Friday, September 24, 2021

Muharram bulan soteriologi

Doktrin Syiah mengajarkan, penyelamat itu adalah Saidina Hussein yang syahid dibunuh bersama kawan dan ahli keluarganya.

Other News

Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Muharram, ada satu hal yang perlu kita renungkan.

Dalam hal ini secara khusus, kita yang dimaksudkan adalah orang Islam.

Bulan Muharram adalah bulan yang mana kita diberi peluang membuat penebusan, dan di mana kita dapat mengertikan falsafah keselamatan.

Secara umumnya, saya juga percaya Muharram adalah bulan untuk umat lain juga.

Begini, saya melihat Muharram adalah bulan soteriologi.

Malah Islam adalah agama dan cara hidup yang semuanya mengenai soteriologi; sebuah cara hidup yang mengajarkan kita penebusan dan keselamatan di mana kita akan diberi bantuan oleh seorang penyelamat.

Oleh sebab itulah orang Islam diberi peluang untuk mengimani para Nabi dan Rasul.

Nabi Muhammad adalah Rasul terakhir yang merupakan keselamatan, penyelamat, dan juga panduan rujukan untuk umat terkemudian.

Di dalam rukun iman, orang Islam juga diperkenalkan dengan doktrin keselamatan ini.

Bahawa di hari akhirat kelak akan ada perbicaraan atas apa kelakuan, tindak-tanduk dan perbuatan kita di dunia.

Untuk itu, jika kita tiada kepercayaan kepada keselamatan dan penyelamat, maka tentulah umat akan hanyut di hari akhirat.

Keselamatan dan penyelamat ini tentulah ada pada seorang manusia atau insan yang diberikan cahaya dan kebenaran untuk memandu manusia terbanyak.

Umat beragama, yakni agama pun, meyakini akan ada seorang penyelamat pasti datang membawa keluar manusia dari kesengsaraan.

Maka yang saya maksudkan dengan “soteriology” ini tidak lain tidak bukan adalah doktrin adanya penyelamat akan menjelma dan kembali menyelamatkan umat manusia daripada kenanaran dan kebingungan setelah sekian lama wali kutub yang terbesar iaitu Rasulullah itu wafat.

Sesungguhnya doktrin soteriologi ini ada dalam semua kepercayaan dan agama.

Saya ingin meyakini sedemikian.

Kristian misalnya menanti semula al-Masih.

Cuma perbezaannya ialah penyelamat dan keselamatan dalam agama Islam itu terbungkus dalam gagasan tauhid atau “monotheism”, juga kenabian dan keimanan di hari akhirat kelak.

Saya yakin doktrin ini ada dalam semua agama lain yang mana akan menjadikan pengikutnya berdisiplin, baik, dan boleh hidup rukun.

Ini kerana apa yang kita lakukan di muka bumi hari ini semuanya akan dinilai.

Pun, bagaimanakah “salvation” atau soteriologi ini dapat dicapai.

Brian Christopher Smith seorang yang banyak mengkaji perihal sufisme; dalam sebuah kerja akademiknya, “A Road Less Traveled: Soteriology in Islam” menyatakan keselamatan itu ada berbentuk peribadi, ada juga yang dibuat secara kumpulan.

Kadang-kala akan ada satu upacara atau ritual dengan satu kod moral dilakukan secara bersama dengan harapan ia akan menarik magnet kuasa mistis.

Ia merupakan satu bentuk tawassul atau “intercession” di mana penyelamat akan memandang kepada mereka yang meneriakinya.

Smith menulis begini:

“How is salvation achieved? Responses to this question vary from one religious system to another. In some cases, one earns the improved condition of salvation as a result of one’s actions. In such a case one earns salvation through self-effort (for example, personal good deeds) or group­ effort (for example, participation in a collective ritual). Often in soteriologies one finds that whatever a person or group does affects the realization or attainment of salvation. For example, a community might engage in rituals or ceremonies or follow a specified moral code. An individual might lead a life of asceticism or submit himself or herself to a divine power. Whatever the specification(s), if performed, the none can expect to achieve salvation. In other cases, the gratuitous help of another, like a savior or intercessor, might be the source of salvation. In other cases, salvation is a matter of coupling actions with specific beliefs. In order to attain salvation, therefore, one might be required to accept certain propositions.”

Bentuk tawassul atau permintaan keselamatan ini, misalnya dilakukan oleh seorang Islam setiap kali ia bersembahyang.

Di dalam selawat sembahyangnya, ada pujian dan permintaan keselamatan kepada Nabi Muhammad dan keluarganya (atau ali Muhammad).

Kadang-kala selawat ini menjadi zikir dan upacara di luar sembahyang, dalam bentuk jamak iaitu selawat perdana.

Satu harapan akan adanya penyelamat memandang mereka.

Meskipun ya, hadir sama dalam selawat perdana itu ialah pemimpin rasuah dan khianat.

Dalam tradisi kesufian, mereka yang mendambakan keselamatan akan melakukannya dengan cara berzikir, baik secara perseorangan, atau berkumpulan.

Tentu sahaja di zaman wahabi penuh mengisi kocek dan saku kerajaan, akan ada agamawan yang senyum senget membaca atau mendengarkan perihal doktrin soteriologi ini, apatah lagi pula menyebutkan hal seperti selawat, tawassul dan juga keluarga Nabi Muhammad.

Di sinilah ada pertemuan antara masyarakat Sufi dan Syiah, yang pada bulan Muharram ini juga mencari “salvation” atau soteriologi itu.

Dalam kalangan orang Syiah, Muharram adalah bulan mereka mendambakan keselamatan dan meneriaki menangisi penyelamat mereka yang terkorban di medan Karbala.

Penyelamat mereka itu, Hussein; cucundanya Nabi Muhammad adalah bahagian dari ali Muhammad.

Yang mana ali Muhammad terangkum dalam selawat sembahyang semua umat Islam samada Sunni, Sufi atau Syiah, nah Hussein adalah seorang pejuang keadilan sosial terbesar.

Makanya, dalam doktrin Syiah, penyelamat mereka itu bukan seorang yang tidak tahu dan tidak dikenali.

Bukan pula wali yang tiada kesucian.

Doktrin Syiah mengajarkan, penyelamat itu adalah Saidina Hussein yang syahid dibunuh bersama kawan dan ahli keluarganya.

Untuk beroleh keselamatan di hari akhirat, perlawanan menuntut hak dan reformasi total adalah langkah atau cara yang diperkenalkan oleh penghulu pemuda di syurga itu.

Orang Syiah percaya Hussein meskipun terbunuh, baginda adalah keselamatan dan akan memberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Justeru, tawassul dan memanggil nama Hussein di bulan Muharram adalah satu yang penting.

Tidaklah menghairankan jika orang Syiah berduyun-duyun ke Karbala dan mengharapkan keselamatan.

Tentulah aneh, penyelamat Syiah ini adalah seorang yang terkorban atau terbunuh.

Akan tetapi pengorbanan Saidina Hussein menurut doktrin Syiah adalah puncanya mereka beroleh cara hidup dan agama yang kudus seperti diwarisi daripada Nabi Muhammad.

Ini setelah agama Islam dicemari dengan tindak-tanduk pemerintah gila kuasa dan agamawan yang terperosok di celah saku dunia.

Justeru, tangisan dengan harapan penyelamat mereka yang syahid itu akan kelak memberikan mereka keselamatan di hari akhirat lantas menjadi sumber dan tiang soteriologi mereka.

Di tengah-tengah itu, di sinilah pertemuannya Sufisme dan Syiahisme yang pernah disaksikan oleh alam Melayu (lebih tepat Riau-Johor) sebelum ketibaan kaum Wahabi di awal abad ke-19.

Tradisi soteriologi ini menjelma dalam bentuk bacaan syair, persembahan boria, perarakan tabut, bacaan Hikayat Muhammad Hanafiyyah, tari dabus dan seribu satu macam lagi pendekatan mengingat tragedi yang pernah menimpa keluarga Nabi Muhammad tersebut.

Namun semua seni budaya ini sudah tidak lagi dikenang, malah kehilangan fungsinya.

Muharram adalah bulan mengharapkan keselamatan.

Ini kerana pengamal Sufi dan Syiah percaya, untuk apa berselawat di dalam sembahyang kepada Nabi Muhammad (dan ali Muhammad) jika tidak mengimani mereka sebagai penyelamat?

Juga, dalam kemeranaan ekoran wabak yang nampaknya entah bila akan padam, tentulah seorang penyelamat didambakan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles