia lebih cemerlang dalam vokasional.

Akibat daripada ketidakseimbangan antara akademik dan vokasional ini, maka berlakulah pengangguran siswazah dan kurangnya suasana kreatif, inovatif dan berkemahiran dalam masyarakat.

Tentulah menjadi persoalan bahawa rakyat Malaysia lebih gemar membeli barangan luar negara daripada berusaha mencipta dan membuat produk sendiri.

Perkara ini tentulah berkaitan dengan keadaan industri di negara ini.

Kesukaran siswazah mendapat pekerjaan yang selayak dengan kelulusannya adalah membimbangkan.

Lebih-lebih lagi di Malaysia yang mana industri negara berkait rapat dengan faktor hubungan kaum.

Isu doktor kontrak pula adalah simptom yang jelas bahawa sistem pendidikan beserta realiti ekonomi negara perlu penelitian untuk pembaharuan dan pembaikan, tidak kiralah siapa yang memegang tampuk pemerintahan.

Pendidikan merupakan soal merentas parti dan politik.

Ia kunci keamanan dan kemakmuran negara.