Saturday, October 16, 2021

Irama kehidupan

Ketika itu bakat aku dipungut dari tepi jalan Old Compton Street, London.

Other News

Awal pagi aku sampai bilik kuliah. Aku tak sabar nak beritahu rakan sekelas tentang bagaimana bakat aku dipungut di tepi jalan Old Compton Street.

Di pintu bilik kuliah aku terserempak dengan Nina. Nama penuh Nina Khan. Minah cun ini adalah generasi kedua warga British keturunan Pakistan.

Aku agak rapat dengan Nina. Dia bangga kerana aku pernah tinggal di Pakistan. Walhal dia hanya mendengar surah Pakistan dari emak dan ayahnya.

“Nina you know this band Tears for Fears?” Aku bertanya.

“What about it?” Soalan aku dijawab dengan soalan.

Tiba-tiba Robert atau kami panggil Rob yang terdengar perbualan kami mencelah masuk. Robert ini lulus ijazah zoologi.

Dia bosan lalu masuk kembali belajar ilmu filem. Umurnya tidak begitu jauh dengan dengan aku.

“Was a top band in the 80’s.” Rob memberi penjelasan. Rupa-rupanya Tears for Fears ini bukan kecik anak.

Telinga aku terbuka luas. Nampak sangat lama aku meninggalkan dunia muzik popular ini. Kugiran yang “hot” di kota London pun aku tak tahu lagi.

Aku terus menceritakan kepada Nina dan Rob apa yang berlaku di Old Compton Street. Bagaimana aku dipungut dan dipelawa untuk berlakon dan menari dalam klip muzik video Tears for Fears.

“You are joking Isham?” Rob kurang yakin dengan kisah aku. Dia menyangka aku melawak kerana kugiran Tears for Fears ini kugiran “top” kota London satu ketika dulu.

“This Saturday is the shoot with Oleta Adams. Who is she?” Aku menjelaskan duduk perkara sambil bertanya.

“I want to come.” Nina nak ikut sama.

“Really? That’s cool. Oleta?…She is an American singer.” Rob memberi penjelasan

Kemudian Nina dan Rob bercerita panjang lebar tentang kugiran Tears for Fears.

Dalam tahun 80-an kugiran ini “top” di tangga jualan rekod. Pernah beberapa kali menjadi “Penyanyi Pujaan Minggu Ini” di carta senarai rekod dan kaset laris terjual United Kingdom.

Pada tahun 1985 kugiran Tears for Fears sedang menjelajah Amerika Syarikat (AS).

Kugiran ini mengadakan konsert dari kota ke kota di AS.

Satu malam Roland Orzabal dan Curt Smith, sosok utama kugiran ini pulang ke hotel tumpangan mereka.

Di lobi hotel mereka terdengar Oleta Adams sedang bermain piano dan menyanyi untuk tetamu hotel di bar.

Pada malam itu mereka berkenalan.

Dua tahun kemudian Roland mempelawa Oleta untuk menjadi penyanyi dan bermain piano untuk kugiran Tears for Fears.

Oleta ini anak seorang paderi. Dia dibesarkan di Yakima, Washington. Semenjak dari kecil lagi Oleta berkenalan dengan muzik gospel dan soul.

Oleta juga belajar bermain piano di gereja.

Cerita latar seperti ini langsung tidak aku ketahui. Dulu ketika aku di Jelebu aku tahu juga perkembangan pop kota London.

Selain dari The Beatles dan Rolling Stone aku juga meminati Herman’s Hermit. Kini aku tinggal dalam kota London tetapi kugiran Tears for Fears pun aku tak tahu dan tak pernah dengar.

Aku semakin buta pengetahuan tentang kugiran, lagu pop atau penyanyi pujaan.

Pengalaman dan pembacaan menjemput dan mengalihkan aku ke satu dunia yang baru. Dunia teater dan filem yang lebih memberahikan.

Jika Nina dan Robert tidak bercerita tentang Tears for Fears dan Oleta Adams, aku pasti terus dalam kebebalan tidak tahu menari untuk siapa.

Pada hemat aku apabila dipelawa untuk berlakon pasti Tears for Fears ada album baru yang hendak diterbitkan.

Biasanya semua lagu sudah siap disusun. Malah sudah dirakam dalam studio. Klip muzik video ini adalah perancangan bahagian akhir.

Apabila semua susunan lagu beres maka satu lagu dipilih untuk diiringi oleh klip video. Ini sebagai bahan untuk promosi dan iklan.

Klip muzik video ini juga menjadi jambatan antara peminat dengan kugiran selain dari mengadakan konsert.

Klip muzik video ini juga satu genre seni baru. Malah ianya baru dijadikan ilmu bahan belajar di fakulti media dan filem.

Klip yang tidak sampai lima minit ini sama mencabar pembuatannya seperti 30 saat iklan.

Aku masih ingat lagi ketika aku belajar di Brixton College satu kuliah diberi tentang klip muzik video.

Dalam kuliah ini klip lagu “Thriller” nyanyian Micheal Jackson arahan John Landis dijadikan bahan kajian.

John Landis ialah pengarah filem dari Holywood.

John Landis menggarap The Blue Brothers (1980), American Werewolf in London (1981) dan Coming to America (1988).

Manakala Thriller untuk Micheal Jackson dibuat pada tahun 1983.

Pentingnya genre klip muzik video seni baru ini dibuktikan oleh Michel Jackson.

Raja pop dunia ini melanggan John Landis. Pengarah filem tersohor.

Berapa bayaran untuk John Landis dan berapa bajet untuk membuat klip videon yang panjangnya 3 minit 21 saat itu masih menjadi rahsia.

Aku budak kampung dari Jelebu yang belajar ilmu filem merasa bernasib baik sekali. Aku sudah berlakon dalam filem.

Melihat bagaimana filem dirakam dalam studio. Aku berlakon dalam filem iklan.

Aku mengambil bahagian dalam dua genre seni bayang bergerak. Kali ini genre ketiga, aku akan mengambil bahagian dalam pembuatan klip muzik video.

Pagi Sabtu itu aku minta cuti sehari dari menjadi pelayan di Restoran Garuda. Aku menyatakan kepada Johnny, tuan punya restoran hari Sabtu ini aku mahu menjadi “pop star”.

Pagi Sabtu yang ditetapkan aku berjalan ke arah Parlimen kemudian menyeberang Sungai Thames. Studio tempat rakaman ialah satu bangunan kosong tidak jauh dari tebing Thames.

Nina membatalkan niat untuk datang bersama. Bila aku sampai ke lokasi aku nampak krew filem sedang memasang lampu.

Tempat rakaman ini bukan studio filem tetapi ruang kosong, mungkin stor gudang yang tidak digunakan.

Aku lihat ruangnya luas, seluas setengah padang bola.

Krew pereka set sedang usik sana, usik sini. Aku yakin mereka sudah beberapa hari bekerja lebih awal untuk menyediakan set.

Aku lihat krew set menampal sana dan membuat pembetulan akhir sebelum penggambaran dijalankan. Di hujung set ada satu meja panjang.

Di atas meja ini ada balang untuk teh dan kopi dan jajan untuk sarapan pagi. Aku menolak bila aku dipelawa kerana aku sudah selesai sarapan.

Di satu bahagian lagi kelihatan dua karavan. Aku rasa ini untuk Oleta dan ahli kugiran.

Pelakon untuk klip video ini agak ramai juga. Pelbagai bangsa.

Aku ternampak lelaki Cina, lelaki Afrika, anak muda kulit hitam, makcik dan pakcik Inggeris dan seorang gadis Sepanyol yang datang dengan managernya.

Juga seorang ibu India datang dengan anak kecil. Kami dikumpulkan untuk diberi taklimat.

Aku rasa si Minah cun yang memberi maklumat ini ialah penolong pengarah. Si Jantan pengarah aku tidak nampak.

Aku rasa pengarah duduk di belakang set melihat apa yang berlaku melalui peti video.

“Our concept …. this video is our world.. many nationalities … . this is the rhythm of life … the rhythm of the world ….you dance .. you act… be as normal as you are…. feel the music….. dance according to rhythm of the music.”

Aku hanya mendengar konsep klip muzik ini ialah irama dunia pelbagai bangsa.

Aku mendengar dan mengumpul pengalaman. Aku terfikir mungkin satu ketika nanti aku juga akan membuat klip muzik video.

Kemudian aku diminta menukar pakaian. Aku diberi baju kurta kuning muda dan seluar khaki ketat berwarna putih. Juga aku perlu memakai kopiah ala Nehru.

Jelas watak aku ialah seorang lelaki dari India.

Muzik dimainkan. Kuat sekali. Aku merasa macam dalam disko. Kami mula menari sesama sendiri untuk menghayati irama yang sedang dimainkan.

Kami menari secara bebas, ketawa dan tersenyum seperti kami dalam dewan tari menari.

Kamera di atas landasan mengikuti kami. Aku nampak teknik membuat klip ini sama seperti penggambaran iklan.

Klip muzik video ini difilemkan menggunakan seluloid filem 16mm bukan video.

Kami menari hanya untuk satu lagu, Rhythm of Life. Video ini untuk lagu ini.

Ada kalanya kami diberi arahan bagaimana harus menari. Siapa di sebelah siapa. Hampir satu jam kami menari. Tiba-tiba muzik berhenti.

Dari caravan muncul Oleta Adams dan Roland Orzabal. Mereka datang ke arah kami. Oleta memakai baju cheongsam potongan Shanghai berwarna biru.

Kolar baju Oleta sama seperti kolar baju ala Nehru aku.

Roland memakai t-shirt hitam dan jaket hitam.

Mereka duduk sebelah menyebelah di atas tangga kayu.

Di atas tangga ini mereka menyanyi.

Caranya senang. Lagu dimainkan dan Oleta dan Roland ikut sama menyanyi untuk menyamakan mulut mereka dengan bunyi lagu.

Ketika babak Oleta dan Roland dirakam kami penari latar duduk berehat.

Ketika ini mata aku liar memerhati Minah Sepanyol yang cun itu.

Hampir satu jam mereka berduet.

Satelah dua bintang ini menyanyi mereka mengundur diri.

Makan tengah hari disediakan.

Makanan Inggeris yang tidak aku minati, hot dog, kentang goreng, salami, roti dan burger. Untuk bertenaga aku makan roti dengan salami.

Sesudah makan penggambaran dimulakan kembali. Kali ini berlakon.

Rakaman jarak dekat. Dua makcik Inggeris duduk menunggu bas. Lelaki Rusia membawa sabit.

Gadis Sepanyol menari. Set latar seperti rumah di Itali. Lelaki Cina bermain dengan dua anak kecil.

Aku diminta berjalan memegang tangan seorang anak kecil. Kemudian aku mendakap anak kecil ini.

Aku terfikir kalau ini betul-betul Rhythm of Life irama kehidupan yang aku mimpikan aku seharusnya mendakap gadis Sepanyol yang “bergetah” itu.

Kami yang berlakon dalam klip ini jadi mesra walaupun baru bertemu. Kami bersembang dan ketawa sambil menari.

Tetapi gadis Sepanyol ini tidak campur dengan kami. Aku perhatikan dia dikawal rapi oleh managernya.

Aku terfikir apakah daranya masih belum pecah, maka perlu dikawal rapi.

Kemudian Oleta dan Roland muncul kembali. Pastilah mereka juga sudah selesai makan. Apa yang mereka makan dalam karavan pasti lain dari apa yang kami makan.

Mereka berdua pelakon utama. Kami hanya pak pacak yang dihidangkan dengan hot dog.

Kali ini Oleta bertukar pakaian. Dia memakai baju kuning.

Bersama mereka ada mak andam yang memastikan muka Oleta terus “cute”, berbedak , bergincu dan rambut tersisir.

Manakala rambut Roland menggerbang panjang. Kemudian kami menari lagi. Kali ini menari untuk “enjoy” bukan ikut arahan.

Oleta dan Roland mengundur. Kami para pelakon merasa keseronokan menari.

Penggambaran berjalan lancar.

“It’s a wrap.” Minah Saleh cun memberi arahan bahawa penggambaran selesai.

Sebelum pulang aku mencari maklumat. Aku bertanya kepada Minah Salleh yang mengarahkan kami menari.

“How many cans of film were used.” Aku bertanya berapa banyak filem digunakan.

“Almost 70 rolls.” Minah ini memberi jawapan.

Aku tidak tahu syarikat rakaman yang mana menjadi penerbit Tears for Fears.

Apa yang sahih produksi ini menelan “big budget, belanja besar”.

Sebanyak 70 roll filem digunakan untuk klip video yang tak melebihi lima minit.

Lebih dari 10 jam rakaman filem diambil. Mungkin dari segi pemasaran album ini ada dua tiga versi klip video.

Dari segi suntingan aku rasa si penyunting banyak pilihan. Aku rasa kalau aku penyunting aku akan merasa muak mendengar lagu yang sama dengan tarian yang berulang-ulang.

Rumah aku di Bromley-by-Bow tidak melanggan MTV. Klip muzik video ini pasti akan keluar dalam masa dua minggu. Aku tidak menunggu.

Tiga minggu sesudah penggambaran Maria teman serumah aku mendapat panggilan telefon dari Stockholm Sweden.

“Isham… Mikaella saw you dancing in MTV.”

Maria menerangkan kawannya Mikaella ternampak aku menari dalam MTV.

Aku juga kenal Mikaella ketika di London dia bekerja sebagai mak andam.

Malah ketika aku membuat dokumentari “Usman The Poet”, Mikaella menjadi mak andam.

Aku hanya tersenyum puas.

Epilog 1:

Aku tidak pernah melihat klip muzik video yang aku berlakon.

Bila aku pulang ke Malaysia aku terus terlupa akan babak ini.

Lagu pop, penyanyi pop dan kugiran terkini tidak lagi dalam radar aku.

Di Malaysia cuaca dan makanan yang begitu nikmat menjadikan aku terlupa tentang Eropah sehingga enam tahun dahulu.

Secara tiba-tiba aku teringat kembali kepada Tears for Fears. Kenapa?

Kerana nostalgia.

Epilog 2:

Sesudah penggambaran itu aku tidak mengikuti apa yang berlaku kepada Oleta dan Roland.

Kerana merasa nostalgia aku mencari klip muzik video Rhythm of Life ini di YouTube. Aku bertemu.

Juga aku membaca bahawa lagu nyanyian Oleta ini muncul sekali lagi dalam kumpulan kotak album terbaru Tears for Fears tahun 2020.

Kali ini lagu irama kehidupan ini dalam bentuk asal ketika Roland dan Curt Smith menciptanya.

Terima kasih pada Ronald Reagan yang membebaskan teknologi internet dari monopoli tentera untuk kegunaan orang awam.

Aku berpeluang sekali lagi melihat bagaimana aku menari merayakan irama kehidupan satu ketika dulu.

Ketika itu bakat aku dipungut dari tepi jalan Old Compton Street, London.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles