- Iklan -
Berita

Hujah PM jawab pelajar tiada asas Perlembagaan, kata peguam

Lawyers for Liberty mempertikaikan tindakan Anwar Ibrahim menggunakan terma kontrak sosial dalam jawapannya kepada soalan mengenai kuota Bumiputera bagi kemasukan pelajar ke Institut Pengajian Tinggi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis bersama pelajar Kolej Matrikulasi di Pulau Pinang di Kepala Batas, 5 Ogos. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis bersama pelajar Kolej Matrikulasi di Pulau Pinang di Kepala Batas, 5 Ogos. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) menempelak Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana menggunakan terma "kontrak sosial" dalam jawapannya kepada seorang pelajar yang bertanyakan mengenai sistem kuota Bumiputera untuk kemasukan ke institut pengajian tinggi, mengatakan tiada peruntukan bagi konsep ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata kontrak sosial itu "digunakan secara kerap" di Malaysia oleh parti "etno-nasionalis, khususnya dari Umno, untuk menegaskan penguasaan Melayu ke atas kaum lain".

"Kiasan kepada kontrak sosial bagi mempertahankan kuota Bumiputera dalam pendidikan tinggi adalah alasan politik untuk mempertahankan konsep 'Ketuanan Melayu' sebagai sebahagian daripada dasar negara kita," katanya.

“Kontrak sosial dan Ketuanan Melayu bukanlah konsep yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak boleh digunakan untuk menumbangkan prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. 

"Walaupun tindakan afirmatif untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak terdapat dalam Perlembagaan melalui Perkara 153, namun skopnya adalah terhad. Perkara 153 sememangnya tidak mewujudkan sebarang konsep tambahan undang-undang 'kontrak sosial' dalam bentuk sempit yang dianjurkan oleh sayap kanan, dan kini dilaungkan oleh Anwar sendiri."

Anwar membangkitkan kontrak sosial itu dalam jawapannya kepada seorang pelajar pada satu majlis di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang baru-baru ini yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menghapuskan sistem kuota yang memihak kepada golongan Bumiputera dan menggantikannya dengan sistem meritokrasi.

Pelajar tersebut juga meminta diberi sedikit masa untuk menerangkan supaya soalannya tidak disalah tafsir. 

"Sebelum saya bertanya soalan saya, saya ingin menyatakan bahawa saya ingin mengambil masa satu hingga minit untuk bertanyakan soalan dan juga memberi sedikit penjelasan, supaya ia tidak disalah tafsirkan.”

Anwar bagaimanapun menghentikan pertanyaan tersebut sebelum dia cuba menjelaskan, dengan pelajar itu dilihat tergamam pada satu ketika.

Perdana menteri juga memetik kontrak sosial, sambil menambah bahawa jika beliau "memuaskan" pelajar itu dengan memansuhkan sistem kuota, ia akan menyebabkannya kalah dalam pilihan raya.

Dalam kenyataannya, Zaid berkata kontrak sosial itu adalah "konsep yang merosakkan dan tidak sepatutnya diterima pakai oleh seorang perdana menteri yang mengetuai Pakatan Harapan (PH), yang sepatutnya menjadi gabungan politik reformis". 

"Amat membimbangkan apabila ditanya soalan yang sah oleh seorang pelajar mengenai masalah mendesak ketidaksamaan pendidikan yang dihadapi oleh orang bukan Melayu, Anwar menggunakan konsep pseudo seperti ini, yang tiada asas Perlembagaan atau undang-undang kita," katanya. 

“Apa pun, sistem kuota di universiti dan kolej yang terkandung dalam Perkara 153(8A) Perlembagaan Persekutuan hanya diperkenalkan pada 1971, jadi ia bukan sesuatu yang asalnya merupakan sebahagian daripada Perlembagaan. 

"Sebagaimana pindaan sedemikian dibuat, ia juga mungkin untuk dikeluarkan pada masa yang sesuai. Ia tidak ditulis pada batu.”

Zaid berkata Anwar juga harus mempertimbangkan ulasan Suruhanjaya Reid, suruhanjaya bebas yang bertanggungjawab merangka Perlembagaan sebelum kemerdekaan, bahawa tindakan afirmatif di bawah Perkara 153 sepatutnya dikurangkan dan dihentikan untuk memastikan kesaksamaan antara kaum dan masyarakat.  

Beliau juga mengkritik komen perdana menteri mengenai pilihan raya akan datang, menyebutnya "pengakuan tersirat bahawa kerajaan tidak terikat dengan prinsip reformasi sebaliknya dengan keinginan mereka untuk menawan undi Melayu konservatif". 

"Anwar yang mengetuai kerajaan 'reformis' mesti menolak bahasa dan konsep ketuanan Melayu seperti 'kontrak sosial'," katanya.

"Akhir sekali, beliau tidak boleh memberi nafas baru kepada fantasi beberapa bahagian sayap kanan dan ekstremis.

“Perubahan bukanlah mudah, tetapi ia adalah tugas yang m diamanahkan kepada kerajaan dan mereka tidak boleh lari daripada semua ini demi mengekalkan kuasa."