Saturday, November 7, 2020

Monsieur Tang

Janji dan berjanji. C’est la vie – inilah hidup.

Other News

Selangor govt bypassed state-owned firm to award lucrative mining contract to private company

The move appears to have breached a circular giving control of mining licences on state land to a company owned by the Selangor government.

Anggota keluarga perlu main peranan hindari wabak Covid-19, kata PM

Belanjawan 2021 memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan rentan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Mount Merapi may be coming to the boil – local Javans evacuated

Merapi is one of the most dangerous volcanoes on Earth.

Melbourne celebrates over a week with zero new cases as harsh lockdown pays off

The cost of curbing the virus will be huge: the economic and social impact is still being calculated.

Bantuan RM500 secara ‘one off’ untuk petugas barisan hadapan KKM

Pemberian itu adalah tambahan kepada Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada petugas barisan hadapan KKM.

Sebelum musim sejuk tahun 1982 aku sudah menjadi warga Wavre – Wavriens.

Wavre, kota kecil daerah kelas menengah Katolik Wallons yang menggunakan bahasa dan budaya Perancis.

Bilik sewa aku di alamat 25, Chaussee de Bruxelles hanya lima batu ke Universiti Leuven-la-Neuve, lima minit ke L’Athénée Royal Maurice Carême – sekolah bahasa Perancis, tujuh minit ke stesen kereta api dan 40 minit menaiki kereta api ke Brussels.

Ini rumah kedai pertanian milik Monsieur Etienne. Kedai menjual tanah gambus, baja, benih, pokok bunga dan peralatan pertanian.

Kedai ini bekas sebuah banglo tegak bersendirian tiga tingkat, dalam sebuah kawasan padang rumput lapang di pinggir kota.

Pada hemat aku banglo ini pasti dalam bekas ladang gandum milik orang kaya satu ketika dahulu.

Bilik aku di loteng, atau digelar “attick”. Tingkap aku bukan memandang ke jalan raya.

Bila tingkap dibuka aku nampak langit. Bila hujan turun, tingkap kaca aku menjadi atap.

Dalam bilik hanya ada tilam, kerusi, meja tulis dan gas pemanas.

Dapur yang lengkap di luar bilik. Bilik mandi berada di tingkat satu.

Berkelana di negeri yang kita tidak tahu bahasa, satu masalah yang amat besar.

Aku ingat lagi hari pertama aku di Wavre. Aku merancang untuk memasak makan malam.

Aduh! Dapur gas memerlukan mancis api. Lalu aku masuk ke dalam pekan.

Aku tidak tahu sebutan mancis api dalam bahasa Perancis. Lalu aku menuju ke café berhampiran stesen kereta api.

Di tepi pintu café ingatan aku kembali ke minggu pertama aku sampai ke Baghdad.

Di Jalan Al-Rasheed aku masuk ke restoran mencari makan tengah hari.

Aku cuba mencari gulai telur atau gulai daging.

Pak haji pelayan restoran bersuara kuat bila melihat aku masuk.

Aku tak faham. Lalu aku tunjuk tangan aku menyuap ke mulut.

Kemudian aku letakkan kedua tangan aku di celah kangkang, seolah-olah meraba “telur” aku sendiri.

Kemudian aku cubit tangan aku untuk menandakan daging.

Alhamduliah. Pak haji pelayan restoran itu ketawa dan menunjukan aku ke periuk gulai daging.

Dia juga meraba telurnya dan berkata “la”.

Aku faham gulai telur tak ada bukan kerana aku tak nampak pak haji pelayan, tapi kerana kepalanya mengeleng-geleng.

Dalam café aku gayakan tangan aku mencalit mancis api kemudian aku letak duit pada tapak tangan aku.

Tuan café faham terus memberi aku sepapan mancis api dengan logo cafenya. Dia tidak mengambil duit dari tapak tangan aku.

Dari café aku menapak ke pasar raya Nopri di tengah-tengah pusat bandar.

Aku ingin membeli bahan makanan. Ketika ini aku anggap semua pekara sudah beres dan enteng.

Dalam pasar raya aku tak perlu tahu bahasa. Mata boleh mengenal ikan, ayam, tomato, sayur atau ubi ketang.

Tiba-tiba aku teringat aku perlukan garam.

Satu masalah besar timbul. Aku tercari-cari. Aku mencari garam. Tidak aku temui.

Aku mencarut dalam bahasa Melayu. Aku mencarut dalam bahasa Arab. Aku juga mencarut dalam bahasa Urdu.

Aku bukan mencarut pada garam. Aku mencarut pada keadaan aku.

Pada ketika ini aku teringat dan tergambar dalam fikiran aku kedai Mak Cik Jarah di Batu Serambai, Ulu Klawang pada tahun 1958. Cukup senang nak membeli garam.

Satu guni garam kasar tersandar di tepi dinding tidak jauh dari dua guni beras.

Penyedoknya tempurung kelapa. Ciss!!! Betapa senangnya hidup di zaman itu.

Kini di Wavre aku terpaksa membongkok menyusul ke setiap rak untuk cuba mencari garam.

Dari rak biskut, ke rak jem dan kopi, ke rak bahan mandi, hingga ke rak khas untuk perempuan sahaja, habis aku geledah.

Tiga kali kali aku ulangi menyusul dari atas ke bawah, dari kiri ke kanan rak.

Aku cuba membaca setiap kotak. Aku mati akal. Aku menyumpah lagi. Kali ini dalam bahasa Inggeris.

“Excuse me… may I help you?” Anak muda lelaki Negro berbaju merah menghampiri aku.

“I am looking for ‘fucking’ salt”.

“Oh your ‘fucking salt’ is fucking here Monsieur”. Dia membawa aku ke rak bahan makanan dalam kotak. Rak ini aku sudah geledah awal tadi.

“Here Monsieur”. Dia memberikan sekotak bertulis “sel” berbungkus cantik bukan dalam tempurung.

Aku berterima kasih kepadanya. Kemudian anak muda ini menerangkan bahawa dia merupakan pelajar Universiti Leuven-la-Neuve.

Membuat kerja “part-time” di Nopri. Petang itu siswa asal Mali ini mententeramkan jiwa aku.

Sesampainya ke rumah aku terserempak dengan tuan rumah, Monsieur Etienne.

Dia memperkenalkan aku dengan Monsieur Tang yang duduk di tingkat pertama.

Anak muda awal 20-an ini berasal dari Vietnam. Dia cacat. Kaki kirinya sudah dipotong.

Dia memakai dua tongkat untuk membantunya berjalan. Dia bergerak dengan menaiki sebuah motorsikal khas beroda tiga.

“Je m’appelle Isham” atau “saya Isham”.

Kami berjabat tangan untuk berkenalan.

Di Belgium aku membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan huruf “H” dalam ejaan nama aku.

Ini kerana dalam bahasa Perancis tidak ada sebutan “H” seperti sebutan kita.

Maka di Wavre bermulalah sejarah “Hisham” menjadi “Isham”.

Isham ini hanya salah satu dari beberapa nama yang aku gunakan ketika 20 tahun menyamar dan berkelana ke sana sini.

Aku perhatikan Monsieur Tang berjalan perlahan-lahan.

Dia menapak dari satu anak tangga ke satu anak tangga.

Aku membontoti dari belakang. Dia menoleh dan bersuara.

“La guerre. La guerre monsieur Isham”.

Aku tak faham apa yang disuarakan kepada aku. Aku hanya mengangguk tersenyum.

Petang itu aku masak kari ayam ubi kentang yang aku pelajari di Karachi.

Sayur goreng kacang buncis dengan tomato. Malam itu aku berkenalan dengan Uncle Ben dari Amerika Syarikat.

Di Wavre tidak ada beras malinja atau beras Siam.

Aku bukan pelajar yang baik dalam mempelajari bahasa. Tetapi aku bertekad untuk boleh bertutur dalam bahasa Perancis.

Jika aku gagal maka “pedang” aku tidak akan berasah.

Hidup aku kembali menjadi rutin. Aku merancang selepas selesai sekolah bahasa, aku mahu mendaftar masuk ke sekolah filem.

Tetapi aku wajib mendapatkan sijil dari pusat bahasa Universiti Leuven-la-Neuve.

Bila universti mengambil pelajar baru, aku mendaftar masuk ke pusat bahasa.

Dalam kalender universiti tahun itu, jumlah pelajar luar negara dari Malaysia hanyalah satu. Aku seorang.

Setiap hujung minggu aku akan bersadai di café sebelah gereja Saint Jean Baptiste, yang terletak di tengah-tengah kota Wavre.

Aku memaksa diri aku bercakap. Aku sudah pandai memesan segelas “Jupiler” atau “Stella”. Sudah tahu mengira duit.

Tapi belum berani mengajak minah-minah Wavre datang ke café untuk bercanda-canda.

Aku selalu bertegur sapa dengan Monsieur Tang.

Dia pergi ke sekolah khusus di Namur. Setiap hujung minggu Monsieur Tang akan ada tetamu.

Bila aku mula mengenali rapat Monsieur Tang, baru aku tahu yang datang itu ialah abangnya.

Ayah, ibu dan dua adiknya semua tinggal di Belgium.

Bahasa Perncis aku mula bercambah. Kini aku faham “le guerre” maknanya perang.

Keluaraga Monsieur Tang adalah warga pelarian Perang Vietnam 1955-1975.

Bila aku ternampak Monsieur Tang aku teringat Pulau Bidong dan Pulau Babi Besar tempat tersadainya sampan dan perahu orang pelarian perang dari Indo-China pada akhir dekad 70-an.

Aku tanya Monsieur Tang apa yang dia belajar.

Dia menerangkan belajar sama seperti kuliah di universiti, cuma ini khusus untuk warga cacat.

Monsieur Tang dan keluarga sama seperti aku mendapat suaka dan perlindungan dari kerajaan Belgium.

Kami mendapat bantuan kewangan sama seperti bumiputera Belgium. Jadi aku gunakan dana ini untuk belajar.

Satu hari Monsieur Tang naik ke dapur melihat aku memasak.

Katanya makanan Vietnam tidak jauh beza daripada makanan Malaysia.

Esoknya aku masak kari ayam ubi kentang untuk Monsieur Tang. Aku hantar ke biliknya.

Dua hari kemudian aku pula datang ke bilik Monsieur Tang untuk mengambil periuk kosong.

Dia amat suka akan kari ayam aku. Dia mencadangkan supaya aku menjadi tukang masak di Brussels.

Aku jawab dengan senyuman.

Kemudian dia bertanya bagaimana dengan pembelajaran bahasa Perancis aku.

Aku jawab “comme ci comme ca” – macam ini macam itu.

Kami pun sama-sama ketawa.

“Monsieur Isham, aku ini mangsa perang. Lihat kaki aku. La geurre.. la geurre”.

Lalu dia berkisah tentang perang Vietnam.

Ayahnya seorang pegawai kerajaan. Mereka sekeluarga tinggal di Saigon.

“Monsieur Isham, aku ini mangsa perang. Lihat kaki aku. La geurre.. la geurre”.

Satu petang kembali dari sekolah bom meledak. Dia terkena percikan.

Dia pengsan dan dibawa ke hospital. Bila sedar kaki kirinya sudah dipotong.

Ketika itu umurnya 15 tahun.

“C’est la geurre. Monsieur Isham”.

Matanya memandang tepat kepada muka aku. Aku tidak ada jawapan.

Kemudian dia ketawa dan berkata “C’est la vie”. Aku ketawa sama.

Dia mengalihkan perbualan. Dia bertanya apakah aku ada “petite copine”.

Ini lingo anak muda tentang awek.

Sambil ketawa aku menggelengkan kepala kemudian bertanya “et toi”, atau “bagaimana dengan kamu?”

Dia tersenyum gembira.

Lalu dia bersurah dua minggu lagi kekasihnya akan sampai ke Paris dari Singapura.

Monsieur Tang menyambung surah tentang keluarganya.

Ayahnya pegawai kerajaan rejim lama dibantu oleh pemerintah Amerika Syarikat untuk menguruskan keluarganya bagi mendapatkan perlidungan di Belgium.

“Sebelum aku terbang ke Belgium, awek aku ni datang ke bilik aku. Dia menyatakan cinta dan janji kasih sayangnya pada aku. Itu kenangan malam terakhir aku di Saigon.

“Awek aku minta aku berjanji setia. Bila sampai ke Eropah jangan lupakan dia yang tinggal di Saigon”.

“Bila kau jadi warga Belgium, wajib jemput aku datang ke Eropah. Inilah permintaan dia. Dua minggu lagi dia akan sampai ke Paris,” cerita Monsieur Tang berseri-seri gembira.

“Isham. La nuit passait trop vite – malam berjalan pantas, dia menyerahkan seluruh tubuh badannya kepada aku, kami berjanji. Aku akan bantu dia datang ke Eropah”.

“Le weekend ini aku akan ke Paris. Aku tetap setia menunggu, dah tiga tahun lebih,” Monsieur Tang tersenyum lebar.

Aku menepuk bahunya dan berkata, “bon chance” – semoga berjaya. Aku rasa pedangnya akan diasah di Paris.

Dua kekasih bertemu di Paris. Lalu aku teringat filem Casablanca – kisah cinta Rick dan Ilsa dimainkan oleh Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman.

Casablanca juga berlatarkan perang, Perang Dunia Kedua.

Aku ke universiti. Aku ke café. Aku ke pasar.

Setiap hari aku menulis surat pada kawan-kawan di Malaysia, di Pakistan dan di Australia.

Surat menjadi nafas utama aku.

Aku terlupa kisah cinta kota Paris Monsieur Tang.

Pada hemat aku pasti cinta itu bercambah kembali saperti Rick bertemu Ilsa di Casablanca.

Satu senja di permulaan musim bunga, Monsieur Tang datang ketika aku di dapur.

Dia kelihatan tidak ceria. Aku menuangkan segelas air anggur putih. Dia menolak.

Aku mencadang sebotol Stella. Dia menolak.

“Comment etait Paris? – Bagaimana Paris?” Aku bersuara untuk menceriakan keadaan.

“Paris…. Paris n’est pas pour moi – Paris bukan lagi untuk aku”.

Kata-kata Monsiuer Tang ini menjerut hati aku. Apakah yang berlaku?

“Ketika di Saigon dulu, dia tak nampak kaki aku yang putus. Dia hanya nampak peluang untuk ke Eropah. Segala janji, segala kata-kata hanya untuk meyakinkan aku untuk memberi surat sokongan agar dia boleh datang ke Eropah.

“Aku mengakui bahawa dia saudara aku, agar dia dapat menjadi orang pelarian. Di Paris aku dilihat sebagai jantan cacat,” suara kecewa Monsieur Tang.

Aduh! Satu lagi cinta gagal. Cinta sedih.

Biasanya jantan dan betina akan berjumpa pada musim bunga di Paris untuk jatuh cinta.

Tapi bukan untuk Monsieur Tang.

Dua minggu kemudian kereta abangnya datang. Kali ini dia mengambil barang-barang Monsieur Tang yang berpindah ke Namur. Kota kecil tempat dia belajar.

“A la prochaine… jumpa lagi.. salut..mon ami,” kata-kata akhir dari aku kepada Monsieur Tang.

Janji dan berjanji. C’est la vie – inilah hidup.

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Mademoiselle Murielle

Hidup aku ceria. Kadang kala ketika aku makan malam, piano akan berlagu.

Kisah di no 34, Birnam Road

Berita pembunuhan Jamal Khashoggi di Istanbul membawa ingatan aku ke tahun 1987 sewaktu menetap di London.

Mengharapkan kenikmatan ‘tortilla’

Dari Pakistan terbang jauh ke Belgium.

Cinta Kamal dan Saddar

Dari Jelebu cinta agung menjelma di Karachi, Pakistan.

Fairy tale ending for new princess after legal battle with her reluctant father, the king

DNA proved she is the illegitimate daughter of the King of Belgium.