- Iklan -
Kolum

Ambillah sahaja apa-apa vaksin

Covid-19 mengganas lagi. Salah siapa?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Covid-19 mengganas lagi. Salah siapa?

Sebagai manusia, kita biasanya cepat menuding jari.

Jarang kita akan menyalahkan diri sendiri walaupun diri sendiri yang tidak dapat menahan diri daripada pergi ke kawasan orang ramai seperti pusat membeli belah, kenduri, bazar dan juga pasar malam.

Prosedur operasi standard (SOP) sudah ada.

Persoalannya siapa yang berani berkata dia tidak pernah melanggar SOP, baik rakyat mahupun pemimpin?

Kini ia sama seperti kesalahan trafik jalan raya.

Siapa yang terkena saman hanya bergantung pada nasib bertemu dengan pihak berkuasa ketika melakukan kesalahan.

Pihak berkuasa paling kesian dalam hal ini.

Apabila bersikap tegas, mereka kena marah tidak mempunyai belas kasihan.

Apabile mereka bersikap tak tegas, mereka berdepan dengan sindiran tidak melaksanakan amanah dan apabila denda tidak sama, mereka dicemuh kerana bersikap dwi-standard.

Memandangkan rakyat Malaysia susah berdisiplin untuk mematuhi SOP, maka penyelesaian mudahnya sekarang ialah terima apa sahaja vaksin yang diberikan oleh kerajaan.

Jangan pilih-pilih lagi.

Jadilah seperti 268,000 rakyat Malaysia semalam yang berjaya berebut mendaftar mendapatkan vaksin AstraZeneca semalam.

Apabila lebih ramai rakyat diimunisasi, maka lebih cepat kehidupan rakyat akan kembali menjadi normal.

Jika tidak, Malaysia akan terus dihimpit masalah kesihatan dan seterusnya masalah ekonomi kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) terpaksa dilakukan supaya kapasiti perubatan negara tidak lumpuh seperti apa yang berlaku di India.

Waktu ini, kerajaan perlu fokus mencari dana mendapatkan sebanyak dos vaksin yang boleh.

Dan percepatkan pemberian vaksin kepada rakyat.

Usah pedulikan dakyah mengenai keselamatan vaksin, kerana lebih ramai yang akan mati kerana Covid-19 daripada mereka yang akan mati kerana vaksin.

Cukuplah Malaysia berdepan dengan isu Covid-19 dan ekonomi yang meruncing.

Dua isu besar ini sudah cukup merunsingkan kerajaan-kerajaan seluruh dunia.

Namun, Malaysia berdepan dengan isu besar yang ketiga iaitu isu ketidakstabilan politik.

Kebijaksanaan Agong di dalam pengisytiharan darurat membekukan isu ini daripada meledak setakat ini yang pastinya merugikan semua.

Hakikatnya, Parlimen yang dibuka selama ini hanya digunakan untuk bergaduh, bertengkar dan berkomplot.

Ia bukan medan penyelesaian masalah rakyat, sebaliknya menjadi medan pertempuran politik.

Di bawah norma baru ini yang masih diganasi Covid-19, maaf nak kata, ia adalah satu gangguan yang tidak perlu buat waktu ini.