- Iklan -
Rencana

Kehidupan bersama virus Covid-19: Satu penerimaan

Kementerian kesihatan mengumumkan Malaysia ketika ini berada di landasan yang betul untuk beralih ke fasa endemik pada penghujung bulan Oktober.

Joey Gan
5 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melakukan aktiviti di ibu negara Kuala Lumpur selepas di bawah Pelan Pemulihan Negara yang memberikan kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap.
Orang ramai melakukan aktiviti di ibu negara Kuala Lumpur selepas di bawah Pelan Pemulihan Negara yang memberikan kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu menjalani hidup ini bersama-sama virus Covid-19. Tanpa kita sedari, perkataan pandemik sudah tidak lagi menimbulkan perasaan gerun di kalangan masyarakat. Kebanyakan mereka mengakui perkataan pandemik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini.

Namun, apakah yang akan berlaku apabila virus Covid-19 ini menjadi satu situasi yang biasa?

Pengarah Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI) IMU, Dr Lokman Hakim Sulaiman membincangkan bagaimana kita boleh beralih daripada pandemik kepada endemik.

Seperti yang diuar-uarkan di media massa, kementerian kesihatan (KKM) mengumumkan Malaysia ketika ini berada di landasan yang betul untuk beralih ke fasa endemik pada penghujung bulan Oktober. Berikutan pengumuman itu, banyak perbincangan mengenainya yang dapat kita ikuti di media-media utama dan dalam talian.

“Kita bakal memasuki fasa endemik, tetapi ia tidak bermakna virus Covid-19 akan pupus. Orang ramai perlu difahamkan yang jangkitan tidak akan berhenti begitu sahaja, tetapi ia akan tetap ada bersama-sama kita dan terus menular,” jelas Lokman.

Oleh itu, masa depan kita bukan gelap dan suram. Sebenarnya, peralihan pandemik kepada endemik itu merujuk kepada sejumlah besar masyarakat yang semakin imun kepada virus Covid-19, iaitu bekas pesakit Covid-19 yang dijangkiti secara semulajadi lalu sembuh dan mereka yang telah divaksinasi.

“Apabila tidak ramai orang dijangkiti, maka jumlah kes akan menurun.

“Vaksin akan menjadi alat utama dalam memastikan tahap keimunan orang ramai berada pada tahap yang tinggi. Ketika itu peralihan dari fasa pandemik ke endemik boleh dilaksanakan,” tambah beliau.

Data dari seluruh dunia menunjukkan penurunan jumlah kes-kes serius selepas pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19. Perkembangan ini dapat mempercepatkan proses kita memasuki fasa endemik, tetapi kadar vaksinasi bukanlah satu-satunya petunjuk keendemikan.

Penerimaan

Untuk berada dalam fasa endemik, angka jangkitan perlulah berada pada tahap yang boleh diterima atau boleh dikawal.

“Ini bermaksud ia tidak lagi menjadi satu isu besar kepada pihak hospital kerana pada fasa endemik, angka jangkitan adalah rendah, tidak ramai yang perlu dimasukkan ke hospital dan jumlah kematian juga rendah,” kata Lokman.

Justeru, apa pula yang dimaksudkan dengan tahap boleh diterima?

Lokman menjelaskan, ia adalah satu situasi yang kompleks dan dinamik. Banyak faktor boleh mempengaruhi keadaan ini iaitu kekuatan dan jangka masa perlindungan imun masyarakat, kebolehjangkitan virus Covid-19, keupayaan penjagaan kesihatan dalam menguruskan jangkitan dan persediaan intervensi kesihatan awam.

“Ia turut mengambil kira sikap orang ramai. Tingkah laku mereka akan menentukan samada jangkitan akan terus menular atau dapat dikawal,” kata Lokman.

Setakat ini masih tiada lagi tahap ketetapan universal dalam perkara ini.

“Setiap negara ada variasi mereka sendiri. Negara-negara ini juga perlu menganalisis situasi dan menentukan kriteria keendemikan sendiri,” kata beliau.

”Tanya diri kita. Pada tahap apa kita akan berasa selesa?”

Kita sudah berada di tahap mana?

Apakah dengan memasuki fasa endemik itu bermaksud kita sudah sampai ke penghujung jalan dan memenangi peperangan ini?

“Tidak sama sekali. Sebagaimana mudahnya kita memasuki fasa endemik, maka semudah itu juga kita boleh kembali ke fasa pandemik. Varian-varian baru boleh melonjakkan balik jumlah kes jangkitan ke kadar yang tinggi.”

Beliau memberikan contoh bagaimana varian Delta menyebabkan kes jangkitan Covid-19 kembali meningkat di beberapa buah negara dan pemantauan teliti pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kemunculan varian-varian baru seperti Lambda dan Mu.

Lokman turut menjelaskan bahawa berikutan ketidaksaksamaan akses kepada vaksin Covid-19 di seluruh dunia, sebahagian besar populasi dunia masih mudah terdedah kepada jangkitan virus tersebut.

“Kemunculan varian-varian yang sangat mudah berjangkit ini boleh mencetuskan epidemik baharu yang boleh melarat menjadi pandemik secara global,” jelas beliau memberi amaran.

Daripada wabak kepada endemik

Lokman memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai perkara ini. Jelas beliau, kita perlu memahami bagaimana satu-satu penyakit itu bermula sebagai wabak, lalu menjadi epidemik, seterusnya pandemik dan kemudiannya diisytiharkan sebagai endemik.

Wabak adalah apabila berlakunya peningkatan mendadak jumlah kes di dalam kawasan yang terhad, baik dalam kawasan di mana adanya kes yang pernah dilaporkan atau di kawasan yang baru.

“Misalnya, jumlah kes denggi yang tinggi daripada biasa dalam bulan-bulan tertentu dalam setahun. Ini disebut sebagai wabak denggi,” terang Lokman.

Apabila wabak itu merebak dan membabitkan kawasan yang lebih luas dan besar dengan angka kes yang lebih tinggi, maka epidemik telah berlaku.

“Epidemik denggi pernah berlaku di Malaysia pada 2014 di mana jumlah kes meningkat dengan begitu tinggi iaitu hampir 110,000 kes berbanding tidak lebih 50,000 kes yang direkodkan dalam tiga dekad sebelumnya.”

Lokman menjelaskan bahawa istilah-istilah wabak, epidemik, pandemik dan endemik bukan diguna pakai untuk penyakit berjangkit sahaja, tetapi untuk keadaan kesihatan yang lain juga.

Seperti yang kita ketahui, pandemik adalah satu keadaan epidemik yang sudah merebak secara global seperti Covid-19. Contoh-contoh lampau adalah Spanish Flu pada tahun 1918 yang meragut lebih 50 juta nyawa.

Kira-kira sepuluh tahun lalu, pandemik Influenza H1N1 menjejaskan seluruh dunia dalam waktu yang amat singkat. H1N1 kini diklasifikasi sebagai endemik di banyak negara yang mana kemunculannya agak terkawal.

Datuk Lokman memberikan gambaran bagaimana kehidupan dengan Covid-19 sebagai endemik, nanti.

“Cuba fikirkan Covid-19 ini seperti denggi dan malaria yang mana kedua-duanya adalah endemik di negara kita. Laporan kes adalah kerap setiap tahun.”

Antara sifar Covid-19 dan endemik

Beberapa buah negara seperti New Zealand telah mengamalkan strategi sifar Covid-19 dengan harapan untuk menghentikan jangkitannya. Antara strategi yang mereka ambil adalah dengan mengenakan perintah berkurung dan had perjalanan yang ketat bertujuan untuk menghapuskan terus virus tersebut.

Namun begitu, kebanyakan negara telah menerima hakikat bahawa intervensi kesihatan sahaja tidak akan dapat menghentikan jangkitan Covid-19.

“Pada tahap endemik, kita perlu memberi tumpuan kepada tanggungjawab orang awam untuk membantu mengawal penyakit ini. Orang ramai perlu terus dididik mengenai peri pentingnya penilaian dan pengurusan risiko supaya mereka dapat bertindak dengan berkesan bagi meminimumkan risiko dijangkiti dan menjangkiti orang lain.”

Lambat laun sekatan pergerakan akan dihentikan. Oleh itu, penekanan perlu diberikan kepada pendekatan-pendekatan lain seperti pengukuhan sistem penjagaan kesihatan yang mampu menangani ancaman jangkitan yang berterusan.

“Walaupun kita sudah memasuki fasa endemik, kita perlu sentiasa beringat-ingat bahawa epidemik ini masih berlaku.”

Kita juga perlu melihat kepada statistik kes harian dengan cara baru dan memberi perhatian khusus kepada kes-kes berisiko tinggi berbanding jumlah kes yang dijangkiti.

“Seperti yang kita lihat sekarang, angka-angka harian sudah dibahagikan kepada beberapa kategori risiko,”

“Berdasarkan statistik tersebut dapatlah kita mengetahui dengan lebih tepat samada sistem penjagaan kesihatan kita terbeban atau tidak.”

Meningkatkan imuniti

Apakah dos penggalak boleh membantu kita untuk kekal berada dalam zon endemik? Lokman menjelaskan, semuanya bergantung kepada keberkesanan vaksin tersebut dan pola jangkitan epidemiologi dalam populasi tertentu, iaitu bagaimana virus itu merebak dan apakah faktor-faktor yang mempengaruhi penyebarannya.

“Risiko jangkitan tidak sama di semua kawasan dan negara. Oleh itu, setiap negara perlu menjalankan kajian mengenai pola jangkitan di negara masing-masing dan prestasi vaksin yang mereka gunakan. Kita perlu memahami keadaan kita sendiri dan membuat keputusan samada kita memerlukan dos penggalak, bila dan seberapa kerap.”

Timbul persoalan dan kebimbangan dari sudut moral dan etika apabila bercakap mengenai pemberian dos penggalak di ketika ramai lagi yang masih menunggu untuk disuntik vaksin dos pertama.

“Banyak negara yang masih belum mencapai liputan vaksinasi yang sewajarnya, sedangkan negara-negara maju sudah mula mengumpulkan vaksin dos penggalak.”

Lokman menambah, penghasilan rawatan atau ubat yang berkesan untuk merawat jangkitan Covid-19 adalah sama pentingnya dalam mempertingkatkan keberkesanan pengurusan pandemik ini.

“Ubat-ubatan yang berkesan dapat menghapuskan virus ini dan mengurangkan sumber jangkitan kepada orang lain. Rawatan yang berkesan juga mampu mengubah strategi vaksinasi.”

Meneruskan kehidupan

Berita baik kepada orang ramai adalah kita boleh kembali kepada kehidupan dan rutin yang hampir normal atau norma baru dalam fasa endemik.

“Jangkitan masih berlaku dan pastinya tetap ada ketidaktentuan. Langkah-langkah kesihatan awam masih perlu kita teruskan. Pemakaian topeng separa muka, penjarakan fizikal, kawalan khalayak dan pengudaraan yang lebih baik perlu terus dilaksanakan di kawasan-kawasan aktif jangkitan.”

Benar, hidup perlu diteruskan dan fasa endemik ini akan membantu kita mengharunginya.

“Sehingga kita lebih memahami penyakit ini, maka kita hendaklah terus berjaga-jaga dan tidak leka.”

Joey Gan adalah pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow