Saturday, April 10, 2021

Pengkhianat akhirnya membunuh diri

Ia bukan sebuah filem untuk jiwa yang lemah.

Other News

Danial Kaluuya, pelakon kulit hitam warga Britain baru sahaja kelmarin memenangi Anugerah Screen Actors Guild Award dan Golden Globe oleh membawakan watak pengerusi Black Panther Party cawangan Illinois, Fred Hampton.

Filem biopik arahan Shaka King ini dapat dikategorikan sebagai filem dengan rentak lambat, akan tetapi sebagai sebuah filem sejarah yang payah, ia masih dapat dibaca rancak, malah menggila plotnya.

Filem tersebut berjudul Judas and the Black Messiah (2021) memberi gambaran kepada kita mengenai sebuah perjuangan yang dikhianati.

Judas and the Black Messiah (2021).

Fredrick Allen Hampton, di usia remaja, dengan kuasa dan kebolehan berucap yang penuh api memukau ramai di Chicago sekitar tahun 1967-1969.

Pengikut beliau meskipun lebih ramai dalam kalangan kulit hitam Amerika, turut menarik perhatian sejumlah yang berkulit putih.

Dalam tahun 1960-an, antara gelora politik yang bersemarak adalah minat terhadap idea-idea kiri, di samping bantahan terhadap Perang Vietnam.

Black Panther Party (ini bukan kisah Wakanda), adalah sebuah gerakan kiri yang menjadikan doktrin Maoism sebagai tunjang fikir.

Dalam tempoh singkat, Hampton ikut mengasaskan Rainbow Coalition, sebuah organisasi politik yang menghimpunkan sekumpulan anak muda melawan dari Black Panthers, Young Patriots, dan Young Lords, seraya bersekutu dengan beberapa kumpulan samseng.

Kesepakatan mereka bukan tujuan menyalakan lagi pergaduhan, tetapi untuk membantu mereka berhenti bergaduh sesama sendiri dan memberi tumpuan tenaga muda kepada kerja sosial, demi perubahan dalam masyarakat.

Antara aktiviti yang dipelopori Hampton ialah memberi pendidikan kepada anak-anak jalanan, memberi makanan percuma kepada kanak-kanak tertindas dan membantu golongan miskin yang tinggal di setingganan Chicago.

Semua kerja-kerja ini dianggap berbahaya dan menjadi ancaman kepada “kestabilan” Amerika Syarikat (AS).

Namun Hampton, yang dipenjarakan untuk satu tempoh singkat tidak mengalah.

Di sinilah datangnya idea untuk membunuh “tokoh-tokoh berisiko” ini, kerana penjara hanya akan membuatkan mereka makin terkenal.

Pelakon veteran Martin Sheen turut tampil sebagai Pengarah FBI “jahat” J Edgar Hoover.

Pada tahun 1967, dalam usia belasan tahun, Hampton dinamakan Federal Bureau of Investigation (FBI) sebagai “figur radikal”.

FBI menanam “tikus” atau ejen mereka demi bertujuan melaga-lagakan Panthers dengan kumpulan kulit hitam lebih progresif (mencemarkan nama baik Panthers dan mencipta ancaman yang diadakan).

Pada Disember tahun 1969, Hampton diberi dadah tanpa pengetahuannya, ditembak dan dibunuh dalam satu serbuan oleh pasukan polis Chicago dan FBI.

Pihak berkuasa melepaskan 80 das tembakan, manakala Panthers hanya melepaskan satu das.

Beberapa tokoh Panthers ikut terkorban.

Pengkebumian Hampton dihadiri lebih 5 ribu masyarakat, dan tunangnya bersalin 25 hari setelah itu.

Pihak berkuasa berusaha menyembunyikan konspirasi ini dengan menipu inkues forensik Hampton.

Hanya pada tahun 1982, saman keluarga Hampton diperakukan dan kerajaan membayar $1.85 juta dolar; hari ini Hampton dianggap sebagai mangsa pembunuhan “COINTELPRO” atau Counter Intelligence Program, sebuah projek khas haram untuk memantau, menyusup, mengaibkan mana-mana organisasi politik AS antara tahun 1956-1971.

Filem Judas and the Black Messiah adalah mengenai operasi COINTELPRO ini.

Ejen yang ditanam oleh FBI, William “Bill” O’Neal adalah seorang remaja kulit hitam berusia 17 tahun yang cuba memecah masuk sebuah kenderaan.

Untuk mengelak dari dipenjarakan, dan terusan diugut oleh FBI, O’Neal memutuskan untuk bekerja dengan Roy Mitchell, seorang pegawai FBI dari COINTELPRO.

Galang ganti hukuman kononnya.

Jadinya filem ini mengenai protagonis William “Bill” O’Neal lakonan LaKeith Lee Stanfield sebagai tikus dalam Panthers.

Namun, lakonan Stanfield sebagai pengkhianat (justeru Judas) ditenggelami oleh lakonan hebat Daniel Kaluuya sebagai Fred Hampton (atau dalam konteks ini si Penyelamat).

Plot filem ini berjalan lembab, dipenuhi kegiatan kebajikan yang diselang-seli ucapan Fred.

Malah dapat dikatakan kekuatan lakonan Daniel Kaluuya sepenuhnya bergantung kepada “monolog”.

Meskipun filem ini memberi perhatian kepada LaKeith Lee Stanfield, tidak dapat dinafikan lagi ia adalah mengenai Fred Hampton.

Maka peluang Kaluuya untuk menyinar lebih baik.

Satu ketika yang membolehkan beliau menyinar ialah apabila menemui watak ibunya, dan cuba menenangkan emosi orang tua tersebut.

Klimaks Judas and the Black Messiah memperlihatkan Fred Hampton berucap selepas dibebaskan dari penjara.

Gaya ucapan khas Fred dikuasai dan ditiru oleh Daniel Kaluuya sehingga terasa seperti puisi yang dibaca oleh seorang rapper kulit hitam.

Slanga dan telo British Kaluuya hilang secara ajaibnya.

Sebuah filem lain yang ikut dicalonkan pelbagai anugerah termasuk Oscar tahun ini The Trial of the Chicago 7 (2020) turut memuatkan watak Hampton, yang menasihati Bobby Seale ketika perbicaraan.

Satu hal yang mencengkam mengenai filem ini ialah menonton watak O’Neal si pengkhianat.

Meskipun resah, tidak tahan renyah, dan keberatan untuk “meracun” teman baiknya, O’Neal tetap melakukannya.

Dan dia melakukannya tanpa rasa bersalah pada waktu itu.

Sebab akibat filem ini disuguhkan dengan dialog, dan pada banyak tempat khutbah yang jelas mengenai perjuangan kiri di AS tahun 1960-an.

Ia bukan sebuah filem untuk jiwa yang lemah.

Malah, dalam hal ini The Trial of the Chicago 7 jauh lebih memancing.

Pada 13 April 1989, O’Neal diwawancara untuk satu dokumentari bebas Eyes on the Prize II.

Beliau mengakui apa yang beliau lakukan untuk FBI meskipun menafikan bertanggungjawab memberi dadah kepada Fred Hampton.

Tidak lama kemudian, diburu rasa bersalah yang amat sangat oleh sebab mengkhianat, O’Neal membunuh diri.

Hari ini, anak Fred Hampton, Fred Hampton Jr masih berbakti kepada masyarakat sekitar Chicago.

Apa yang dapat dijadikan panduan oleh pembikin filem negara ini ialah keperluan untuk karyawan seni mendokumentasikan sejarah alternatif negara dan masyarakat.

Mungkin satu hari nanti (kita hanya mampu mengharap), akan ada filem mengenai kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Koh yang diputuskan oleh siri inkues Suhakam sebagai mangsa kehilangan paksa.

Itu pun jika pengarah filem kita berani keluar dari kisah tokoh korporat bergaduh dengan mak cik menjual pisang goreng di bawah payung pacak.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles