- Iklan -
Rencana

Petisyen Azmin Ali korban politik kebencian

Politik kebencian sememangnya menjadi minyak pelincir yg kuat dalam mana-mana persaingan politik.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagang Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Menteri Perdagang Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Satu petisyen dengan tanda pagar #AzminLetakJawatan dimulakan semalam oleh pengguna maya dengan nama Kerajaan Gagal di laman www.change.org menyasarkan 150,000 tandatangan untuk menyokong agar Mohamed Azmin Ali meletak jawatan.

Inisiatif (petisyen) ini merupakan wadah-wadah yang wujud dalam amalan demokrasi sebuah negara. Bermakna inisiatif seumpama ini, petisyen, referendum dan sebagainya, dibenarkan dalam amalan demokrasi.

Inisiatif ini pastinya datang dari warga yang celik politik dan berpendidikan. Maka kita harus melihat apa naratif dibelakang petisyen ini dibuat.

Jelas sekali, naratif negatif terhadap susuk Azmin telah bermula dari tragedi Langkah Sheraton. Malah, sebelum itu lagi, susuk Azmin ini dibenci kerana dianggap sebagai dalang pada kegagalan ‘Langkah Kajang’ oleh Anwar Ibrahim pada tahun 2013/14.

Malah lebih awal lagi dari itu ketika Azmin bertanding jawatan timbalan presiden PKR bersaing dengan Zaid Ibrahim dan selepas itu Rafizi Ramli. Sejak itulah, nama ‘kartel’ ini dipotretkan kepada Azmin, yang memotretkan ini bukan orang lain, kawan-kawan juga.

Politik kebencian ini sememangnya menjadi minyak pelincir yg kuat dalam mana-mana persaingan politik. Kebencian memandu sesorang untuk tidak memahami sesuatu dengan jelas dan rasional, termasuk mereka yang celik politik dan berpendidikan.

Sama seperti rakyat khususnya orang Melayu diasuh selama bertahun-tahun supaya membenci DAP. Apa sahaja DAP buat, dikatakan akan menjahanamkan orang Melayu dan Islam. Pemimpin Islam yang korup, DAP jadi puncanya. Negara jadi Kleptokrat, tetapi DAP yang harus dijauhi. Pendek kata, apa sahaja tentang DAP, maka ia harus dijauhi. Kalau tak percaya, tanyalah budak-budak DAP yang berbakat itu.

Begitulah ‘bangsatnya’ naratif politik kebencian ini, ia akan sentiasa dahagakan ‘darah’ politikus untuk dikorbankan, lepas satu, satu. Ia tidak akan pernah berhenti selagi kumpulan ini tidak berpuas hati. Kumpulan ini pula sama dengan mereka yang ‘celik politik’ dalam petisyen in, kerja itu diangkat atas nama mahu menyelamatkan negara, Malaysia atau ummat. Pokoknya, sama sahaja. Ini bukan politik waras.

Najib Razak yang sah-sah didapati bersalah, tetap kekal sah sebagai ahli Parlimen. Kenapa petisyen ini tidak dibuat atas nama nak menjaga kesucian dewan rakyat?

Malah ramai lagi pemimpin politik ‘kluster Mahkamah’, baik dipihak Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan, masih terus menjalankan tugas dan menjadi Ahli Parlimen hingga urusan perundangan mereka diselesaikan. Pun tak ada petisyen.

Realiti dan cabaran dalam sesebuah kerajaan ini tidak jauh bezanya dari kerajaan PH dan sebelum itu kerajaan BN. Persaingan dalam kerajaan akan tetap wujud antara satu parti dengan parti yang lain.

Dulu ketika dizaman BN, Menteri Umno akan bersaing dengan menteri MCA, malah sesama Umno sendiri (ikut kem PM atau TPM) akan bersiang dan tikam menikam, begitu juga dalam PH, menteri DAP akan bersaing dan bergumpal dengan menteri PKR.

Maka, dalam konteks kerajaan PN, pastilah wujud juga persaingan antara menteri-menteri kanan seperti Ismail Sabri dengan Azmin Ali.

Jenaka sinis oleh Ismail Sabri yang ditujukan kepada Azmin Ali ini cukup nakal kerana kita tahu, kedudukan Ismail Sabri dalam Umno ini belum pasti terjamin.

Persaingan didalam Umno ketika ini antara pelbagai kem sedang panas. Pastilah tokoh seperti Ismail Sabri ini mahu menjadikan dirinya lebih releven didalam Umno berbanding Hishamudin Hussein, Khairy Jamaludin dan Tok Mat timbalan presiden itu sendiri.

Jadi, semua latar naratif ini adalah bergerak dari politik kebencian antara individu, kem dan parti. Sebelum ini, DAP antara pelupor menolak politik kebencian ini, tetapi hari ini DAP tidak menolak untuk bekerjasama dengan Umno hingga mereka sudi ‘subscribe’ jenaka Ismail Sabri asal ‘kebencian’ kepada Azmin Ali dapat dituntaskan.

Untuk tidak lupa, selain DAP, Anwar Ibrahim sendiri mengesahkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan untuk bercengkerama dengan Umno. Ini semua soal survival politik. Semua perjuangan ini diletak atas nama ‘untuk rakyat’.

Yang pasti, pertembungan kali ini bukan antara Azmin Ali dengan Ismail Sabri atau PN-PH atau Umno Bersatu, sebaliknya pertembungan tetapi antara politik kluster.

Jadi, jika benar petisyen ini bukan dibuat atas dorongan kebencian politik ke atas seorang individu, maka petisyen ini sudah boleh dijadikan senjata untuk melakukan reform dan melawan pendemik Covid-19.

Dengan petisyen seperti ini, maka rakyat tak perlukan lagi Anwar Ibrahim, tak perlu PH atau PN dan tak perlulah adakan pilihanraya, buat saja petisyen tiap-tiap bulan. Harap-harap dengan petisyen ini pandemik Covid-19 dapat dimusnahkan.

Politik dari kebencian, tidak akan menyelamatkan Malaysia.

Mahdzir Ibrahim ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow