Monday, September 20, 2021

Iman agama atau iman institusi? 

Mereka yang menjaga institusi agama boleh jadi khilaf dalam tugas dan berupaya membawa bala pembodohan serta penganiayaan kepada umat.

Other News

Kebergantungan rata-rata masyarakat Islam negara ini terhadap institusi keagamaan dilihat semakin berbahaya. Jawapan untuk sekecil-kecil hukum kepada sebesar-besar isu dirujuk dan diserah secara bulat-bulat kepada institusi. Dari soal ucapan sambutan Hari Natal pada kek sehingga gerakan kesedaran untuk memperjuangkan isu sejagat turut ditanya kepada institusi agama.

Lebih parah, apabila mereka yang menjawat jawatan dalam institusi adalah bodoh dan sombong. Mereka semudah cara mengeluarkan pendapat dan hukum tanpa memberi ruang kepada asas dan disiplin ilmu untuk dibahaskan. Sedangkan, agama ini asasnya adalah ilmu dan berdialog.

Menjadi penguasa agama dalam institusi tanpa membenarkan perbahasan ilmu dan budaya ilmiah berlaku hanya membawa kepada malapetaka dan pembodohan ummah. Ya betul, ummah boleh dibodohkan kerana agamawan yang pemalas. Bukan kah menyesatkan, mengkafirkan manusia lain itu lebih mudah berbanding membaca, mengkaji, berdialong dan bertukar buah fikiran?

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam menjawab pertanyaan mengenai pandangan Islam terhadap terhadap gerakan feminisme. Jawapan balas badan itu menyatakan; feminisme merupakan suatu gerakan yang berasaskan kepada pemikiran liberal dan sekular yang merosakkan ajaran Islam. Ia juga akan melakukan perubahan-perubahan hukum Syariah yang berkaitan dengan keluarga, pewarisan pusaka dan lain-lain.

Kenyataan itu menimbulkan pelbagai reaksi di Twitter dan Facebook dengan rata-rata penguna maya mempertikai jawapan yang diberikan hanya bergantung kepada satu rangkap ayat di ruang “Instastory” tanpa penerangan yang lebih akademik melibatkan ahli-ahli dalam bidang tersebut.

Lain pula cerita pada Disember tahun lalu, MalaysiaNow melaporkan permintaan seorang pelanggan untuk menulis ucapan hari natal pada kek ditolak pemilik kedai kerana bimbang proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terjejas.

Situasi-situasi begini sangat merisaukan. Urusan seharian masyarakat Islam di Malaysia sangat bergantung kepada pandangan institusi agama. Sedangkan, sejak kecil mereka sudah dihantar ke sekolah untuk belajar asas ilmu agama, tetapi sehingga kini jika tiada cop halal Jakim, ramai yang mengatakan ianya tetap haram dimakan. Tidakkan ini satu tragedi?

Bertanya soalan dan mendapatkan kepastian bukanlah satu kesalahan, ianya satu sikap yang patut dipuji. Tetapi memberikan pandangan tanpa diskusi adalah mencabar intelektual insan. Lambat laun, fenomena ini akan meruntuhkan nilai dan perbodohkan ummah dari satu kepada satu generasi.

Bukan itu sahaja, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih belum berpenghujung menyukarkan proses perbicaraan di institusi kehakiman. Selepas kira-kira satu tahun lebih kes-kes di mahkamah tertunda, ramai pihak tampil menyuarakan rasa tidak puas hati. Termasuk golongan isteri dan ibu yang tidak mendapat pembelaan sepenuhnya dalam proses menuntut penceraian. Seorang pengadu menulis di Facebook, proses penceraiannya tidak dilayan kerana pihak lelaki tidak bersetuju untuk bercerai.

Sikap institusi syariah sebegini jelas menunjukkan ketidakadilan dan penganiayaan. Bagaimana kepercayaan masyarakat boleh diletakkan kepada institusi jika sikap para penjawatnya begitu zalim sekali?

Disebabkan kebergantungan kepada institusi sangat menebal dalam kalangan masyarakat, menegur dan memberi kritikan juga sering disalah tafsir. Malah, dianggap sebagai menjatuhkan maruah Islam.

Jangan disalah sangka, kritikan-kritikan ini sama sekali bukan terhadap agama. Tetapi, kita sedang menegur institusi. Sebagai contoh, zakat tetap zakat. Satu sistem yang baik untuk bayar cukai. Tetapi, boleh jadi institusi zakat silap dan tidak betul dalam menguruskan zakat.

Mahkamah Syariah juga institusi. Syariah itu sistem perundangan yang dianjurkan agama. Tetapi, boleh jadi mereka yang berkhidmat dalam institusi khilaf dalam hal yang dikendalikan.

Majlis agama juga institusi. Modul kekeluargaan dan kursus kahwin juga institusi. Namun, sehingga tahap melucah dan merendahkan martabat wanita dalam program persediaan perkahwinan, ianya perlu ditegur dan diperbaiki.

Atas sebab itu, amat penting untuk kita membezakan Islam dalam institusi dengan Islam yang betul-betul dianjurkan dalam syiar agama. Ya, berbeza. Selepas ini, jika terdapat berita-berita tidak baik mengenai institusi, jangan cepat melatah. Berlapang dada dalam menerima maklumat di sekeliling kita sebab institusi tidak suci dan mulia.

Sudah tiba masanya kita meraikan segala pertanyaan. Membudayakan semula diskusi dan dialog mengenai pertanyaan-pertanyaan ummah supaya ilmu boleh terus dipanjangkan dalam fikiran masyarakat.

Tetapi, di tahap masyarakat dilihat seakan beriman kepada institusi, mampukah kita berpatah balik dan memulakan semula? Mungkin ini soalan yang tepat untuk pejabat mufti.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles