Tuesday, July 20, 2021

Prebet Sapu mengkagumkan

Filem ini mesejnya jelas, tidak abstrak, ceritanya tidak perlu bercita-cita tinggi tetapi amat berpadanan dengan realiti; dan lebih membanggakan ia dihasilkan secara teliti dan berseni.

Other News

Mengkagumkan.

Prebet Sapu sungguh mengkagumkan, menonton Prebet Sapu karya Muzammer Rahman mengingatkan saya kepada antara novel terawal saya, Perempuan Politikus Melayu.

Kisahnya mengenai hubungan tiga segi melibatkan seorang pelacur kelas atasan dan seorang ahli politik, disela watak seorang wartawan.

Membacanya hari ini saya mengkritik diri sendiri betapa klisenya karya tersebut.

Akan tetapi satu-satunya sebab karya ini dapat bertahan lama barangkali kerana saya menampilkan naratif secara tidak kronologi, iaitu zigzag sehingga serasa latar masa dan plot berselerakan.

Pada tahun ia diterbitkan, novel ini dicalonkan ke Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/1 yang ketika itu masih berprestij.

Seingat saya novel ini tewas di tangan karya Sasterawan Negara ArenaWati.

Dua dekad kemudian, novel ini masih dibaca orang.

Prebet Sapu memiliki ramuan klise itu.

Makanya saya senang terpikat dengan Prebet Sapu.

Saya merasakan ada diri saya dalam karya ini.

Seorang pelacur (sepatutnya kelas atasan tetapi menghuni kawasan perumahan kumuh) dan seorang pemandu kereta “sapu” yang gagal mendapatkan lesen memandu.

Akan tetapi, ramuan klise yang ditampilkan oleh Muzammer itu dipadam oleh tiga kekuatan yang menenggelamkan beberapa kelemahan karya sulungnya ini.

Untuk nota filem ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan, iaitu bermula pada tahun 2017, menganjur ke tahun 2020.

Hal yang menjadikan Prebet Sapu mengkagumkan ialah kerana pertama, filem ini ditampilkan dalam hitam putih.

Untuk sesebuah filem diketengahkan sebagai hitam putih, seseorang pengarah mestilah dibantu pasukan sinematografi, dandanan kamera dan juga suntingan yang kemas.

Tidak ada sebab khusus untuk seseorang pengarah memilih hitam putih untuk filem.

Dalam kes Muzammer, ia untuk mengatasi percampuran warna ekoran pertukaran kamera.

Boleh saja ia juga menjadi alasan artistik.

Akan tetapi hitam putih untuk Prebet Sapu mempunyai asas dan ia dijawab dalam naratif filem ini.

Saya tidak akan memberitahu di sini mengapa, tetapi alasan itu cukup meyakinkan.

Jawapan tersebut ada dalam Prebet Sapu.

Kedua, saya telah beberapa kali menyatakan bahawa untuk filem kita diterima di luar negara, kita memerlukan dua formula saja.

Iaitu filem kecil (dua tiga pelakon pun memadai) dengan naratif yang bagus, dan lakonan yang disuguhkan mestilah bertaraf dunia.

Kita tidak perlu filem besar lagi epik kemudian perasan Zhang Yi Mou tetapi plotnya tunggang langgang dan kecamuk untuk menakluk Hollywood.

Malah lakonan pula sekadar cukup makan ala drama petang hari.

Ini kerana mudah, kita tidak cukup prasarana dan wang.

Kita belum ada teknologi filem yang canggih ala Eternals.

Memadailah kita bermain dengan cerita yang baik, dan memberikan pelakon yang bagus.

Prebet Sapu, ada dua petua yang saya nyatakan.

Iaitu naratif dan lakonan yang kelas.

Seperti yang saya nyatakan, Prebet Sapu agak klise, akan tetapi naratif klise ini tidak punya kesalahan lojik, apatah lagi kemerapuan.

Meskipun klise, ia tidak melemaskan.

Naratif yang dibina oleh Muzammer juga mengetengahkan seluruh kekuatan naratif di mana dialog yang disampaikan benar-benar jitu dan bermakna, kadang meruntun dan sangat menghubungkan kita dengan dunia di luar panggung.

Maka, meskipun filem itu hanya diisi oleh beberapa penumpang dalam kereta murah pusaka arwah ayah Aman, ia juga di sana-sini cuba menyediakan latar politik ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana mesejnya adalah isu derita dan nestapa rakyat ekoran ketidakpedulian para pemimpin.

Dalam masa sama, seluruh tema filem ini adalah mengenai “penumpang” yakni manusia sebagai penumpang di dunia ini, atau Aman yang menumpang nasib dengan Bella, dan Bella (gadis Cina) yang berasa tidak diterima sebagai rakyat Malaysia.

Akhir sekali kembali kepada aplikasi e-hailing yang diberi nama “tumpang”.

Untuk menjadikan semua itu berbungkus kemas, Muzammer dengan cekatan memberi kita syot yang menggamamkan.

Ada banyak syot lampau dekat yang saya suka, dengan pendekatan hitam putih, ia jadi lebih berseni.

Benar, hitam putih sangat sukar untuk digarap terutama apabila sebahagian besar latar masa adalah pada waktu malam.

Namun, Muzammer dibantu pasukan kerja seni yang meriah, justeru kita lihat syot hujan dan limpahan neon sungguh membangkitkan seluruh mood cerita.

Atau asap rokok dan ekzos kereta yang berkepulan, atau lebih mencengangkan perbandingan antara cili hijau dan merah (dalam gambar hitam putih!).

Filem ini juga ada banyak babak yang bakal terakam sebagai klasik.

Ia melekat lama dalam benak khalayak.

Dialog yang diucapkan pula disaring teliti dan Muzammer menyediakan pengucapan yang sasterawi tetapi juga demikian natural.

Ini hanya dapat dilakukan kerana beliau adalah seorang pembaca karya sastera.

Saya percaya bahawa seorang karyawan filem yang bagus mestilah menggulati karya sastera.

Muzammer ada persediaan ini.

Ketiga, kekuatan khas Prebet Sapu adalah lakonan Amerul Affendi sebagai Aman, dan Lim Mei Fen yang memeran watak Bella.

Sukar untuk mempertikaikan lakonan Amerul Affendi yang nmempunyai kelebihan bakat dan dia mempertaruhkan semata-mata kebolehannya untuk ini.

Seluruh filem ini membawa kehebatan lakonan Amerul yang deritanya amat dirasai.

Mimik muka, resah dan kalutnya, juga keputusasaannya membuat kita terikat dengan watak Aman.

Malah kita masih terikat dengan Aman meskipun selepas filem tamat.

Bella, sebagai pelakon pembantu masih agak kaku di sana sini, tetapi setengah kedua filem Prebet Sapu mendadak rasa meyakinkan.

Khusus apabila kita melihat perkembangan watak kedua-duanya di mana cinta berputik dalam diam.

Sayang sekali Muzammer tidak sampai menerokai kemungkinan erotic tension antara kedua-duanya yang mungkin akan memberi kedua-dua pelakon ini lebih permainan atau kompleksiti yang diharapkan.

Sebetulnya, tanpa watak-watak tambahan; Prebet Sapu boleh saja menumpukan perhatian kepada dinamika kedua-dua watak Aman dan Bella yang menyediakan seribu satu macam kemungkinan.

Prebet Sapu (atau Hail, Driver!) muncul sebagai salah satu filem yang dipertandingkan di Pesta Filem Far, di Udine, Itali dan menerima pujian oleh penganjur.

Ia turut dicalonkan untuk Anugerah Mulberry (hadiah atau gelar untuk sutradara baharu).

Saya berpendapat inilah filem genersi muda yang akan menjadi kanun pada masa mendatang.

Prebet Sapu mesti dihantar ke pesat-pesta filem luar negara.

Muzammer mesti disokong.

Filem ini mesejnya jelas, tidak abstrak, ceritanya tidak perlu bercita-cita tinggi tetapi amat berpadanan dengan realiti; dan lebih membanggakan ia dihasilkan secara teliti dan berseni.

Sebagai anak kelahiran Kuala Lumpur, menonton latar flat dilimpahi cahaya KLCC dan Menara KL, pasar borong yang sibuk, Bukit Bintang yang kelabu dan berkabut, Kampung Baru dan Keramat yang nanar di tangan Muzammer sungguh memuaskan hati.

Iringan muzik Prebet Sapu juga sangat mengausai latar cerita, dan bukan sekadar tempelen untuk memastikan filem ini bernada. Prebet Sapu benar-benar disentuh oleh mereka yang passionate dengan karyanya.

Mengkagumkan, Prebet Sapu meski klise tetapi mengkagumkan.

Saya berharap dunia akan menonton Prebet Sapu.

Lihatlah dunia, inilah filem yang akan meletakkan nama Malaysia di panggung dunia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Hak asasi manusia dan karya seni

Abah yang nyanyuk

Hak asasi seorang seniman

Satira adalah seni yang sah