Friday, October 22, 2021

Kenapa pendapat pelajar Melayu tidak diutamakan dalam survei?

Sanggupkah Architects of Diversity menyelidik organisasi sektor swasta dari pelbagai industri dalam hal pengambilan pekerja mengikut jawatan, taraf pengurusan, gaji dan etnik?     

Other News

Penulis turut “terkejut” dengan komen bekas timbalan menteri pendidikan Chong Sin Woon, seperti dilaporkan oleh The Malay Mail 18 September 2021, mengenai penemuan kajian diskriminasi dalam pendidikan dari organisasi amal Architects of Diversity (AOD) melalui kempen Sekolah Semua.  

Bagaimanapun, Chong seharusnya memeriksa kesahihan kajian itu sebelum membuat rumusan.  Laungannya “sekolah-sekolah perlu bertindak menangani masalah tersebut” dan “situasi persekolahan mestinya telah menjadi lebih teruk dari tahun-tahun kebelakangan ini,” serta kesimpulan “jika diskriminasi itu dilahirkan oleh guru-guru, pihak kementerian wajib bertindak dengan serius”, adalah  tergesa-gesa.  

Penulis mendapati beberapa kelemahan yang ketara daripada kaedah dan persembahan penemuan-penemuan utama kajian tersebut.    

Kajian ini menggunakan teknik bukan-keberangkalian dalam pemilihan sampel.  Persampelan kuota tidak menunjukkan pemilihan responden secara rawak mengikut klasifikasi lokasi bandar dan luar bandar dan sekolah, kolej/universiti awam dan swasta.  

Oleh itu, penemuannya tidak boleh diunjurkan ke populasi pelajar di negara ini. Apatah lagi, perkataan sekolah kerap digunakan sementara responden berumur 18-19 tahun yang berada di sekolah menengah hanya mewakili 8.5% dari jumlah sampel.  Semua sampel lain melebihi kumpulan umur ini.

Perlu diingatkan, pelajar yang berumur 20 tahun ke atas hampir kesemuanya berada di kolej atau universiti mengikuti program pendidkan diploma dan ijazah. Oleh itu majoriti sampel kajian ini adalah pelajar dari institusi pengajian tinggi, bukan sekolah.  

Malahan, terdapat sepertiga responden atau 850 orang tergolong sebagai ibu-bapa!  

Dari penemuan utama kajian ini, diskriminasi yang dirasai oleh pelajar kaum Melayu tidak diketengahkan seperti etnik lain. Tidakkah pandangan kaum Melayu, mengikut laporan banci 2020) mewakili hampir 70% populasi Malaysia, turut penting?  

Bedasarkan angka, tidakkah pandangan diskriminasi oleh etnik Melayu jauh lebih besar dari kaum lain kerana kaum ini adalah yang majoriti, sementara etnik Cina mewakili 23% dan India 7% populasi Malaysia?  Mengapa pandangan diskriminasi dari kaum Melayu tidak diutamakan?      

Malahan kajian ada mengumpul perangkaan bahawa 37% pelajar Melayu mendakwa mengalami diskriminasi lisan seperti kata-kata kesat lebih tinggi dari pelajar Cina 30%, seperti di bawah ini.

Carta 1: Pengalaman bentuk-bentuk diskriminasi di sekolah.

Carta Dua pula menunjukkan 69% pelajar Melayu mengalami diskriminasi dari pelajar sebaya dengan mereka, kedua terbesar dan lebih tinggi dari pelajar Cina 65%. Sementara itu, pelajar Melayu dan Bumiputra lain adalah etnik terbesar, ia itu 56% dan 60%, mendakwa didiskriminasi oleh pelajar yang lebih tua dari mereka, berbanding 49% pelajar Cina dan 54% pelajar India. 

Carta 2: Individu melakukan diskriminasi yang dialami di sekolah.

Guru-guru (atau sebenarnya pensyarah?) adalah golongan ketiga pelajar-pelajar ini mengalami diskriminasi.  Tetapi, kesimpulan kajian nampaknya mengutamakan guru-guru dan aspek ini dilaungkan oleh Chong.             

Lagipun, adalah tidak adil mensasarkan guru-guru sebagai unsur diskriminasi sedangkan faktor sosiologi lain di luar sekolah, kolej dan universiti berperanan membentuk persepsi diskriminasi.  Umumnya, nilai diskriminasi boleh juga ditanam oleh ibu-bapa, adik-beradik dan media.

Apakah manfaatnya dengan mecadangkan lebih banyak undang-undang anti-diskriminasi apabila mereka yang mengalaminya –para pelajar– masih diasingkan mengikut kaum dan agama oleh bertaburan sekolah agama, dan sekolah vernakular Cina dan Tamil?  

Tentunya senario ini memudahkan diskriminasi berterusan, seperti dikatakan oleh Chong: ia akan mewujudkan “stereotaip, prejudis dan perkembangan idoelogi memudaratkan …” Kita boleh menjangkakan hal ini berlaku di sekolah satu-kaum.  

Masalahnya, siapa antara kita sanggup mengenepikan ma’had tahfiz dan sekolah vanukular serta memperjuangkan sekolah kebangsaan yang mana pelajar-pelajar berbagai kaum bertemu, membentuk kepercayaan dan menghargai nilai-nilai persamaan dan perbezaan?

Komen kononya Melayu konsevatif takut undang-undang anti-diskriminasi kerana boleh menarik keistimewaan yang ditawarkan kepada Bumiputra perlu diberi perhatian.  

Apabila kita membincangkan pendidikan, penulis mengandaikan dua isu utama berbangkit, ia itu lebih ramai Bumiputra diterima masuk di institusi pendidikan tinggi dan anugerah biasiswa.

Jangan kita lupa sebab-sebabnya. Pertama, label keistimewaan ini asalnya adalah tindakan afirmatif, yang merangkumi kontrak sosial di antara pemimpin-pemimpin semua kaum.  Jika kita mahu ia diberhentikan, marilah kita dapatkan sokongan ketua-ketua politik untuk memberhentikannya.     

Kedua, masih terdapat hampir 30% kaum Melayu dan Bumiputra lain atau 9 juta mereka yang tinggal di kawasan luarbandar. Majoriti mereka dalam kemiskinan dan ketiadaan suasana pembelajaran yang baik seperti perpustakaan awam dan akses internet.  

Pelajar luarbandar ini tidak akan mempunyai peluang berbanding pelajar Melayu, Cina dan India dari bandar jika kemasukan ke universiti awam hanya berdasarkan merit.   

Ini adalah kegagalan kerajaan untuk menyediakan sama-rata pendidikan berkualiti tanpa diskriminasi antara bandar dan luarbandar. Oleh itu, mengenepikan pelajar Bumiputra dari lokasi ini yang mempunyai kelulusan tetapi kurang gred bermerit memasuki universiti awam adalah satu bentuk diskriminasi.   

Atas dasar ini juga peratusan tawaran biasiswa lebih kepada golongan Bumiputra.  Bagaimanapun, terdapat banyak biasiswa yang diberikan oleh universiti swasta.  Selalunya dalam bentuk tawaran percuma keseluruhan atau sebahagian bayaran pengajian kepada pelajar yang memerlukan.  

Tentunya, ramai akan menyokong jika AOD boleh melakukan kajian untuk menentukan berapa banyak biasiswa yang secara kolektif bernilai jutaan ringgit dari universiti swasta ini diberi kepada pelajar mengikut etnik?  

Penulis juga bersetuju dengan Chong bahawa “diskriminasi juga berlaku melepasi pendidikan.”  Tetapi, jika kita melangkah ke jalan ini, akan kelihatan lebih banyak cabaran dalam masyarakat kita.    

Ini yang dilalui oleh perdana menteri Singapura dalam ucapan Hari Kebangsaan baru-baru ini.  Dia meluahkan dua kebimbangan utama negaranya:  “Terdapat sebahagian pemilik rumah kaum Cina yang memberitahu ajen hartanah yang mereka tidak gemar penyewa dari sesuatu kaum (Melayu? India?), sementara ada sebahagian majikan gemar mengambil pekerja Cina.”    

Berapa ramai di antara kita boleh berkata diskriminasi seperti ini tidak belaku di Malaysia?  Sanggupkah AOD menyelidik organisasi sektor swasta dari berbagai industri dalam hal pengambilan pekerja mengikut jawatan, taraf pengurusan, gaji dan etnik?     

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan dan sub-editor Berita Harian, dan ahli akademik. 

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles