Thursday, July 22, 2021

Kerajaan perlu masukkan langkah cegah bunuh diri dalam pelan PKP

Kerajaan seharusnya cuba melibatkan ahli psikologi untuk membantu atau menasihati ketika pandemik ini.

Other News

Pada 2020, 266 orang mengambil nyawa mereka sendiri antara 19 Mac dan 30 Oktober manakala terdapat 1,080 cubaan membunuh diri menurut kementerian kesihatan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang kerana angka ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar yang lebih besar dan semakin meningkat. Kerajaan perlu memasukkan pencegahan bunuh diri dalam pelan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Agensi kerajaan dibanjiri dengan 145,175 panggilan kesulitan antara 25 Mac 2020 dan 20 Mei 2021. Pecahan menunjukkan bahawa 85.5% panggilan berkaitan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling berkaitan tekanan akut, kegelisahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku yang cenderung untuk membunuh diri. 25% daripada kes ini berkaitan dengan hutang; 24% kepada masalah keluarga, dan 23% kepada masalah perkahwinan yang menjejaskan kesihatan mental mereka.

Tidak pernah rakyat Malaysia menyaksikan kesengsaraan di mana ramai orang tiada kerja, kelaparan dan tiada tempat tinggal, terpaksa bergantung kepada sumbangan makanan untuk makan. Menurut Jabatan Perangkaan, sehingga Februari 2021, terdapat 777,500 rakyat Malaysia yang tidak bekerja. Situasi ini menyebabkan putus asa dan hilang harapan di samping merasa kesunyian sewaktu pandemik yang mendorong orang cenderung untuk membunuh diri.

Kecenderungan yang membimbangkan ini adalah kesan daripada pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak bermulanya pandemik pada tahun lalu. Di samping kesan pengasingan, majoriti rakyat Malaysia dibiarkan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sendiri sejak perniagaan dan pekerjaan terjejas teruk oleh PKP. Terdapat sedikit bantuan kewangan diperolehi oleh mereka yang memerlukan ketika PKP pada masa kini. Prihatin Rakyat 1.0 diumumkan pada Mac 2020 dan Prihatin Rakyat 2.0 pada Januari 2021. Pakej bantuan kewangan Pemerkasa Plus RM40 bilion untuk PKP 3.0 tidak mencukupi memandangkan sesetengah daripada mereka sudah pun kehabisan simpanan mereka dan tiada pekerjaan.

Kami mencadangkan pendekatan pelbagai usaha terhadap masalah:

  • Kerajaan perlu menyelaras dalam menyusun senarai lengkap talian hotline kaunseling agensi kerajaan dan NGO seperti Befrienders. Senarai boleh dihantar sebagai mesej tular dalam bahasa yang berbeza melalui media sosial. Ini kerana menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2020, kekerapan rakyat Malaysia berkongsi kandungan dalam talian amat menakjubkan: 19.2% berdasarkan harian; 49.1% berdasarkan mingguan; dan 18.9% berdasarkan bulanan.
  • Kerajaan seharusnya cuba untuk melibatkan ahli psikologi untuk membantu atau menasihati ketika pandemik ini. Malaysia masih kekurangan ahli psikologi sepertimana Majlis Penasihat Kesihatan Mental Malaysia (MMHAC) mendedahkan bahawa hanya terdapat satu ahli psikologi klinikal bagi setiap 980,000 penduduk.
  • Kementerian kerajaan dan agensi mereka seharusnya proaktif  bekerja bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mencegah kejadian bunuh diri. Kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM); kementerian pendidikan (MoE); kementerian pendidikan tinggi (KPT); dan kementerian belia dan sukan (KBS) seharusnya menggunakan jentera dan kontak mereka untuk memudahkan kaunseling atau membantu orang di bawah portfolio mereka. Contohnya, MoE dan KPT boleh mendapatkan penyertaan guru untuk memberikan kaunseling kepada pelajar yang kesusahan atau meletakkan mereka melalui kaunselor yang sesuai kerana pelajar cenderung untuk mempercayai guru mereka berbanding orang asing.
  • Pakar ekonomi diperlukan untuk memberikan idea kreatif mengenai bagaimana untuk merangsang ekonomi tempatan. Salah satu cadangan ialah bagi kerajaan mewujudkan platform dalam talian bagi pencari kerja dan memasarkan makanan/produk kerana ramai orang berada di rumah ketika PKP. Platform pemasaran seperti ini mungkin membantu menggalakkan perniagaan tempatan. Pada masa kini sejumlah besar transaksi dalam talian melibatkan pembelian di luar negara dan ini bermakna pengaliran keluar Ringgit kita daripada negara ini manakala peniaga tempatan terpaksa bersaing dengan apa sahaja bahagian pasaran yang masih ada.
  • Orang ramai perlu mengambil inisiatif untuk mengunjungi laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM) sepertihttps://www.bnm.gov.my/covid19 bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk melihat bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan. Bagi individu, mereka boleh mendapatkan nasihat mengenai penstrukturan semula hutang mereka daripada Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), di https://www.akpk.org.my/about-us.
  • Agensi kerajaan juga perlu bekerjasama dengan pelbagai NGO yang menyediakan bekalan makanan atau mengendalikan bantuan makanan yang dimasak untuk mereka yang tiada tempat tinggal dan miskin. Sesetengah makanan boleh diperolehi daripada bank makanan sedia ada dan NGO boleh membantu dalam mengedarkan makanan kepada mereka yang memerlukan. Banyak daripada NGO ini mempunyai kontak akar umbi yang amat berharga di mana mereka telah bekerjasama sejak berdekad atau melalui kontak mereka sendiri. Kerajaan tidak perlu untuk mencipta semula pusingan ini.

Kerajaan perlu melihat semula seluruh Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana Malaysia percaya bahawa kita boleh mencapai komuniti kelompok jika 80% daripada penduduk mendapat vaksinasi. 80% itu hanya anggaran oleh saintis. Walaupun ia adalah lebih baik bagi perlindungan individu, ia kini menunjukkan bahawa ‘imuniti kelompok’ mungkin tidak mungkin berdasarkan tiga faktor: kemunculan varian baharu, imuniti memudar dan sama ada vaksin sebenarnya boleh mencegah jangkitan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa “peratusan orang yang memerlukan imun dalam usaha mencapai imuniti kelompok berbeza-beza dengan setiap penyakit”. Untuk mencapai imuniti kelompok terhadap campak memerlukan kira-kira 95% daripada penduduk divaksinasi; polio, kira-kira 80%, dan Covid-19 tidak diketahui. ‘Imuniti kelompok’ ini dikatakan supaya berhati-hati oleh majalah Nature keluaran 18 Mac 2021 yang ia mungkin mengelak jangkaan saintis.

Kerajaan seharusnya pragmatik dalam pendekatannya. Mempercepatkan proses vaksinasi memandangkan sehingga 28 Jun 2021, hanya 15.96% daripada penduduk menerima dos pertama dan 6.22%, dos kedua. Pada kadar ini, ia menghalang pencapaian awal untuk melindungi orang ramai melalui vaksinasi (malah jika tidak untuk imuniti kelompok), tanpanya orang ramai akan kekal tidak dilindungi.

Kerajaan mengetahui bahawa sekurang-kurangnya 25% cubaan untuk membunuh diri adalah berkaitan hutang, ia tidak seharusnya membenarkan syarikat kredit komuniti atau peminjam wang berdaftar di bawah kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) beroperasi ketika fasa pertama PKP. Keputusan itu bukanlah satu penyelesaian kerana ia akan mendorong orang ramai lebih banyak berhutang.

Kami menggesa kerajaan supaya membantu dengan lebih berkesan untuk menurunkan kadar kes bunuh diri memandangkan ia diketahui akibat kesengsaraan ekonomi ketika pandemik semasa.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles