Jangan gadaikan kemanusiaan: 8 prinsip dalam berunding dengan Myanmar
Akses kepada presiden Myanmar perlu digunakan untuk membawa suara rakyat Myanmar yang menderita, termasuk Rohingya.
Terkini
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpandangan bahawa lawatan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia pada 7 dan 8 Oktober 2026 perlu dimanfaatkan sebagai ruang diplomasi yang membawa hasil nyata, khususnya berkaitan krisis Myanmar, isu Rohingya, keselamatan pelarian, bantuan kemanusiaan dan kestabilan Asean.
Mapim memahami bahawa dalam hubungan antarabangsa, Malaysia perlu mempunyai saluran komunikasi dengan semua pihak yang mempunyai pengaruh terhadap sesuatu konflik. Namun, hubungan diplomatik tidak boleh disamakan dengan penerimaan terhadap semua dasar atau tindakan pihak yang ditemui.
Berdialog tanpa menggadaikan prinsip
Lawatan rasmi ini berlaku dalam suasana yang amat sensitif. Asean masih menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik dan keadaan kemanusiaan di Myanmar, serta menegaskan bahawa Five-Point Consensus (5PC) kekal sebagai rujukan utama untuk menangani krisis politik Myanmar.
Asean juga masih mengekalkan pendirian mengenai perwakilan bukan politik Myanmar di sidang kemuncak Asean dan mesyuarat menteri luar sehingga terdapat kemajuan bermakna dalam pelaksanaan 5PC.
Malah, Kementerian Luar Malaysia sendiri telah menegaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap Myanmar kekal jelas dan konsisten, berteraskan 5PC, termasuk tuntutan penghentian keganasan, dialog politik inklusif dan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada semua komuniti yang terjejas.
Oleh itu, Mapim berpandangan bahawa hubungan diplomatik dengan Presiden Myanmar perlu disertai agenda yang tegas, terukur dan berorientasikan hasil.
1. Jangan biarkan protokol mengatasi prinsip
Lawatan rasmi seorang pemimpin negara mempunyai nilai simbolik. Dalam keadaan Myanmar masih bergelut dengan konflik dan krisis kemanusiaan, Malaysia perlu memastikan bahawa protokol diplomatik tidak menghasilkan persepsi bahawa segala persoalan mengenai tindakan pihak berkuasa Myanmar telah selesai.
Malaysia perlu menjelaskan bahawa "engagement is not endorsement", berhubung dan berunding tidak bererti menyokong semua tindakan.
Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab untuk berkomunikasi dengan Myanmar demi kepentingan negara dan keamanan serantau, tetapi pada masa yang sama perlu menyampaikan tuntutan berhubung perlindungan orang awam, bantuan kemanusiaan, dialog politik dan penyelesaian isu Rohingya.
2. Rohingya mesti menjadi agenda utama
Mapim melihat isu Rohingya sebagai antara perkara yang paling penting untuk dibawa dalam setiap engagement Malaysia dengan Myanmar.
Malaysia tidak boleh melihat Rohingya semata-mata melalui perspektif imigresen.
Ia adalah persoalan kemanusiaan, keselamatan, kewarganegaraan, hak asasi dan masa depan sebuah komuniti yang telah mengalami perpindahan berpanjangan.
Malaysia sendiri baru-baru ini mengangkat isu Rohingya di peringkat Perhimpunan Agung PBB melalui satu acara peringkat tinggi pada 23 September 2026 yang menekankan keperluan penyelesaian berkekalan berasaskan keadilan dan akauntabiliti. Maka, konsistensi diplomasi Malaysia perlu dipelihara.
Apa yang disuarakan di New York perlu terus dibawa ke Naypyidaw.
3. Repatriasi: Selamat, sukarela dan bermaruah
Mapim mengambil perhatian terhadap proses penghantaran pulang warga Myanmar dari Malaysia.
Laporan terkini menyebut bahawa kira-kira 10,000 warga Myanmar telah dihantar pulang sejak Januari 2026, manakala hampir 1,500 orang baru-baru ini dihantar pulang ke Myanmar. Perkembangan tersebut telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa mengenai risiko keselamatan kerana konflik di Myanmar masih berterusan.
Mapim menegaskan bahawa Malaysia memang mempunyai hak untuk menguruskan imigresen dan keselamatan negara.
Namun dalam melaksanakan dasar repatriasi, Malaysia perlu memastikan prinsip kemanusiaan dan perlindungan terhadap mereka yang berisiko turut menjadi pertimbangan utama.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan Rohingya atau individu yang mungkin menghadapi risiko penganiayaan, keganasan atau bahaya serius sekiranya dikembalikan.
Repatriasi tidak boleh menjadi matlamat yang terpisah daripada persoalan keselamatan. Prinsip yang perlu dipertahankan ialah "voluntary, safe, dignified and sustainable return".
4. Malaysia perlu meminta jaminan yang boleh diukur
Jika isu repatriasi dibincangkan dengan presiden Myanmar, Malaysia wajar mendapatkan komitmen yang jelas mengenai:
a. Keselamatan mereka yang pulang.
b. Perlindungan daripada penganiayaan.
c. Tiada diskriminasi terhadap etnik atau agama.
d. Akses kepada tempat tinggal dan kehidupan yang selamat.
e. Akses bantuan kemanusiaan.
f. Pengiktirafan hak asas komuniti yang terjejas.
g. Mekanisme pemantauan selepas kepulangan.
Bagi Rohingya, isu yang lebih mendasar ialah hak kewarganegaraan, keselamatan dan jaminan bahawa mereka boleh kembali dengan maruah.
5. Malaysia jangan bergerak di luar kerangka Asean
Mapim berpandangan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kedudukannya sebagai anggota Asean.
Malaysia tidak harus membiarkan hubungan dua hala dengan Myanmar berkembang sehingga menimbulkan persepsi bahawa Malaysia bergerak keluar daripada pendirian bersama Asean.
Sebaliknya, engagement dua hala perlu digunakan untuk membantu Asean mencapai matlamatnya.
Asean pada 2025 menegaskan bahawa sebarang usaha negara anggota menangani krisis Myanmar hendaklah kekal selari dengan 5PC. Asean juga menegaskan perlindungan orang awam, penghentian keganasan dan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi.
Maka, Malaysia mempunyai ruang untuk menjadi *jambatan diplomatik*, tetapi jambatan itu perlu membawa pihak-pihak menuju penyelesaian, bukan mengaburkan prinsip yang telah dipersetujui Asean.
6. Malaysia perlu menggunakan pengaruh, bukan sekadar pertemuan
Mapim mencadangkan supaya setiap engagement Malaysia dengan Myanmar mempunyai beberapa hasil yang boleh dinilai.
Antaranya:
- komitmen terhadap penghentian keganasan terhadap orang awam,
- akses bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi,
- sokongan kepada dialog politik yang lebih inklusif,
- penyelesaian jangka panjang isu Rohingya,
- proses repatriasi yang selamat dan bermaruah,
- kerjasama membanteras penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan,
- mekanisme susulan untuk menilai pelaksanaan komitmen.
Diplomasi yang berjaya bukan diukur melalui berapa banyak pertemuan diadakan, tetapi melalui apa yang berubah selepas pertemuan itu.
7. Jangan biarkan isu Rohingya hilang dalam agenda keselamatan
Mapim juga menyeru supaya isu Rohingya tidak tenggelam dalam perbincangan mengenai imigresen, jenayah rentas sempadan dan repatriasi.
Kebimbangan terhadap keselamatan Malaysia adalah sah. Namun penyelesaian keselamatan yang mengabaikan punca kemanusiaan akan menghasilkan masalah yang berulang.
Malaysia perlu membezakan antara: pengurusan migrasi, pengurusan pelarian, keselamatan negara, dan perlindungan manusia yang berada dalam keadaan rentan.
Kesemua perkara ini perlu ditangani secara serentak.
8. Mapim menyeru Malaysia mengambil pendekatan 'principled engagement'
Mapim mencadangkan pendekatan yang boleh dirumuskan sebagai 'principled engagement', iaitu berunding tanpa menyerah, bekerjasama tanpa menggadaikan prinsip, membuka pintu diplomasi tanpa menutup mata terhadap penderitaan, Mengurus kepentingan negara sambil mempertahankan maruah manusia, membawa isu Rohingya ke meja rundingan, bukan menolaknya ke pinggir.
Mapim tidak menyeru Malaysia menutup pintu kepada Myanmar. Sebaliknya, Mapim menyeru Malaysia menggunakan pintu diplomasi itu dengan lebih berkesan.
Jika Malaysia mempunyai akses untuk bertemu dengan presiden Myanmar, maka akses itu perlu digunakan untuk membawa suara rakyat Myanmar yang menderita, termasuk Rohingya.
Malaysia tidak perlu memilih antara prinsip dan diplomasi. Malaysia boleh mempunyai kedua-duanya.
Kita boleh tegas terhadap pencabulan hak asasi sambil mengekalkan saluran komunikasi.
Kita boleh mengurus kepentingan keselamatan Malaysia sambil mempertahankan prinsip kemanusiaan.
Kita boleh bekerjasama dalam perkara yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa memberikan cek kosong terhadap dasar yang masih dipersoalkan.
Malaysia tidak harus menggadaikan prinsip. Malaysia juga tidak harus mensia-siakan peluang diplomasi.
Yang diperlukan ialah ketegasan pada prinsip dan kebijaksanaan dalam mengurus hubungan.
Mapim berharap lawatan Presiden Myanmar ini menghasilkan langkah konkrit ke arah pengurangan konflik, peningkatan bantuan kemanusiaan, penyelesaian isu Rohingya dan pengukuhan peranan Asean dalam mencari penyelesaian politik yang inklusif dan berkekalan.
Diplomasi mesti mempunyai prinsip. Prinsip mesti diterjemahkan melalui diplomasi. Dan diplomasi mesti menghasilkan perubahan untuk manusia.*
Mohd Azmi Abdul Hamid ialah Presiden, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Tulisan ini adalah pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
