- Iklan -
Rencana

Benarkah Umno berjuang demi rakyat?

Keterdesakan Zahid Hamidi ini menemui titik temu dengan terdesaknya seorang yang ingin menjadi perdana menteri.

Abdullah Salim
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Zahid Hamidi.
Presiden Umno Zahid Hamidi.

Drama politik di Malaysia tidak pernah reda semenjak Mei 2018 dan ia berterusan apabila pada 3 Ogos 2021, Umno dengan rasminya telah menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sama-sama dibinanya dengan Bersatu, PAS, Barisan Nasional serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Mac 2020.

Drama ini bukanlah suatu adegan yang baru, ugutan Umno menerusi Ahmad Zahid Hamidi kepada perdana menteri sudah acapkali berlaku apabila beliau tidak tersenarai dalam barisan Kabinet. Pengumuman semalam, hanyalah formaliti dari satu naratif yang sudah dirancang dan dijangka oleh banyak pihak.

Jauh sebelum pengumuman semalam, sebuah naratif telah terbina beberapa bulan sebelum ini, lebih tepat lagi selepas Persidangan Agung Umno (PAU) pada Mac tahun ini apabila terbongkar satu rakaman perbualan antara presiden Umno itu bersama guru politiknya.

Rata-rata rakyat telah mendengar isi perbualan antara sang guru dengan si anak murid. Pakatan dua orang ini boleh diangkat seperti merpati dua sejoli, seia dan sekata. Ahli-ahli Umno telah diperbodohkan secara terbuka.

Hingga kini, rakaman perbualan tersebut tidak pernah dinafikan oleh guru dan anak murid ini. Maka, rakyat telah membuat kesimpulan bahawa sememangnya terdapat plot yang jijik untuk mensabotaj kerajaan PN dan menggagalkan usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19.

Sekalipun benar motif utama Presiden Umno yang menarik sokongan daripada kerajaan PN kerana mahu membela nasib raykat, tidak pula dinyatakan dengan tuntas apa cadangan beliau. Yang ada hanya mahu PM meletakkan jawatan, itu sahaja.

Jika Zahid Hamidi mahu menubuhkan kerajaan baharu, dengan pihak mana pula Presiden Umno ini ingin bekerjasama? Kerana kesemua blok politik, tidak mempunyai majoriti yang selesa.

Jika beliau mahu bekerjasama dengan PH, bagaimana pula dengan ketetapan yang telah dibuat semasa PAU 2020 lalu yang menetapkan bahawa “No Anwar No DAP?” Ketetapan ini masih tidak berubah hingga semalam.

Maka lojik penarikan Umno terhadap PN ini hanyalah semata-mata untuk mensabotaj usaha kerajaan khususnya dalam perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN). PPN ini adalah “road map” yang dapat membawa rakyat dan negara keluar dari cengkaman pandemik Covid-19.

Agenda inilah yang amat dibimbangi oleh sang guru dan si anak murid kerana jika usaha ini berjaya, maka terbukti kerajaan PN mampu mentadbir negara ini dengan lebih baik.

Disamping itu, pensabotaj kerajaan PN ini lebih bimbang tentang kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah. Kluster mahkamah ini pastinya mahu mengambil setiap peluang yang ada untuk menyelamatkan diri mereka.

Keterdesakan Zahid Hamidi ini menemui titik temu dengan terdesaknya seorang yang ingin menjadi perdana menteri. Maka presiden Umno telah dipergunakan oleh sang guru untuk mensabotaj kerajaan PN.

Jika plot ini berjaya, maka rakyat akan menolak kerajaan PN dan peluang mereka untuk menumbangkan kerajaan, akan menjadi lebih cerah dan mudah. Itu sifir yang cuba dimainkan oleh dalang-dalang disebalik drama ini.

Yang jelas, pengumuman Umno tiada kena mengena dengan perjuangan mahu membela rakyat. Tidak sama sekali.

Rakyat harus bertenang dan bersatu bersama kerajaan dan fokus untuk menang dalam peperangan menentang virus Covid-19 dan bersama-sama kita membantu rakyat yang sedang terkesan kerana pandemik ini.

Kepada Allah kita berserah.

Abdullah Salim adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow