- Iklan -
Rencana

Gabungan PN, BN, PAS memiliki peluang cerah peroleh majoriti dua pertiga dalam PRU15

Kaum cina tolak dominasi tunggal Umno tetapi terima dominasi Melayu.

Hoo Ke Ping
4 minit bacaan
Kongsi
Hoo Ke Ping.
Hoo Ke Ping.

Kita boleh meramalkan bahawa pilihan raya umum (PRU) pada Ogos ini kebanyakan kerusi Parlimen akan mengalami pertarungan 3 penjuru sama seperti dalam PRU 2018.

Perbezaannya adalah bahawa pada kali ini tidak akan ada pembelaan terhadap dominasi Umno.

Sebaliknya apa yang akan ada kali ini ialah tiga parti yang akan mempertahankan “nasionalisme dan dominasi Melayu” menentang gabungan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh bukan Melayu.

Parti Melayu keempat adalah Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad yang akan memecahkan undi pengundi Melayu pembangkang.

Mahathir mesti memastikan dia akan memecahkan pengundi Melayu PH untuk mengelakkan Anwar daripada menang dan menjadi perdana menteri seterusnya.

Langkah  Mahathir itu seumpama langkah PAS yang memecahkan pengundi Melayu daripada Barisan Nasional (BN)/ Umno dalam PRU 2018 yang secara tidak sengaja telah menamatkan pemerintahan dominan parti itu selama 60 tahun!

Mulai sekarang sehingga Ogos kita akan dapat melihat penyusunan semula kepimpinan utama di dalam parti-parti seperti Umno.

Zahid Hamidi akan didapati bersalah dan beliau mesti meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.

Ini akan memberhentikan apa-apa sandiwara mengenai pakatan Umno dengan PKR untuk menjatuhkan kerajaan Bersatu.

Spekulasi bahawa 148 Umno Bahagian menolak Bersatu adalah tidak tepat! Menurut Annuar Musa, hanya 99 Umno Bahagian sahaja yang menentang pakatan dengan Bersatu.

Ini akan membawa kita ke senario Umno/PAS/Bersatu berunding untuk 130 kerusi majoriti Melayu.

Garis asasnya ialah pertandingan tiga penjuru tidak akan berlaku di 90 hingga 100 kerusi.

Mereka akan setuju mewujudkan pertandingan satu lawan satu di kerusi ini manakala kerusi selebihnya akan dijadikan “bebas untuk semua” (free for all).

Perjanjian sedemikian akan memastikan ketiga-tiga parti Melayu ini memenangi jumlah minimum 90 hingga 100 kerusi (sama seperti bilangan 92 kerusi sekarang melalui 18 kerusi PAS, 38 kerusi Umno dan 36 kerusi Bersatu).

Umno boleh mendapat minima 40 kerusi lebih, PAS 20 kerusi lebih dan Bersatu sekitar 35 kerusi!

Dengan keyakinan yang cukup terhadap kepimpinan baru Umno nisbah tersebut boleh diterima kerana Muhyiddin Yassin telah menyelamatkan Umno daripada dibatalkan pendaftarannya.

Mahathir mahukan Umno mati, tetapi Muhyiddin enggan berbuat demikian.

30 hingga 40 kerusi majoriti Melayu selebihnya boleh dipertandingkan secara bebas oleh mana-mana dua atau tiga parti Melayu ini tetapi jika ada rundingan pastilah lebih banyak kerusi akan dapat dimenangi oleh mana-mana satu daripada tiga parti Melayu ini.

PRU 2018 menunjukkan bahawa 75% pengundi Melayu menyokong PAS dan Umno.

PH dengan Mahathir dan Anwar Ibrahim sekalipun hanya mampu memperolehi 25% undi pengundi Melayu sahaja.

Dalam PRU akan datang Mahathir akan memecah-belahkan undi pengundi Melayu pembangkang di saat PH sendiri telah hilang tarikan Melayunya!

Oleh itu PH tidak akan dapat menarik undi pengundi Melayu.

Apatah lagi bila kebanyakan daripada pengundi baru (lebih 75% daripada yang berumur 18 tahun ke atas) adalah berbangsa Melayu.

Sekiranya PN/BN/PAS bimbang tentang kadar pengangguran golongan belia maka PRU boleh sahaja dilangsungkan sebelum Julai.

PN/BN/PAS mempunyai daya tarikan kepada orang Melayu tetapi PH langsung tiada! Ini akan menjadi penentu kemenangan PN/BN/PAS walaupun sekiranya 80-90% pengundi bukan Melayu masih mengundi melawan mereka.

Begitupun, sudah tentu bilangan pengundi bukan Melayu yang akan mengundi melawan mereka tidak akan mencapai tahap 80-90% kerana pemerintahan Kerajaan PH telah mencederakan orang Cina dengan teruk sekali!

Tentunya fokus utama ialah untuk PN/BN/PAS mengekalkan sekitar 100 kerusi mereka bagi memastikan kemenangan asas mereka.

100 kerusi ini akan ditambah dengan lebih 20 kerusi GPS Sarawak, di mana kerusi mutakhir mereka ialah 19, tetapi dengan kehancuran PKR di Sarawak sekarang GPS pastilah akan menang di lebih banyak kerusi lagi.

Di Sabah, pertembungan adalah antara pengundi Kadazan Dusun Murut (KDM) dan Melayu dengan pengundi Bajau/Sulu.

Jika pengundi KDM dapat disatukan melalui kerjasama antara PBS dan STAR maka ini akan menjamin kemenangan PN/BN/PAS di 7 hingga 8 kerusi.

Di tempat yang MCA/MIC tandingi pula, mereka boleh menang mudah di lebih 10 kerusi dengan bantuan PAS.

Ini kerana jika PAS tidak bertanding, MCA/MIC boleh menang di lebih 12 kerusi dalam PRU 14!

Secara mudahnya, bila tiga parti Melayu ini bersatu dalam PRU 15, dengan 100 kerusi mereka, yang ditambah pula oleh kerusi di Sarawak dan Sabah serta kerusi MCA/MIC, terdapat peluang cerah untuk PN/BN/PAS mendekati bilangan 147 kerusi, iaitu bilangan majoriti dua pertiga.

Kepimpinan Muhyiddin Yassin dalam susun-atur ini akan memastikan beliau menjadi PM yang seterusnya sementara pemimpin Umno akan menjadi timbalan perdana menteri (TPM) manakala pemimpin PAS akan menjadi TPM kedua.

Mereka yang tidak bersetuju dengan jangkaan ini akan memetik sentimen pemusuhan antara Bersatu dan Umno serta menghujahkan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu tetapi Umno boleh dibawa bekerjasama dengan PKR.

Ya, ada banyak perkiraan yang boleh dibuat tetapi hanya ada satu ‘tuil’ (‘leverage’), iaitu yang dipegang oleh PAS.

Dalam PRU 2018, PAS menyebabkan Umno/BN kalah melalui undi Melayu yang mereka dapat di 50 kerusi.

Di Langkawi contohnya, Mahathir hanya mendapat 43% undi tetapi gabungan undi yang diperolehi oleh PAS dan Umno ialah 44%.

Terdapat 14 kes seperti itu yang berlaku di Kedah dan di negeri-negeri lain.

PAS boleh ‘menyembelih’ Umno.

Umno tidak boleh menghancurkan PAS kerana PAS tidak pernah berada dalam kerajaan persekutuan kecuali sekejap pada tahun 1974 ke tahun 1977 dan sekarang mulai tahun lalu.

PAS tiada keperluan untuk mempertahankan pemerintahannya tetapi Umno wajib mendapatkan kembali pemerintahan 60 tahunnya!

Oleh itu, jika Umno tidak berbuat betul PAS akan bekerja bersama Bersatu untuk menghancurkan pemerintahan Umno buat selama-lamanya!

Tiada pemimpin Umno yang cerdik akan mahu menjadi pembangkang.

Zahid, Najib Razak, Ahmad Maslan, Ahmad Jazlan, Tengku Razaleigh dan lain-lain hanya mementingkan diri sendiri untuk menjaga kepentingan peribadi dan BUKAN untuk menjaga dominasi politik Umno atau Melayu!

PRU15 akan menyaksikan tiga parti Melayu ini memerintah dan mendominasi melalui apa yang boleh disifatkan sebagai perpaduan dalam kepelbagaian.

Walaupun 80-90% orang-orang Cina akan menentang kerangka sedemikian, Kemenangan dan dominasi Melayu tidak akan dapat dielakkan.

Apa yang pastinya ialah orang-orang Cina tidak menyukai DAP dan PH sejak daripada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai lagi.

Selagi tidak ada lagi dominasi Umno secara tunggal orang-orang Cina akan menerima dengan mudah perpaduan Melayu dalam kepelbagaian yang baru.

Inilah kempen PERIBADI saya!

Hoo Ke Ping adalah lulusan adalah lulusan DBA dari Southern Cross University Autralia, Post Master’s Certificate dari University of Philippines dan Bachelor of Political Science dari University of Science Malaysia serta sekarang merupakan Economic Adviser KSI Strategic Institute.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.