- Iklan -
Berita

'Jahil sejarah': Bekas pemimpin DAP sekolahkan wakil rakyat PKR cadang KL dikembalikan kepada Selangor

Wee Choo Keong yang pernah mewakili dua kerusi Wilayah Persekutuan berkata cadangan ahli Parlimen Petaling Jaya itu tidak mengambil kira sejarah pemisahan bandar raya itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Seorang bekas wakil rakyat dua penggal yang pernah mewakili dua kerusi di Kuala Lumpur mempertikaikan cadangan seorang ahli Parlimen PKR supaya Kuala Lumpur digabungkan semula dengan Selangor sebagai penyelesaian untuk perancangan bandar yang lebih baik di Lembah Klang. 

Wee Choo Keong, yang pernah mewakili kerusi Bukit Bintang di bawah DAP sebelum berpindah ke PKR mewakili Wangsa Maju, berkata Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung sepatutnya mengambil kira konteks sejarah yang membawa kepada pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan.

Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong.
Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong.

"Ahli Parlimen muda ini memilih untuk mengabaikan perkembangan sejarah di sebalik kewujudan Wilayah Persekutuan di mana Kuala Lumpur dimasukkan ke dalam WP selepas kemelut 1969, yang mana Malaysia tidak lagi sama selepas itu," kata bekas pemimpin kanan DAP itu, merujuk kepada insiden rusuhan kaum 13 Mei. 

"Kita juga menyedari nada politik di sebalik seruan beliau yang dibuat pada masa ini apabila negara ini jelas berpecah!"

Wee berkata pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan adalah rentetan kepada rusuhan kaum 1969. 

“Langkah ini dibuat bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara selepas parti politik tertentu mengadakan demonstrasi jalanan berikutan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum,” katanya. 

Di Dewan Rakyat semalam, Lee, bekas ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Pahang yang memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya pada pilihan raya tahun lepas, berhujah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada Selangor semula adalah lebih baik untuk perancangan bandar.

“Pengembalian Kuala Lumpur kepada Selangor membolehkan anak muda kita menikmati undi kedua untuk memilih adun-adun mereka,” katanya.

Wee memberi amaran mengenai "sensitiviti dan pertimbangan sepenuhnya terhadap konteks sejarah" dalam sebarang perbincangan mengenai perubahan sempadan. 

"Adalah penting perkara sebegini tidak dieksploitasi untuk kepentingan politik tetapi didekati dengan cara yang menghormati sebab di sebalik penubuhan FT. 

"Sebagai sebuah negara kita mesti komited untuk menegakkan prinsip demokrasi dan pemahaman sejarah dalam semua perkara berkaitan pembangunan negara kita demi generasi masa depan dan kesejahteraan kita." 

Kuala Lumpur, kawasan seluas 240 km persegi yang pernah menjadi ibu negeri Selangor, diserahkan kepada kerajaan Persekutuan pada 1974, menjadi yang pertama diberikan status bandar raya di negara ini.