Sunday, February 28, 2021

Mendokumentari kematian dalam tahanan

Sayang sekali isu penting sepertinya kematian dalam tahanan ini dipersiakan dengan dokumentari yang tidak sampai mesejnya.

Other News

Pelan pemerkasaan Rukun Tetangga dilancarkan

Empat Agenda Kerja KRT diperkenalkan iaitu Agenda Kerja KRT Selamat, Agenda Kerja KRT Sihat, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah serta Agenda Kerja KRT Sejahtera.

Stop the hypocrisy, Amanah tells PKR as rift widens over PH intra-hopping

This comes as Amanah loses five of its assemblymen in Selangor and Johor.

Amanah Bukit Bintang gesa kaji semula hubungan dengan PKR, kedudukan dalam PH

Mereka berkata, sudah tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk.

‘Jangan hipokrit, lidah bercabang’, kata Pemuda Amanah selepas PKR ‘curi’ 3 wakil rakyat

Sebagai rakan gabungan PH, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan mengeruhkan hubungan antara parti, kata Shazni.

Belajar sejarah di luar buku teks

Kalau dulu kita hanya ada maklumat dari buku teks, tetapi kini apa saja maklumat boleh diperolehi melalui alam maya.

Baru-baru ini terdapat satu tayangan filem bergenre dokumentari dengan judul “Di Luar Bayangan: Kisah Kamarulnizam” dalam talian.

Kisahnya secara ringkas begini, Kamarulnizam dijatuhi hukuman penjara 14 hari kerana dikatakan tidak dapat membayar denda RM800 selepas mengaku bersalah memiliki barangan curi pada 4 Mac 2014.

Setelah dijatuhi hukuman, beliau kemudian ditahan di dalam lokap balai polis Seberang Perai selama dua hari sebelum dipindahkan ke Penjara Tapah pada 6 Mac.

Pun Kamarulnizam Ismail, seorang pekerja am didapati meninggal dunia pada 7 Mac 2014, dalam tahanan.

Keluarganya yang sempat melihat jenazah Kamarulnizam mendapati kesan lebam di beberapa tempat dan mengesyaki sesuatu yang aneh.

Ekoran dari itu ibu Kamarulnizam, Rahaya Salleh, telah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 3 Mac 2017 menerusi peguam M Visvanathan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bernama Edict (Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together) dengan memohon ganti rugi bagi tanggungan, salah laku dalam jawatan awam, ganti rugi teruk, teladan dan khas.

Pada tahun 2019, ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, keluarga Kamarulnizam Ismail memenangi kes saman mereka di mahkamah tinggi terhadap 12 individu dan kerajaan kerana kematiannya di Penjara Tapah.

Pesuruhjaya Kehakiman Anslem Charles Fernandis, dalam penghakimannya memutuskan kesemua defendan bertanggungjawab atas kecuaian yang mengakibatkan kematian Kamarulnizam dan keluarga arwah dibayar RM100,000 kerana penahanannya yang menyalahi undang-undang, RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam, RM12,000 bagi kos perbicaraan penuh dan RM2,000 untuk perbelanjaan pengebumian.

Hakim juga menyifatkan penahanan Kamarulnizam di dalam lokap adalah menyalahi undang-undang kerana berdasarkan Seksyen 282 Kanun Tatacara Jenayah, adalah mandatori, apabila terdapat perintah, bagi pegawai polis untuk bertindak dalam tempoh masa yang munasabah, untuk memindahkan mereka yang didapati bersalah ke penjara, dan bukannya selepas dua hari.

Masyarakat filem kita tidak matang dan suka kisah hantu-hanti, cinta-cintu dan rindu ombak asmara menggelora.

Saya tidak akan mengulas isu Kamarulnizam dalam rencana ini.

Saya hanya akan menulis mengenai seni filem itu sendiri.

“Di Luar Bayangan: Kisah Kamarulnizam” dengan tajaan antara lain Yayasan Goethe, Suaram dan kerajaan Jerman menampilkan abang Kamarulnizam iaitu R. Kamaruzzaman Ismail untuk bercerita mengenai apa yang terjadi.

Niat penerbit iaitu Chong Lay-Lynn dan Loo Que Jin adalah untuk menyedarkan penonton (atau masyarakat) akan isu kematian dalam tahanan yang kerap dan masih berlaku.

Ada satu masalah apabila aktivis hak asasi manusia mengetengahkan isu yang mereka perjuangkan di medium filem, khusus genre dokumentari.

Kesimpulannya ia sering gagal.

Tujuan mereka untuk menyebarluaskan dan memberi kesedaran mengenai isu tertentu sering berakhir atau jatuh di atas telinga yang tuli dan pekak.

Mengapa?

Kerana, aktivis hak asasi manusia tidak mahu bekerjasama dengan karyawan filem; atau mungkin karyawan filem terlalu sombong dan angkuh tidak mahu turun menampilkan isu masyarakat dalam produk mereka.

Masyarakat filem kita tidak matang dan suka kisah hantu-hanti, cinta-cintu dan rindu ombak asmara menggelora.

Terdapat banyak gaya dokumentari yang boleh diterokai untuk menjadikan isu yang diketengahkan meraih perhatian besar dengan lekas oleh ahli masyarakat.

Sebagai contoh, jika aktivis hak asasi manusia benar-benar tidak mahu melepaskan pembikinan dokumentari kepada para karyawan yang ahli dalam seni filem, mereka seharusnya berusaha menguasai pelbagai subgenre yang terdapat di bawah payung genre dokumentari ini.

Dokumentari Di Luar Bayangan: Kisah Kamarulnizam

Belajarlah seni, dengan seni hujah kamu berkesan.

Sebagai contoh, mereka yang mahu mengerjakan isu seperti kematian dalam tahanan boleh mencuba dokumentari puitika di mana ia muncul sejak tahun 1920-an dengan memberi penekanan kepada pengalaman, imej dan memberikan penonton kepada perspektif lain.

Dokumentari begini sangat berkesan untuk mencetuskan “rasa” dan membina kebenaran menerusi rasa tersebut.

Oleh demikian, penonton boleh terpengaruh dengan mesej dan utusan yang dihantar.

Pun untuk melakukan ini, pembikin dokumentari mesti menyediakan komposisi kreatif, jukstaposisi pelbagai imej dan versi sudut penceritaan yang sinematik.

Selalunya, dokumentari akan menggunakan pendekatan ekspositori di mana ia bersifat memberi maklumat dan terlalu “straightforward” demi menjaga keutuhan informasi yang ingin dikongsi.

Sayangnya stail ekspositori ini terlalu lapuk dan tidak menarik minat khalayak.

Pendekatan ini sangat kering. Inilah acuan yang digunakan oleh pembikin dokumentari “Di Luar Bayangan: Kisah Kamarulnizam”.

Menurut saya, aktivis hak asasi manusia mesti belajar menerokai subgenre dokumentari yang beraneka.

Sebagai contoh, dokumentari observasi dengan “cinéma Vérité-style”  boleh memberikan pelbagai sudut penjelasan dengan lebih ofensif dan kadang kala intim.

Dalam konteks ini bukan sahaja keluarga Kamarulnizam diketengahkan, pembikin dokumentari boleh pergi lebih berani dengan mencari lebih banyak maklumat kehidupan Kamarulnizam sehingga memahamkan kepada kita mengapa beliau dikatakan mencuri dan kemudian gagal membayar denda.

Kita perlu diberi sebab dan akibat mengapa dan bagaimana arwah sehingga terjebak dan kemudian tidak mampu membayar denda tersebut.

Pendekatan ini membangkitkan kesan “realness and truth”. Ia akan mendatangkan simpati dan empati yang lebih.

Selain itu, aktivis hak asasi juga boleh mengemukakan pendekatan dokumentari partisipatori di mana pembikin filem ikut hadir sebagai elemen dalam filem dengan mempengaruhi aksi dan naratif. Ia semacam mencetuskan wacana dan debat mengenai isu dalam karya.

Sudah tentu, gaya dokumentari paling berbekas dan canggih dewasa ini ialah dokumentari persembahan di mana ia menghadirkan isu bukan menerusi satu kes sahaja tetapi membawa mesej politik secara lebih besar.

Sebagai contoh pembikin dokumentari dan aktivis hak asasi boleh bergabung tenaga lantas menyiasat mengapa kejadian kematian dalam tahanan kerap berlaku.

Mereka melakukan penyelidikan dan hasilnya ibarat satu tesis, cuma tesis itu hadir dengan filem.

Dokumentari begini berfungsi untuk membina kebenaran sosial menerusi dapatan politik dan sejarah.

Pembikin misalnya boleh menyiasat statistik jumlah mangsa yang mati dalam lokap antara tahun 2005 hingga 2013 iaitu membabitkan 138 tahanan dengan pecahan 54 berketurunan Melayu, India (31), Cina (26), warga asing (19) dan lain-lain (8).

Bermula dari situ, barulah kes Kamarulnizam diberi tumpuan dan dijelaskan bagaimana ia bukan suatu yang biasa dan harus ditangani segera dengan kesedaran.

Wawancara dengan abang mangsa hanya jadi sendal untuk meyakinkan kita.

Dokumentari begini juga bukan sekadar memberi maklumat asas tetapi akan pergi lebih jauh iaitu memberi solusi.

Pendekatan yang dikenali sebagai “Michael Moore-style” ini pasti lebih mendapat perhatian. Moore memang seorang pakar doku yang dikenali di Anugerah Oscar.

Sayang sekali isu penting sepertinya kematian dalam tahanan ini dipersiakan dengan dokumentari yang tidak sampai mesejnya dan kemudian tidak pun dipedulikan.

Moga di lain kali aktivis kita akan lebih berani menguji bakat mereka, manakala pembikin filem akan lebih peka dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Ahli akademik ‘clock in’ antara punca kemerosotan universiti awam

Budaya korporat yang diamalkan di universiti-universiti di Malaysia ketika ini tidak sesuai dengan dunia akademik.

Hidup nomad moden dalam Nomadland

Satu dokumentari dan filem cereka yang garisnya dikaburkan sehingga sukar dibezakan.

Satu pembunuhan di bulan Oktober

The Dissident dokumentari serasa sepertinya sebuah thriller politik yang mendebarkan.

Ziarah kembali Embun karya Shahnon Ahmad

Embun akhirnya lenyap setelah disejatkan oleh cahaya matahari.

Skandal kurun ini: Marquez

Pojok Marquez adalah nyawa kepada seluruh karyanya, benih tersemi untuk segala seni yang ditanaminya.