- Iklan -
Rencana

Siapa paling untung dari ‘Langkah Meridien’ Anwar?

Sandiwara Anwar Ibrahim pada Rabu semakin menarik. Berbagai pendapat tersebar. Ada yang meyakinkan. Ada yang tersangat karut. Kesan dari kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan kononnya sokongan ahli-ahli Parlimen Umno kepada Anwar semakin meningkat. Peningkatan sokongan terhadap Anwar sudah naik sekali ganda. Semasa pengumuman Anwar, dikatakan ada 10 orang ahli-ahli Parlimen Umno akan menyokong […]

Kamarazaman Yacob
2 minit bacaan
Kongsi
PKR president Anwar Ibrahim at the press conference in Kuala Lumpur where he said he had the majority support of MPs.
PKR president Anwar Ibrahim at the press conference in Kuala Lumpur where he said he had the majority support of MPs.

Sandiwara Anwar Ibrahim pada Rabu semakin menarik. Berbagai pendapat tersebar. Ada yang meyakinkan. Ada yang tersangat karut.

Kesan dari kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan kononnya sokongan ahli-ahli Parlimen Umno kepada Anwar semakin meningkat.

Peningkatan sokongan terhadap Anwar sudah naik sekali ganda. Semasa pengumuman Anwar, dikatakan ada 10 orang ahli-ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar untuk membentuk “kerajaan baru”. Lewat malam pada hari sama sokongan terhadap Anwar daripada Umno meningkat ke 15 orang ahli Parlimen.

Semalam, sokongan terhadap Anwar dikatakan sudah mencecah 20 ahli Parlimen. Tiba-tiba Anwar menjadi laku walaupun sebelum ini kedudukannya tersangat lesu, terutamanya selepas Pakatan Harapan Plus menukar kepercayaan kepada Mohd Shafie Apdal.

Barangkali angka ini terus meningkat. Tapi tentunya tak boleh melebihi jumlah ahli Parlimen Umno iaitu 39. Barisan Nasional (BN) pada ketika ini mempunyai 43 ahli Parlimen.

Entahlah, bagi pentaksub-pentaksub kepada bakal PM 9, segalanya boleh berlaku.

Bermula semalam sudah terdapat beberapa suara dari kalangan Umno, menyokong kenyataan presiden mereka. Ada di kalangan ahli Parlimen dan kepimpinan negeri. Termasuk dari sayap parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz dengan jelas, menyatakan beliau menarik kembali sokongan kepada Muhyiddin Yassin. Manakala Ahmad Jazlan serta empat ahli Parlimen dari Pahang turut menyokong kenyataan Zahid.

Lalu semakin rancaklah penyokong Anwar, mengkhayalkan sebuah kerajaan baru yang akan dipimpin presiden PKR itu.

Suara awal datangnya daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail. Lalu diikuti oleh tokoh-tokoh lain dari PKR. Membuat kenyataan dalam keadaan mabuk.

Lalu seorang “Dr” menulis dengan penuh yakin Anwar akan menjadi PM 9. Lalu membariskan 10 perbezaan dengan “harapan” 16 September 2008. Tulisan yang syok sendiri.

Kalau dilihat kepada kenyataan Nazri dan ahli-ahli Parlimen Umno itu, mereka bukan memberi sokongan kepada Anwar. Nazri menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Ahli-ahli Parlimen lain hanya menyatakan sokongan kepada kenyataan presiden Umno.

Melihat kepada kenyataan-kenyataan tersebut, jelas natijahnya sebagai memberi gambaran untuk “memberi tekanan” kepada Muhyiddin.

Mungkin ingin mendapatkan sesuatu bagi kepentingan Umno. Atau memaksa Muhyiddin membubarkan Parlimen.

Sekiranya, Muhyiddin memilih untuk membubarkan Parlimen, inilah yang ditunggu-tunggu oleh Umno.

Sebelum tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN), Umno dan Muafakat Nasional (MN) memang mahu Parlimen dibubarkan.

Difahamkan, Umno sudah memperolehi 70 kerusi yang diyakini boleh menang dalam PRU15. Manakala PAS sudah memperolehi 30 kerusi boleh menang.

Bila terjadinya PRU 15, maka jelas MN akan membentuk kerajaan. Barangkali masih bersama Muhyiddin ?

Nampaknya sandiwara Anwar di Le Meridien, tidak memberikan laba kepada dirinya. Sebaliknya akan merosakkan imejnya. Berbagai perkataan sinikal dilemparkan kepada Anwar.

Anwar, secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan MN.

Anwar sebagai pelakon utama memikul kerugian. MN terutamanya Umno, akan mendapat laba yang besar.

*Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian MalaysiaNow.