- Iklan -
Kolum

Makna di sebalik istilah ‘Wilayah’ Sarawak dan Sabah

Tetapi maksud Wilayah Sarawak dan Sabah adalah berbeza daripada Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Akhirnya Sarawak dan Sabah dapat kedudukan berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia apabila kedua-duanya kini dipanggil wilayah.

Walaupun perubahan istilah ini tidak dimaktubkan dalam Perlembagaan, tetapi ia tetap bermakna bukan saja bagi dua wilayah itu tetapi juga negara ini.

Jadi kini di Malaysia, kalau disebut perkataan Wilayah secara rasmi, ia merujuk pada Wilayah Sarawak, Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Tetapi maksud Wilayah Sarawak dan Sabah adalah berbeza daripada Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perbezaan kedua maksud wilayah ini dapat dilihat apabila ia diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris.

Wilayah Persekutuan diterjemahkan menjadi Federal Territories.

Wilayah di situ bermaksud territories.

Tetapi Wilayah Sarawak dan Sabah apabila diterjemahkan, ia menjadi Sarawak and Sabah Regions.

Jadi perkataan wilayah boleh diterjemahkan kepada dua istilah yang membawa maksud berbeza iaitu territory dan region mengikut konteks ayat.

Satu implikasi daripada menyebut Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dan bukannya negeri ialah panggilan kepada Semenanjung Malaysia sendiri.

Ini kerana apabila Sarawak dan Sabah menjadi wilayah, maka begitu juga dengan Semenanjung Malaysia.

Maka Wilayah Semenanjung Malaysia ini terdiri daripada 11 negeri.

Dengan sebutan wilayah, kedudukan Sarawak dan Sabah adalah seiringan dengan Semenanjung Malaysia keseluruhannya, dan bukan terhadap setiap satu negeri di dalamnya.

Contohnya, kedudukan Wilayah Sarawak tidaklah seiring dengan negeri Selangor.

Ini kerana negeri Selangor berada dalam Wilayah Semenanjung Malaysia seperti mana 10 negeri lain.

Walaupun Sarawak dan Sabah dipanggil wilayah tetapi ia merupakan negeri dalam erti kata state yang mempunyai pentadbiran masing-masing di bawah Persekutuan Malaysia.

Walaupun 11 negeri dalam Semenanjung Malaysia juga adalah state, tetapi kuasa mereka tidaklah sebesar apa yang dipegang oleh Sarawak dan Sabah seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Dalam bahasa Melayu, perkataan negeri boleh diterjemahkan kepada dua istilah Inggeris mengikut konteks ayat.

Negeri boleh bermaksud country atau state.

Pada awal kemerdekaan, negeri sering bermaksud country.

Contohnya, apabila seseorang menyebut “Aku sayang negeri ini,” apabila diterjemahkan ia menjadi “I love this country” dan bukannya “I love this state.”

Begitu juga apabila disebut “Berita Luar Negeri”, ia bermaksud berita-berita dari luar Malaysia dan bukannya luar Johor atau Selangor.

Sama juga dengan kementerian dalam negeri.

Ia bermaksud hal ehwal dalam Malaysia bukannya dalam Selangor atau Johor.

Kini orang semakin kurang menggunakan perkataan negeri untuk merujuk pada country.

Mereka lebih banyak menggunakan perkataan negara.

Maka “Berita Luar Negeri” sudah menjadi “Berita Luar Negara.”

Tetapi di Indonesia, perkataan negeri untuk merujuk kepada country masih luas digunakan.

Tetapi state pula apabila diterjemahkan kepada bahasa Melayu, boleh menjadi negeri atau negara menurut konteks ayat.

Ini kerana state boleh menjadi sebahagian dari persekutuan atau berdiri sendiri.

Contohnya, Selangor adalah sebuah state tetapi ia berada dalam Persekutuan Malaysia.

State of Brunei Darussalam, sebagai contoh adalah sebuah negara merdeka yang berdiri sendiri.

Apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu, State of Brunei Darussalam menjadi Negara Brunei Darussalam sedangkan State of Selangor Darul Ehsan menjadi Negeri Selangor Darul Ehsan.

Indonesia menggunakan istilah berbeza untuk merujuk negeri dalam persekutuan.

Mereka memanggilnya negara bagian.

Contohnya, Malaysia adalah sebuah negara dan Selangor ialah negara bagian.

Maka state pada asasnya bermaksud negara.

Jadi apabia menyebut Islamic state atau communist state, maka diterjemahkan menjadi negara Islam dan negara komunis.

Penggunaan state untuk merujuk pada negeri bermula apabila pentadbir kolonial British menubuhkan Federated Malay States yang diterjemahkan menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Ia terdiri daripada Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Asalnya kesemuanya adalah state atau negara.

Sebab itu di Perak, ada Istana Negara dan Dewan Negara.

Kerana Perak adalah sebuah negara.

Maka sepatutnya Federated Malay States diterjemahkan menjadi Negara-negara Melayu Bersekutu.

Tetapi penggunaan istilah negeri digunakan untuk merujuk pada negara yang bergabung dalam sistem persekutuan.

Sistem ini diperluaskan apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya.

Sebelum penubuhan Malaysia, pentadbir kolonial British menubuhkan State of Singapore, State of Sarawak dan State of Sabah yang bermaksud Negara Singapura, Negara Sarawak dan Negara Sabah.

Tiga negara ini digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam Persekutuan Malaysia, ketiga-tiga negara ini menjadi negeri walaupun dalam bahasa Inggeris, mereka kesemua adalah state.

Sememangnya Perjanjian Malaysia 1963 menggabungkan empat negara iaitu Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Tetapi penggabungan itu membawa kepada peluasan Persekutuan Tanah Melayu untuk menjadi Persekutuan Malaysia.

Malaysia ditubuhkan di bawah suasana Perang Dingin dengan asasnya adalah penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura.

Tunku Abdul Rahman menolak penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura kerana hendak menjaga kepentingan orang Melayu.

Beliau hanya bersetuju apabila penggabungan ini diperluaskan kepada Sarawak, Sabah dan Brunei.

Beliau kemudian berasa kecewa apabila Brunei enggan menyertai Malaysia.

Kesan pertama penggabungan ini ialah kehilangan nama Malaya dan Tanah Melayu.

Setelah beratus tahun nama itu ada pada peta dunia, dengan sekelip mata pada 16 September 1963, nama Malaya dan Tanah Melayu pun terpadam.

Singapura, Sarawak dan Sabah menjadi negeri-negeri dalam Malaysia bersama 11 negeri Tanah Melayu sebelum ini.

Bendera Malaysia mengambil bendera Tanah Melayu dengan ditambah tiga jalur dan bucu bintang, Jata negara juga mengambil milik Tanah Melayu tetapi ditambah tiga lambang negeri-negeri baru itu.

Malaysia sebagai peluasan Tanah Melayu juga terlihat dengan mengambil lagu kebangsaan Tanah Melayu iaitu Negaraku sebagai lagu kebangsaan.

Cadangan supaya satu lagu kebangsaan baharu untuk Malaysia bernama Malaysia Raya ditolak.

Kemudian ditimbulkan istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Sarawak dan Sabah adalah Malaysia Timur.

Singapura dan Tanah Melayu adalah Malaysia Barat.

Tetapi istilah Tanah Melayu sudah tidak mahu digunakan.

Maka tanah semenanjung tidak bernama. Apabila Singapura keluar daripada Malaysia, maka apa yang dinamakan Tanah Melayu menjadi Malaysia Barat.

Keadaan itu berlaku pada tahun 1965 ketika dunia dalam kancah Perang Dingin.

Ada beberapa negara di dunia terbahagi dua, Jerman Timur, Jerman Barat, Vietnam Utara, Vietnam Selatan, Korea Utara, Korea Selatan, Yaman Utara dan Yaman Selatan.

Pada tahun 1971, Pakistan Timur merdeka untuk menjadi Bangladesh.

Tinggal Pakistan Barat untuk diteruskan sebagai negara Pakistan.

Maka istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur tidak sesuai apabila mengambil kira semangat integrasi nasional.

Istilah-istilah itu digugurkan dan Malaysia Barat menjadi Semenanjung Malaysia.

Banyak perkembangan politik yang berlaku sepanjang dekad 1970-an dan 1980-an bagi memastikan keutuhan integriti Malaysia dalam hubungan antara Kuala Lumpur dengan Kuching dan Kota Kinabalu dalam konteks Kerajaan Persekutuan juga mempunyai wakil dari Sarawak dan Sabah.

Apa yang menjadi hak Sarawak dan Sabah seperti mana termaktub dalam MA63 sememangnya wajar dikembalikan.

Tetapi keutuhan integriti kewilayahan Malaysia mesti dipertahankan.