Friday, June 11, 2021

Penampar – dukun dan pawang

Belalang hijau yang kurus ramping sepanjang dua inci ini rupa-rupanya hantu pelesit.

Other News

Aku dilahirkan di Kampung Tengah Tengkek, Ulu Jempol di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Tarikh lahir aku pun tidak diketahui. Apa yang ditulis di surat beranak hanya hari bulan untuk memastikan emak dan abah aku tidak ditangkap Orang Putih kerana tidak mendaftarkan anak yang baru lahir.

Ketika aku lahirkan Parti Komunis Malaya (PKM) sedang melancarkan perang gerila menentang kuasa kolonial Inggeris. Abah aku tidak ada di kampung.

Dari surah yang aku dengar Kampung Tengah ini dibuka oleh arwah datuk aku yang bernama Sidek.

Bila aku lahir Tok Sidek sudah meninggal dunia. Soh seh, soh seh yang aku dengar Tok Sidek aku ini dihalau keluar dari daerah Sungai Ujung di Seremban kerana perselisihan hal adat.

Wan aku namanya Rahmah. Dia isteri kedua Tok Sidek. Mereka berkahwin selepas isteri pertama Tok Sidek meninggal dunia.

Di Negeri Sembilan kami tak guna pakai tok wan atau nenek, kami pakai wan untuk perempuan dan tok untuk lelaki.

Wan Rahmah aku inilah bertanggungjawab memberi aku kesedaran. Wan aku memberi pencerahan bahawa tujuh keturunan kami dulu adalah Bani Sakai.

Justeru kami dari suku Biduanda. Di Negeri Sembilan ada 12 suku. Biduanda ialah suku Orang Asal dari Negeri Sembilan manakala 11 yang lain suku pendatang dari Sumatera.

Perut aku perut Sungai Ujung. Perut dan suku adalah tunjak Adat Perpatih yang kami amalkan di Negeri Sembilan.

Dalam pencerahan yang aku terima dari Wan Rahmah, Muhamad bin Abdullah itu ialah tok penghulu kami.

Wan aku memahami konsep tok penghulu yang selari dengan budaya Melayu kami.

Kami bukan Arab. Kami Melayu asli. Pada hemat aku tok penghulu lebih tinggi tarafnya dari tok batin.

Wan aku ini juga adalah bidan kampung. Dia menjadi bidan melalui pengalaman. Semua adik beradik kami kecuali yang akhir lahir dibidani oleh wan aku sendiri.

Arwah Tok Sidek dan keluarga sebelah emak aku orang kuat agama.

Dalam kawasan tanah kampung kami ada surau di mana Tok Sidek mengajar agama.

Bila aku lahir surau ini sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanya tapak surau ditumbuhi sebatang pokok mata kucing, sebuah kepok padi dan lesung kaki.

Bila Tok Sidek meninggal dunia mayatnya dimakamkan di kawasan belakang rumah.

Dalam belukar antara pokok getah, pokok limau, pokok durian, pokok langsat, di situlah dikebumikan Tok Sidek. Arwah emak aku ada menunjukan makam datuk aku. Hanya satu kubur.

“Di situ tok kau dimakamkan,” emak aku menunjukkan dengan jari sebuah busut tanpa batu nisan.

Isteri pertama arwah datuk aku juga dikebumikan dalam kawasan kampung yang tidak jauh dari kampung kami.

Aku selalu melintas di hadapan kawasan kubur ini. Mengikut surah Kak Cik Ainon sepupu aku, isteri pertama datuk aku ini mati ketika bersalin.

Mengikut kepercayaan kami mayat perempuan mati bersalin ketika di kebumikan wajib diletakkan telur ayam di celah dua ketiak mayat.

Ini untuk memastikan mayat tidak bangun mengepak terbang keluar. Manakala anak yang mati dalam perut ketika bersalin akan menjadi “hantu Bajang”.

Mengikut sepupu aku isteri pertama datuk aku ketika dikebumikan tidak dibubuh telur di celah ketiak.

Ini kerana Tok Sidek aku mahu isterinya dikebumikan mengikut ajaran Islam.

Kisah dari Kak Cik Ainon aku ini amat-amat menakutkan aku.

Bila melintas kawasan kubur ini aku paling takut. Aku takut kalau-kalau mayat yang tak bertelur akan terbang keluar dengan Bajang membalas dendam pada aku, anak cucu Rahmah yang mengambil suaminya.

Demikianlah aku membesar penuh dengan kuasa ajaib dan misteri.

Penuh dengan kisah makhluk halus. Hantu polong, pelesit jembalang, penunggu, puaka dan busung.

Pokok besar ada penunggu, batu besar ada penunggu, rumah tinggal ada hantu,dapur tinggal ada penunggu, hutan, sungai, pokok, malah burung yang terbang itu pun ada yang membawa hantu.

Inilah dunia Melayu aku. Indah sekali. Inlah pembudayaan aku anak lelaki keempat dari suku Biduanda. Inilah pembudayaan Melayu asli yang membesarkan aku.

Ingatan aku kembali dengan sekolah Melayu tapak di mana arwah emak aku, Zaleha Sidek menjadi guru.

Bangunan induk sekolah ini bertiang batu beratapkan zink.

Bangunan tambahan berlantai, tanah beratap rumbia. Di bangunan tambahan murid duduk bersila.

Sekolah ini ada perigi batu. Ada juga dapur. Di waktu rehat murid sekolah diberi minuman air susu tepung dari “gamin”. Semua dikendalikan oleh guru.

Ketika ini ayah aku Rais Manaf bekerja sebagai Special Constable (SC) soldadu Inggeris.

Ayah aku dari Jelebu. Orang Jelebu kahwin dengan orang Tengkek satu yang “rare” pada masa itu. Tengkek dan Jelebu, dua wilayah ini amat jauh sekali.

Biasanya bujang dan dara berkahwin dengan orang sekampung atau semukim. Bagaimana emak aku berjumpa ayah aku ada kisah cinta yang lain.

Ketika ini aku belum sekolah. Aku hanya mendengar, melihat, merakam dan mengumpul apa yang berlaku di hadapan mata.

Pada tahun 2020 ini aku bernasib baik “motherboard” aku belum berkarat. Ingatan aku masih cerah. Detik-detik itu datang kembali. Setiap babak yang aku tulis ini dibantu oleh ingatan imej dan gambarannya datang kembali.

Di Sekolah Tapak keluarga kami duduk di rumah guru. Di hadapan rumah kami aku sebatang pokok kuinin yang tak pernah berbuah.

Sekolah Tapak ada padang bola dan kolam ikan.

Di hadapan sekolah ialah rumah Mat Teleng. Lehernya teleng sadikit justeru orang kampung memanggil dia Mat Teleng.

Si Mat ini ada kelebihan. Dia boleh mengunci sakit. Dari mana dia mendapat ilmu kepandaian dan kelebihan ini aku tidak tahu.

Bayangkan klinik paling dekat ialah di Padang Lebar.

Dari kampung aku ke Padang Lebar lebih kurang 12 batu. Ketika ini tak ada kereta yang masuk ke daerah kami. Kampung kami dihubungi dunia luar dengan jalan tiga kaki.

Basikal ialah sistem pengangkutan kami yang terpantas selain daripada menapak.

Jika ada sakit pening maka Tok Bomoh dan Mak Bidan akan memainkan peranan penting.

Pernah satu malam abang aku sakit gigi.

Maka Wan aku membawa abang aku ke rumah Mat Teleng.

Entah apa jampi serapah yang dipakai aku tidak tahu. Kemudian Mat Teleng mengambil tukul besi dan memaku sebatang paku pada dinding tiang seri rumahnya. Sakit gigi abang aku hilang.

Di belakang kawasan sekolah berhampiran rumah kami ialah hutan dara yang dilalui oleh anak sungai.

Jauh ke dalam sedikit ada air terjun tapi tidak begitu besar.

Aku jarang mendekati kawasan air terjun kerana dari surah yang aku dengar kadang kala ada orang bunian datang mandi di sana.

Terutama ketika matahari panas di tengah hari. Kisah orang bunian mandi ini amat meyakinkan aku.

Pada satu petang ketika di tepi sungai aku terserempak dengan Dukun Mail.

Dia adalah tok bomoh Kampung Tapak. Semua orang Tapak tahu siapa Dukun Mail. Dia dikatakan boleh berhubung dengan makhluk halus.

Petang itu nasib aku amat baik. Dari jauh aku mencuri lihat apa yang sedang dilakukan oleh Dukun Mail.

Dia membawa para yang dianyam dari buluh. Para ini digantungkan di tepi sebatang pokok besar tak jauh dari sungai. Di atas para ini ada beberapa ketul daging. Dukun Mail membakar kemenyan sebelum beredar.

Mata aku terbeliak menyaksikan Dukun Mail sedang bersemah memuja penunggu pokok besar.

Dia sedang memberi hantu makan daging. Kisah Dukun Mail memberi hantu makan ini tersebar sekampung.

Cerita Dukun Mail ini sampai juga ke rumah kami. Tak ada siapa berani mempersoalkan kehebatan Dukun Mail. Semua takut dengan ilmu yang dimiliki Dukun Mail.

Dua hari kemudian aku hendak mandi di sungai.

Dari jauh aku ternampak beberapa ekor lembu sedang berkeliaran menghampiri pokok besar.

Aku hairan kenapa lembu ini tidak takut pada pokok besar yang ada penunggu.

Aku ternampak lembu-lembu ini berani sekali melanggar para yang digantung oleh Dukun Mail.

Para itu jatuh. Lembu mendengus mengundur dan terpijak para itu. Aku berlari pulang ke rumah.

“Woit bukan hantu yang makan daging tapi lembu.”

Aku melaungkan kebenaran yang baru aku saksikan. Aku merasa berani kerana maklumat ini benar.

“Diam.. jangan bising.” Emak aku memberi arahan.

“Bukan hantu tapi lembu.” Aku cuba memberi penjelasan.

“Degil budak ni…. nak kena penampar ke?” Emak aku marah.

Aku senyap. Bukan aku takut hantu atau takut Dukun Mail tapi aku takut kena marah dan dapat penampar.

Wan aku nampak yang berlaku. Dia menunjukkan simpati pada aku. Aku menjadi selesa kerana ada penyokong.

Aku mengadu minta simpati. “Wan bukan hantu yang makan… tapi lembu yang langgar… nampak tadi.”

“Bila kau besar nanti… kau akan faham…sekarang jangan bising.” Itu sahaja kata-kata sokongan yang aku terima.

Aku pun besar. Emak aku ditukarkan untuk menjadi guru di Sekolah Umum B Kuala Klawang di Jelebu.

Kini kami duduk di pinggir pekan Kuala Klawang, di kuarters guru.

Sebuah banglo kayu yang besar, khusus untuk guru besar dan dua rumah batu teres.

Aku senang sekali kerana kali ini rumah kami ada elektrik dan air paip.

Selama empat tahun aku membesar aku selalu mendengar ayat: “Api dalam kaco dan air dalam bosi”.

Satu petang kakak aku terjumpa batu karang dalam belukar tak jauh dari rumah kami.

Mungkin guru yang terdahulu dari kami membuangkan batu karang ini kerana batu karang ini pecah.

Aku paling gembira kerana pertama kali aku dapat melihat dan memegang batu karang, rupa macam ranting kayu, rupa macam tanduk rusa.

Pada sebelah malamnya tiba-tiba kedengaran bunyi, “seeet seet ssseeeet.”

Wan aku bangun dan membaca sesuatu. Mulutnya terkumat kamit.

Apa yang dibaca aku tak tahu. Kami adik beradik menjadi takut.

“Seet.. seet.. seeet.”

Bunyi semakin nyaring. Kemudian wan aku mengambil penyapu memukul ke dinding. Seekor belalang hijau jatuh.

Nenek aku menangkap belalang ini.

Dia mengambil kain sarung. Dia memaksa belalang mengigit tepi kepala kain. Kemudian badan belalang ini ditarik. Kepala belalang ini tercabut dari badannya.

“Ini pelesit… ada yang dia ikut datang ke sini.” Wan aku memberi penerangan.

Kami menjadi takut.

Belalang hijau yang kurus ramping sepanjang dua inci ini rupa-rupanya hantu pelesit.

Menurut wan aku bukti ia pelesit cukup jelas. Kepala belalang ini tertinggal di kepala kain.

Perutnya terbarai. Ini tanda pelesit. Hujah pembuktian wan aku seperti hujah peguam menjadikan aku lebih takut.

Wan aku berhujah lagi. “Pelesit ini masuk ke rumah kita kerana dia mengikut.” Mengikut apa? Mengikut siapa?

Mustahil belalang ini mengikut aku. Kami belum pernah berjumpa.

Tiba-tiba aku teringat kubur isteri pertama Tok Sidek.

Apakah hantu perempuan mati bersalin itu datang mengikut wan aku dan keluarga kami dari Kampung Tengah di Kuala Pilah hingga ke Kuala Klawang di Jelebu. Jauh juga hantu ini boleh terbang. Seram.

Tiba-tiba kakak aku menarik nafas panjang dan berkata, “batu karang tadi”

“Hantarkan ke tempat asalnya.” Wan aku pula memberikan arahan.

Rupanya batu karang ini menjadi ikutan pelesit. Apa hubungan batu karang ini dengan pelesit aku tidak tahu.

Dalam pekan kecil Kuala Klawang ada klinik gigi.

Dua batu dari pekan ada hospital Petaling terletak indah di atas bukit.

Matron hospital ini Orang Putih.

Maknanya orang kampung hendak mendapat ubat dan rawatan tidak banyak masalah.

Tapi di Jelebu ini tidak bermakna bomoh dan dukun hilang pengaruh.

Pengaruh dukun, bomoh dan pawang tidak hilang. Orang kampung yang sakit masih lagi menggunakan khidmat dukun dan bomoh.

Aku ingat lagi Dukun Aman. Dia ini amat amat terkenal.

Aku ada ternampak beberapa kali tok bomoh ini ketika makan kenduri di Kampung Chenor tiga batu dari pekan Kuala Klawang.

Ini kampung tempat ayah aku dilahirkan.

Masyarakat kampung memberi penghormatan pada Dukun Aman. Dia duduk di anjung rumah sama taraf dengan tok imam masjid.

Dari desas-desus cerita bawah tanah yang aku dengar tok Dukun Aman ini ada memiliki harimau.

Awas! Ini bukan binatang peliharaan saperti kucing atau anjing.

Harimau ini datang membantu Dukun Aman ketika memberi rawatan.

Selesai makan kenduri mata aku mengikuti Dukun Aman.

Aku perhatikan apakah dia akan ke dapur untuk meminta gulai daging atau tulang-tulang lembu sebagai bekalan kepada harimaunya.

Tidak. Sesudah makan Dukun Aman terus mengambil basikal dan bergerak pulang.

Kehebatan Dukun Aman ini memang diketahui ramai.

Dia boleh mengubat orang kena rasuk hantu.

Mengubat orang kena buatan orang. Memberi ubat pendiding.

Penyakit yang pelik-pelik semuanya datang berjumpa Dukun Aman.

Kehebatan Tok Dukun ini bukan kerana dia ada sijil MBBS dari John Hopkins Medical School tapi kerana dia ada harimau.

Aku selalu bertanya pada diri aku sendiri di mana agaknya harimau ini tidur.

Dalam sangkar, dalam kandang atau atas para.

Berapa banyak daging yang diperlukan untuk memberi makan sang Harimau .

Harimau ini jantan atau betina?

Soalan dan pertanyaan ini muncul ketika aku masih belum masuk sekolah. Aku bertanya dan bertanya tanpa mendapat jawapan.

Kemudian aku masuk sekolah darjah satu. Ketika cuti aku selalu bertandang ke Kampung Chenor.

Duduk di rumah Mak Long, kakak kepada ayah aku. Aku suka ke sana kerana rumahnya tidak jauh dari sungai.

Anak lelaki Mak Long aku yang sebaya umur menjadi kawan untuk mandi sungai dan memancing ikan.

Zaman kanak-kanak aku memang indah.

Rumah Mak Long aku ini selalu ramai orang datang.

Saudara mara datang melawat atau bermalam.

Mak Long aku anak sulung, maka dia menjadi tumpuan keluarga.

Musim cuti sekolah ramai sepupu sepapat aku datang bertandang.

Pada satu cuti sekolah Pak Teh, Mak Teh, Kak Long dan Mak Ngah dan anak mereka bertandang di rumah Mak Long.

Makan malam kami macam kenduri. Sesudah makan kami semua duduk berehat bersandar di dinding.

Di tengah rumah terpasang dua pelita minyak tanah.

Mak Long aku menjadi tumpuan. Dia duduk berlunjur rehat.

“Icham picit kaki Mak Long.”

Ini permintaan yang selalu aku terima. Aku lakukan dengan senang hati.

Kemudian Mak Long aku berkisah. Kami budak-budak membuka telinga mendengar.

Dua malam dulu Mak Long aku melihat Dukun Aman mengubat orang sakit.

Mengikut cerita Mak Long, ada perempuan kena rasuk hantu.

Bila terdengar perkataan hantu aku memberhentikan memicit kaki Mak Long. Aku mahu memasang telinga.

“Dia mencarut, meracau, dua orang memegang baru dapat dipasong… bukan main kuat lagi… entah dari mana datang tenaga… Mak Long yang minta panggil Dukun Aman datang.. Mak Long bagi tau dukun ni bukan datang seorang.”

Aku faham makna bukan datang seorang. Dukun Aman akan datang dengan harimaunya.

Mak Long aku bersurah tentang persediaan berubat.

Perlu ada sirih, pinang, kemenyan, ibu garam dan ibu kunyit.

Orang sakit wajib tidur dalam kelambu. Kalau berubat di tengah rumah tak boleh ramai ada orang.

Bila terdengar bunyi pelik, jangan disapa.

“Bila Dukun Aman datang dia akan masuk mengubat dalam kelambu. Bila dia dah masuk ke dalam kelambu semua pelita mesti dipadamkan. Kalau tidak rimau tak datang… rimau tak masuk kelambu kalau pelita terpasang.” Mak Long aku menerangkan dengan panjang lebar cara Dukun Aman mengubat.

“Mak Long… kalau dalam kelambu dan pelita padam… mana kita nak tahu rimau tu dah masuk ke tidak … dalam gelap semua tak nampak.”

Aku mencelah, bertanya dan menyoal.

Paaang!!! Kepala aku kena penampar. Semua senyap. Api dari sumbu pelita meliuk-liuk ditiup angin.

Epilog:

Arwah mak aku minta aku diam jangan banyak bercakap.

Arwah wan aku berkata bila aku besar baru aku faham.

Mak Long aku memberi aku penampar.

Pada hari raya tahun 2018 aku pulang ke Kampung Tengkek. Aku pergi mandi ke Jeram Guntur terletak di perkampungan orang asli tempat usul asal aku.

Abang peniaga warung di situ memberi aku tahu bahawa Jeram Guntur ini keras berhantu.

“Bang inilah tempat yang dah lama saya cari. Umur saya dah setengah abad. Saya masih mencari hantu.

“Sampai hari ini belum berjumpa.. Kalau abang ada nampak hantu itu, ini nombor telefon saya. Sila telefon saya dengan serta-merta.

“Saya akan datang kerana saya nak berjumpa dengan hantu itu. Dah lama saya mencari. Saya akan belanja abang naik kapal terbang bercuti ke London.”

Abang di Jeram Guntur ini sosok ke 12 yang mendapat numbor telefon aku. Sampai hari ini aku masih menunggu panggilan itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Pada suatu masa

Aku ini binatang jalang

Salim dan Boo ke mahkamah

Salim dan Boo sampai ke London

Salim dan Boo