- Iklan -
Kolum

Budak Cina dan budak Melayu

Pada ketika ini ramai pendatang dari China yang duduk di kampung-kampung Melayu.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Emak aku berasal dari Kampung Tengah Tengkek, Kuala Pilah. Abah aku lahir di Kampung Chenor, Kuala Klawang di Jelebu.

Mereka bertemu dan jatuh cinta di Pelangai Kuala Pilah.

Abah aku dari Kampung Chenor “menyemenda” ke keluarga sebelah perempuan ke Kampung Tengah.

Menyemenda ini adalah konsep peraturan Adat Perpatih di mana sang suami wajib mengabadikan diri kepada keluarga sebelah perempuan.

Perempuan adalah kunci kekuatan Adat Perpatih. Dalam istilah kajian sosiologi moden Adat Perpatih mengamalkan sistem “matrilineal”.

Di Tanah Melayu hari ini wujud dua daerah yang di panggil Chenor.

Satu daerah Chenor berhampiran dengan Temerloh Pahang. Dan satu lagi Kampung Chenor di Jelebu, Negeri Sembilan.

Chenor Pahang dan Chenor Jelebu ini ada pertalian rapat.

Manakala Jelebu satu daerah dalam Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pahang.

Ketika aku masuk darjah satu pada tahun 1957 di Sekolah Umum Kuala Klawang B, aku mendengar surah tentang asal usul nama Jelebu.

Nama Jelebu ini diriwayatkan sebagai nama berasal daripada seorang Tok Batin Orang Asli yang mati lemas dalam Sungai Teriang.

Mayatnya Tok Batin ini tidak dijumpai.

Kemudian kebun peninggalan Tok Batin Jelebu ini ditumbuhi oleh buah labu yang menjalar subur. Semangat Tok Batin ini dikatakan menjelma dalam labu. Dari labu yang menjalar subur ini menjadi Jelebu.

Aku yakin tentang kebenaran pertalian dua surah ini.

Daerah Jelebu diduduki ramai Orang Asli.

Di setiap hujung kampung Melayu di Jelebu akan kedapatan perkampungan Orang Asli.

Di Kampung Kemin dan Kampong Kelaka di Ulu Klawang, ada kampung Orang Asli.

Di Gelang Petasih ada kampung Orang Asli. Di Kenaboi Chennah ada kampung Orang Asli.

Di Kerangi Pertang ada kampung Orang Asli.

Dari segi sejarah kita memahami bagaimana Orang Asli ini diasak oleh pendatang baru pro-Melayu yang kemudiannya menjadi Melayu.

Atau mengikut surah tok wan aku yang bukan ahli sejarah atau sosiologi, perbezaan antara kami yang jadi Melayu dengan Orang Asli hanyalah kerana tujuh keturunan dulu kami menerima Muhamad sebagai tok penghulu. Itu sahaja.

Tok wan aku tidak menggunakan konsep nabi untuk Muhamad. Tok wan aku hanya memakai darjat tok penghulu untuk menerangkan sosok yang bernama Muhamad kepada aku cucunya.

Konsep tok penghulu ini lebih menyakinkan aku, budak Sakai dari suku Biduanda.

“Kito dengan rayat ni samo… Kito terimo tok penghulu kito Muhamad… Rayat tak ado.” Tok wan aku memberi pencerahan tentang siapa Muhamad ini.

Orang Melayu di kampung aku menggunakan “rayat” untuk mengklafikasikan Orang Asli.

Konsep Orang Asli dan Orang Asal ini semuanya sampai kemudian. Sakai dan rayat ialah perkataan asal dalam alam di mana aku dibesarkan.

Ke Jelobak ke Jolobu,
Tuai padi tigo tangkai,
Kalau kono komat Jolobu,
Tak merano badan merasai.

Pantun ini adalah simbol Jelebu.

Mustahil ada warga Jelebu yang tidak pernah mendengar pantun ini.

Padi simbol kehidupan. Manakala komat ialah ilmu Sakai.

Komat ini ilmu yang bersangkutan dengan ilmu cinta kasih sayang. Minyak cenduai, minyak kekasih, buluh perindu ubat guna-guna, semua ini adalah komat Sakai.

Jika Sakai ini mengenakan ilmunya maka sasaran akan merana.

Merasai ini ialah kecewa yang maha sangat hingga membawa maut. Mati kering seperti belalang yang menjadi mangsa perangkap labah-labah.

Pantun adalah bahasa pengucapan yang digunakan untuk menggambarkan adat istiadat budaya warga Jelebu.

Sungai Petasih airnya doreh,
Kayu lalu lintang pukang,
Adat Petasih amatlah koreh,
Anak daro boleh diutang.

Pantun ini melawak dan menganjing pada adat istiadat warga Kampung Petasih satu mukim dalam daerah Jelebu.

Dilawakkan bagaimana adat kampung ini amat keras sekali hinggakan anak gadis dari Kampung Petasih ini boleh dikahwini dengan berhutang.

Dari mana asal usul Kampung Chenor Jelebu? Kisahnya begini.

Datuk, nenek moyang aku, Datuk Panglima Hitam di sebelah keluarga abah aku, berasal dari Rawa Sumatera yang tinggal di wilayah Temerloh, Pahang.

Panglima Hitam ini ada empat orang anak lelaki. Lisut, Sahu, Monek dan Sak.

Lisut anak kedua Panglima Hitam, berkahwin dengan Teriah anak perempuan ketiga dari Tok Jah cucu kepada Tok Da.

Tok Da ini ialah salah seorang dari Orang Kaya Berempat Temerloh.

Lisut mendapat derajah gelaran Datuk Dagang manakala abangnya, Sahu mendapat gelaran Datuk Balang.

Krisis berlaku antara Panglima Hitam dengan Megat Terawis dari wilayah Telok Intan di Hilir Perak. Maka anak Panglima Hitam mengundur.

Mereka bergajah meresap ke wilayah baru.

Datuk Dagang Lisut dan abangnya Datuk Balang Sahu membuka perkampungan baru di tanah subur di pinggir Sungai Teriang.

Untuk mengingati kampung Chenor Temerloh yang mereka tinggalkan, maka kampung baru yang mereka buka ini diberi nama Kampung Chenor.

Di zaman itu, perkahwinan digunakan sebagai ciri budaya untuk mengikat rapat tali persaudaraan.

Maka untuk terus merapatkan kaum keluarga, anak lelaki pertama dari Raja Balang Sahu bernama Manaf dikahwinkan dengan anak perempuan kedua dari Datuk Dagang Lisut bernama Fatimah.

Dua sepupu ini, Manaf dan Fatimah menjadi suami isteri.

Datuk Dagang Lisut dan Raja Balang Sahu menjemput waris dari sebelah Pahang untuk meramaikan Kampung Chenor.

Justeru hari ini Kampong Jelin, Kampung Chenor hingga ke Kampung Kampai, jarak sejauh tiga atau empat batu semuanya perkampungan anak cucu-cicit Datuk Dagang Lisut dan Raja Balang Sahu.

Jalan moden dari Chenor ke arah Karak, Pelangai Pahang dan Temerloh yang ada pada hari ini adalah jalan denai gajah yang diteroka oleh Raja Balang Sahu dan Datuk Dagang Lisut.

Aku sendiri sempat melihat Tok Baharum, datuk saudara aku yang masih memelihara sekor gajah di Pelangai Pahang.

Ketika Kampung Chenor dibuka, Tanah Melayu sudah menjadi tanah jajahan Baginda Queen.

Pentadbiran Inggeris merayap dan meluas.

Kuala Klawang menjadi pusat pentadbiran Inggeris.

Di Jelebu orang-orang Melayu bersawah dan menoreh getah.

Orang Asli masih lagi mengumpul dan memburu bahan makanan. Pendatang dari China berniaga, berkebun dan membijih di Titi.

Tok Manaf dan Wan Fatimah mendapat lapan orang anak. Abah aku Rais adalah anak ketiga.

Tok Manaf memiliki tanah sawah yang agak luas.

Melalui usaha Tok Manaf dan tenaga gotong royong, sebuah kincir untuk menaikkan air dari Sungai Teriang ke sawah padi didirikan. Bersawah masih menjadi gaya hidup di Kampung Chenor.

Kincir air ini di buat dalam sungai tidak jauh dari tanah pusaka tapak rumah yang aku warisi sekarang.

Pada ketika ini ramai pendatang dari China yang duduk di kampung-kampung Melayu.

Pendatang China ini bercucuk tanam, membuat kebun sayur dan buah-buah dalam kawasan kampung Melayu.

Ada juga orang China yang meneroka tanah kerana pada ketika ini, banyak tanah kosong, tidak ada pemilik.

Satu keluarga Cina Hokkien dari pekan Kuala Klawang datang untuk menumpang di tanah milik Tok Manaf.

Dengan senang hati Tok Manaf memberikan kawasan pertanian dan tapak rumah kepada keluarga Hock Lim.

Keluarga dari China ini mendirikan rumah di tepi sungai tidak jauh dari kincir air Tok Manaf.

Pada hemat aku ketika keluarga dari China ini datang nak menumpang di tanah Tok Manaf, pastilah hubungan silaturahim antara Melayu-Cina intim.

Aku rasa datuk aku dengan senang hati memberikan tanahnya tanpa mengira sewa membuktikan tidak wujud perasaan bersinggit dan rebut merebut punca ekonomi.

Budaya nak jadi kaya rasanya belum disemaikan lagi kepada Bani Melayu.

Fahaman benci Cina dan pendatang ini belum tersemai lagi.

Tanah Melayu masih luas dan lapang. Sesiapa sahaja boleh mencari makan.

Aku yakin dengan teori sosial aku ini.

Hujah aku disokong oleh fakta di wilayah Gagu Jelebu, pendatang Minang berduyun-duyun masuk membuka kampung.

Di wilayah Kerangai, suku Mandailing datang berkumpulan meneroka tanah.

Inilah susur galur Jelebu lebih daripada seratus tahun dahulu.

Hock Lim dengan isteri ada empat orang anak, dua lelaki awal diikuti dengan dua perempuan. Anak kedua pula dikenali sebagai Ah Meng.

Si Ah Meng ini dalam lingkungan umur yang sama dengan Pak Teh Ramli, adik kepada abah aku.

Pak Teh Ramli ini lahir dalam tahun 1930.

Dalam lingkungan umur yang sama, Ah Meng membesar dan berkawan rapat dengan anak-anak Tok Manaf.

Ah Meng paling suka berkawan rapat dengan Pak Teh Ramli kerana mereka sebaya.

Ah Meng juga menjadi kawan baik dengan abah aku yang dipanggilnya Abang Andak.

Malah keluarga Hock Lim ini boleh ditafsir menjadi keluarga Tok Manaf.

Kisah dan surah ini aku pungut daripada perawi ke perawi sahih.

Ketika babak-babak ini dipentaskan aku masih belum lahir lagi.

Abah dan emak aku masih belum berkenalan.

“Lepas kahwin, abah kau bawak mak ke Chenor. Ni kali pertama mak sampai ke Chenor. Datang rumah Wan Timah. Mak nampak ada Cino dalam rumah. Mak ingat Cino tukang rumah. Mak segan nak bertanya … tapi bila malam sampai mak nampak Cino ini pakai kain sarong pulak.” Surah Mak aku yang masih cerah dalam ingatan aku.

Surah kali pertama mak aku bertandang ke rumah mertuanya di Chenor.

“Cino macam mana mak?” Aku mendesak ingin tahu.

“Muda sikit pada Abah kau… Cino bujang…Lepas tu… dia panggil mak… kakak… kakak.. tumpang lalu laaa… menunduk mintak lalu …pandai pulak budak Cino ni dengan adat Melayu.”

Mak aku menerangkan bagaimana Ah Meng fasih berbahasa Melayu loghat Negeri Sembilan.

“Esoknya Mak tanya abah kau. Barulah abah kau bukak cerita. Ah Meng ni adik abah kau. Adik angkat” Emak aku menyampaikan surah yang kini sedang aku sambung untuk jadi ingatan anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

“Kito ado pak sedaro Cino ke?”

Mata aku terbeliak bila mendapat tahu bahawa abah aku ada adik angkat Cina.

Ketika aku mendengar surah ini aku masih belum masuk sekolah.

Lalu aku terbayangkan anak-anak Tok Manaf – Pak Ngah, Pak Itam, Pak Teh dan Pak Cik bermain-main sama dengan anak Cina yang duduk tepi sungai belakang rumah. Meriah mereka mandi manda dalam sungai tepi kincir.

Pada Ahad 21 Mac, 2021 aku menelefon Aishah Manaf, adik perempuan abah aku, anak bongsu Tok Manaf dan Wan Timah.

Kami semua panggil mak saudara aku ini dengan panggilan mak cu busu.

Aku menelefon untuk mengesahkan kisah budak Cina dengan budak Melayu.

“Ingat lagi… mak cu ingat…dia bawak mak cu pegi mandi dekat kincir.” Mak Saudara aku ini masih ingat lagi bagaimana Ah Meng membimbit tangannya untuk dibawa ke tepi sungai melihat kincir.

Ingatan mak cu busu aku ini masih cerah walau pun dia dilahirkan pada tahun 1938 sebelum Jepun sampai.

Aku yakin surah ini daripada seorang perawi sahih.

Aku sendiri tidak sempat melihat kincir Tok Manaf. Bila aku mula berupaya melihat dan merakam, ingatan kicir Tok Manaf sudah lama runtuh. Kesan-kesan tidak wujud.

Aku hanya ditunjukkan tempat kincir ini didirikan. Malah aku tidak sempat bertemu dengan Tok Manaf.

Bila aku masuk ke sekolah Goverment English School (GES) di Kuala Klawang pada tahun 1961, baru aku berpeluang melihat gambar kincir dari negara Belanda.

Ketika aku di Belanda aku berpeluang melihat betul-betul kincir air yang kini menjadi barang warisan.

Ketika itu aku teringat dengan kincir Tok Manaf. Alangkah baiknya jika kincir Tok Manaf aku masih ada untuk dijadikan warisan sejarah.

Kisah budak Cina bernama Ah Meng yang berkawan dengan budak Melayu anak Tok Manaf ini menjadi panjang lebar menurut surah Mak aku.

Oleh kerana suka bermain dengan Pak Teh aku, menjadikan Ah Meng selalu bermalam di rumah Tok Manaf.

Biasanya di sebelah paginya dia akan pulang ke rumahnya di tepi sungai belakang kampung.

Ada satu ketika Ah Meng bermalam satu malam, dia tak pulang.

Sambung jadi malam kedua dia tidak juga pulang ke rumahnya. Tok Manaf jadi risau nanti ayahnya tercari-cari.

Lepas malam ketiga ayahnya menyusul. Ayah Ah Meng marah kerana anaknya tak pulang-pulang.

Hock Lim menarik tangan Ah Meng dan membawa anaknya pulang.

“Mak dengar… ayah Ah Meng ini garang… dia ada kena rotan.” Emak aku memberi alasan kenapa Ah Meng lebih suka duduk di rumah Tok Manaf daripada duduk di rumah dengan keluarganya.

“Dia pun suka ada kawan-kawan dengan Pak Teh kau…dia pandai panggal abah kau pak andak…ayah dia rotan dia… ayah dia garang.”

Emak aku menjadi pakar psikologi untuk menerangkan pada aku tentang mengapa Ah Meng tak mahu pulang ke rumah sendiri.

Berberapa minggu kemudian Ah Meng datang kembali bermain dengan Pak Teh aku.

Bila senja sampai dia tak pulang. Dia bermalam di rumah Tok Manaf.

Dua malam dia tak pulang. Hari ketiga Tok Manaf dan Pak Teh aku hantar Ah Meng pulang.

“Satu hari Ah Meng terus tak nak pulang lagi ke rumah ayahnya… ayahnya datang dia lari….lari hilang.”

“Hilang ke mana mak.” Aku tertanya-tanya.

“Laa kau ni tak sabar… nanti dulu… biar mak baca surat khabar ni.” Emak aku berhenti bercerita kerana dia hendak rehat dengan Utusan Melayu.

“Nanti mak sambung.”

Aku tak sabar menunggu apa terjadi dengan Ah Meng budak Cina yang berkawan dengan budak Melayu cucu Datuk Raja Balang Sahu dan Datuk Dagang Lisut. Mana agaknya budak Cina ini menghilang?